Kehamilan

Nabila Razali Umum Hamil Anak Pertama, Bersalin Januari Depan “Selera Makan Makin Bertambah”

Share

 

Tahniah diucapkan buat penyanyi dan pelakon terkenal, Nabila Razali yang berkongsi khabar gembira apabila sedang hamil anak sulung dan dijangka bersalin pada Januari tahun depan.

Menerusi kenyataan rasmi yang diberikan, pemilik nama Nur Nabila Mohd Razali meluahkan rasa syukur dan teruja atas rezeki yang diberikannya bersama suami iaitu Nik Iruwan Nik Izani.

“Alhamdulillah, saya dan suami sangat bersyukur dengan rezeki ini. Terima kasih atas doa dan sokongan semua. Ini adalah saat yang sangat membahagiakan buat kami, dan kami tidak sabar untuk berkongsi perjalanan ini dengan semua yang sudah menyokong kerjaya dan kehidupan saya,” katanya.

Tambah Nabila yang mesra di sapa Bella, dia kini mengakui lebih banyak berehat kerana cepat penat.

“Tidak dinafikan sekarang ini cepat penat dan lebih banyak berehat. Sebab sebelum ini bila bekerja, memang susah nak berhenti. Sekarang adalah waktu yang kita rasa nak tidur saja.

“Namun, saya masih komited dalam bidang seni terutama beberapa kerja yang sudah dirancang lebih awal. Apa pun, saya cuba untuk buat dengan sehabis baik,” katanya.

Nabila berkata, dengan sokongan daripada keluarga, rakan-rakan, dan peminat setia, dia yakin fasa ini akan menjadi satu lagi bab indah dalam kehidupannya.

“Fasa ini sebagai titik permulaan dengan kesyukuran dan kegembiraan, di mana setiap detiknya menjadi satu pengalaman berharga yang pasti akan diabadikan dalam memori kehidupan sebagai satu bab yang penuh keindahan dan pengisian makna.

“Saya percaya bahawa fasa baharu ini juga menjadi sebuah cerita indah buat saya dan suami. Doakan semoga perjalanan kehamilan saya ini dipermudahkan sehingga bersalin nanti,” katanya.

Selera makan bertambah

Berkongsi mengenai keadaan dirinya sepanjang kehamilan ini, Nabila berkata tiada perubahan ketara melainkan selera makan yang kian bertambah.

“Alhamdulillah, saya tidak ada apa-apa keinginan yang melampau dan alahan yang teruk. Hanya yang biasa saja. Kalau ada pun perubahan dari segi tenaga. Tapi, bagi saya ia mungkin perkara biasa bagi wanita hamil.

“Perkara lain, tentulah banyak makan. Selera makan saya bertambah-tambah. Apa pun, saya mahu nikmati saja perjalanan sepanjang kehamilan ini,” katanya.

Terdahulu, Nabila dan suami selamat melangsungkan perkahwinan pada 18 November tahun lalu.

MUA Bellaz Sebak Ada Sebab Gigih Rakam Momen Dengan Anak, “Dulu Tak Ada Gambar Waktu Kecil

Burnout Jaga Anak Sendirian, Suami Tempat Wany Hasrita Mengadu!

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

Published by
SRM