
Prihatin dengan kepayahan ibu bapa menguruskan perbelanjaan anak mereka untuk ke menara gading, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melancarkan dana wakaf pendidikan tinggi iaitu myWaqafPTPTN pada 11 Mac 2024.
Inisiatif ini sebagai salah satu usaha mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN bagi membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi.
Pada tahun ini, seramai 24 orang pelajar menerima biasiswa myWaqafPTPTN dengan peruntukan berjumlah lebih RM266,000.00.
Penyerahan biasiswa myWaqafPTPTN kepada 8 orang pelajar pada hari ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN semasa Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di sekitar Kuala Lumpur. Turut hadir YBrs Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM serta Pengurusan PTPTN dan YWM.
Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “myWaqafPTPTN mensasarkan sumbangan wakaf tunai daripada Kerajaan, syarikat-syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara.
“Setiap sumbangan akan layak mendapat potongan cukai 10% daripada pendapatan agregat di bawah subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Alhamdulillah, semenjak dilancarkan sehingga Februari 2025, sumbangan yang telah diterima berjumlah lebih RM1,188,000.00,” katanya berkongsi.
Sejak myWaqafPTPTN ini diperkenalkan, seramai 58 orang pelajar telah menerima biasiswa myWaqafPTPTN melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM717,000.00 menjadikan keseluruhan pelajar yang menerima biasiswa myWaqafPTPTN seramai 82 orang dengan peruntukan berjumlah lebih RM984,000.00.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI