Bila anak dah tidur kita selalu dengar ada dengkuran dan nafas berbunyi. Kadang-kala kita rasa bunyi biasa. Tapi bila sudah terlalu kerap, kita kena bawa anak jumpa doktor pakar. Ada sebabnya.
Menurut Dr Ezairy M.Sallih, doktor telinga, hidung dan tekak, nafas bayi yang berbunyi biasanya disebabkan oleh masalah ‘Laryngomalacia’. Malah ada beberapa perkara mama papa kena ambil tahu!
Nafas bayi berbunyi : Bahaya atau tidak?
“Anak saya ini semenjak lahir, kerap sangat berbunyi nafasnya. Bila menangis, masa tidur.. lagi kuat bunyinya. Kenapa, doktor?”
Ini info ringkas yang semua ibu bapa MESTI tahu.
1. ‘Laryngomalacia’ adalah masalah kongenital tisu larinks (kotak suara) di saluran pernafasan bahagian atas peti suara. Ini adalah masalah paling biasa ditemui di kalangan bayi yang mengalami masalah nafas berbunyi.
3. Dalam kebanyakan kes, laryngomalacia pada bayi bukanlah keadaan yang terlalu serius. Maknanya, anak kita masih boleh bernafas, mereka juga dapat makan, minum dan mengalami tumbesaran seperti biasa. Bagi kebanyakan bayi yang mengalami masalah ini, ia akan sembuh tanpa apa-apa spesifik pembedahan pada masa mereka berusia antara 18 hingga 20 bulan.
4. Walau bagaimanapun, ada peratusan kecil bayi yang mengalami laryngomalacia akan mempunyai masalah pernafasan, makan dan berat badan. Gejala-gejala ini memerlukan perhatian segera!
Sebab berlakunya masalah ini?
2. Masalah ini biasanya berlaku semenjak lahir atau dalam bulan pertama usia. Reflux gastroesophageal (reflux GE) mungkin menyumbang kepada gejala masalah ini. Pernafasan berbunyi akan menjadi lebih teruk apabila bayi baring menelentang atau ketika menangis.
ℹ️ Apakah simptom dan gejala yang boleh dilihat pada anak-anak!
Sekiranya anak anda dilahirkan dengan laryngomalacia, gejala mungkin berlaku selepas lahir, dan boleh menjadi lebih jelas dalam beberapa minggu pertama kehidupan.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami laryngomalacia akan sembuh antara umur 18 hingga 20 bulan. Gejala termasuk:
1. Nafas yang berbunyi. Selalunya lebih teruk apabila bayi itu menangis atau tidur di belakangnya (menelentang)
2. Kesukaran ketika makan atau menyusu
3. Mengalami masalah berat badan
4. Kemungkinan tercekik semasa memberi makan
5. Apnea (penghentian pernafasan)
6. Menarik leher dan dada pada setiap kali nafas
7. Cyanosis (menjadikan biru)
8. Reflux gastroesophageal (meludah, muntah dan regurgitasi)
9. Jangkitan paru-paru (akibat penyedutan makanan ke dalam paru-paru)
Sembuh Tanpa Rawatan
1. Dalam 90 peratus kes, laryngomalacia akan sembuh tanpa rawatan pada masa kanak-kanak berusia 18 hingga 20 bulan.
2. Walau bagaimanapun, untuk sesetengah masalah yang teruk, anak anda mungkin memerlukan rawatan termasuk ubat atau pembedahan.
❗️Perhatian!!!
Pergi ke hospital dengan segera jika bayi anda alami tanda-tanda seperti ini:
1. Berhenti pernafasan selama lebih daripada 10 saat
2. Kelihatan biru di sekeliling bibir
3. Anak kelihatan menarik-narik leher atau dada ketika bernafas walaupun selepas diubah posisi atau dibantu untuk melegakannya.
Masalah ini mungkin biasa-biasa, namun jika kita sebagai ibu bapa sekadar sambil lewa, tidak tahu langkah apa perlu dibuat. Takut-takut menjadi punca kekesalan kita di kemudian hari.
Jumpa doktor jika anda rasa anak anda mempunyai sebarang masalah.
Semoga perkongsian kali ini berguna untuk kita semua.