Nahas trak FRU, “Saya berada di atas rakan-rakan, kami saling bertindih,” demikian luahan Koperal Nizam Tarmizi, 38, salah seorang mangsa yang terselamat dalam tragedi kemalangan membabitkan konvoi kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu yang meragut sembilan nyawa.
Nahas Trak FRU, “Saya Berada Di atas Rakan-rakan, Kami Saling Bertindih”
Menurut Nizam, beliau hanya tersedar selepas terdengar bunyi hentaman kuat dan mendapati dirinya terbaring di atas tubuh rakan-rakan seperjuangan.
Nizam menunjukkan gambar rakan-rakan yang meninggal dunia ketika mereka sedang bertugas sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
“Ketika itu, kami sedang berehat di dalam trak. Tiba-tiba saya terasa satu hentakan yang sangat kuat.
“Saya terdengar rakan-rakan menjerit ‘Allahuakbar’ sebelum saya tidak sedarkan diri. Apabila tersedar, saya lihat ramai rakan terbaring tidak bergerak, termasuk arwah Koperal Amiruddin Zabri yang kelihatan lemah dan wajahnya dipenuhi darah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuarters FRU Unit 5, Sungai Senam, pada Khamis.
Nizam menjelaskan bahawa penglihatannya agak kabur ketika dikeluarkan dari kenderaan oleh anggota lain yang datang membantu.
“Saya duduk di bahagian belakang trak, mungkin itu yang menyelamatkan nyawa saya. Di hadapan, rakan-rakan saya tertindih sesama sendiri kerana trak itu membawa seramai 18 anggota.
“Satu tubuh yang menghempap pun sudah cukup berat, apatah lagi jika bertindih beramai-ramai. Sebab itu ramai yang mengalami kecederaan parah,” ujarnya.
Ads
Beliau memaklumkan bahawa mereka berangkat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sekitar jam 8.30 pagi selepas selesai tugasan kawalan sempena perayaan Chitrapournami, namun tidak menyangka perjalanan itu berakhir dengan tragedi.
Nizam juga berkongsi kenangan terakhir bersama rakan-rakan yang terkorban, yang masih jelas dalam ingatannya.
“Arwah Konstabel Akmal Wafi sempat merakam video dalam trak. Saya sempat berseloroh dengan arwah Koperal Mohd Pozli Jaudin, kata rakam gambar banyak-banyak sebab lepas ni mungkin susah nak keluar sama-sama dengan pasukan C.
“Mereka bertiga juga sempat bermain bola tampar pada pagi kejadian. Kawan-kawan sempat bergurau, katanya macam tanda-tanda nak pergi,” katanya sayu.
Nizam menunjukkan uniform yang dipakai pada hari kejadian kemalangan mengorbankan sembilan rakan setugasnya.
Tambah Nizam, kehilangan rakan-rakan yang aktif dalam aktiviti sukan amat dirasai, apatah lagi mereka sering bermain bola tampar bersama setiap hari.
Ads
“Sekarang bila tengok video tu, memang terasa kehilangan. Tak ada lagi yang akan ajak saya main bola tampar. Dulu siang malam kami main,” ujarnya dengan nada sebak.
Beliau yang kini masih dalam cuti sakit, telah berkhidmat di FRU Unit 5 sejak 2015, selepas bertugas di Kelantan bermula tahun 2006.
Nizam berasal dari Changkat Lada, Perak Tengah dan tinggal bersama isteri, Zanani Azma Abdullah, 39, serta tiga anak yang berumur antara dua hingga 15 tahun.
Kejadian berlaku sekitar jam 8.50 pagi apabila trak FRU yang membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam menuju ke Ipoh bertembung dengan sebuah lori bermuatan batu kerikil.
Ads
Lapan anggota disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Bainun (HTI). Lapan anggota lain mengalami kecederaan dan sedang dirawat di hospital yang sama.
Baru-baru ini tular sebuah video yang dikongsi dan di RT di Twitter mengenai seorang pengasuh yang memukul bayi berusia kurang dari setahun. Video tersebut menunjukkan wanita itu menarik kaki dan beberapa kali menghempas mangsa sehingga menangis kesakitan.
Susulan daripada penularan video tersebut, polis telah menahan pengasuh yang berada dalam video tersebut di sebuh rumah di Tanjong Tokong Lama, Georgetown, Pulau Pinang.
Polis Ambil Keterangan Pengasuh
Menurut laporan, polis mengambil keterangan pengasuh wanita selepas video dirinya memukul bayi perempuan berusia enam bulan tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, berkata keterangan diambil selepas polis menerima laporan dibuat seorang pekerja sebuah bank pada jam 4.01 petang Isnin lalu, selepas menerima video berkenaan daripada rakannya yang juga kenalan suspek.
Katanya, pengadu memaklumkan tidak mengenali waris bayi malang itu namun kejadian disyaki berlaku di sebuah rumah kampung di kawasan Tanjung Tokong Lama. Berdasarkan rakaman percakapan yang dibuat pada hari sama, pengadu memaklumkan menerima dua video pendek daripada seorang kenalannya, menunjukkan seorang wanita yang juga pengasuh memukul mangsa.
“Video berdurasi tujuh dan tiga saat itu menunjukkan suspek menggoncang kaki bayi yang sudah boleh meniarap, selain dilihat menampar kepala dan menghentak mangsa ke lantai.
Tiada Niat Mendera
“Dia mengakui bahawa individu dalam video terbabit adalah dirinya. Suspek mengakui bertindak kasar terhadap mangsa tetapi tiada pengakuan bahawa dia mendera mangsa. Dia juga memberitahu tidak ingat bila kejadian itu berlaku.
“Setakat ini polis belum menahan wanita berusia 34 tahun itu tetapi sudah merakam percakapannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Che Zaimani berkata, menurut pengadu, tujuan wanita itu menghantar video berkenaan adalah kerana tidak mahu pengadu menghantar anak ketiganya kepada pelaku di dalam video itu terbabit.
“Pengadu memberitahu, rakannya itu bimbang suspek akan memperlakukan anak pengadu seperti di dalam video terbabit.
“Wanita itu turut memaklumkan tidak pasti bila kejadian itu berlaku dan siapa yang merakam video terbabit, namun ia berkemungkinan terjadi sebulan yang lalu.
Ibu Sahkan Tiada Kesan Lebam Pada Anak
Beliau berkata, polis yang merakam percakapan ibu mangsa memaklumkan tidak mengesan sebarang perubahan pada bayinya atau melihat kesan lebam pada mana-mana bahagian badannya.
“Wanita itu juga turut memaklumkan tidak mengesyaki bayi itu didera kerana dia aktif seperti biasa,” katanya.
Sementara itu, Che Zaimani berkata hasil rakaman percakapan dengan doktor yang memeriksa mangsa memaklumkan tidak menemui sebarang kesan penderaan terhadap bayi itu, namun bayi itu dirujuk ke hospital bagi tujuan pemantauan.
Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Negara sekali lagi dikejutkan dengan insiden tragis melibatkan seorang pelajar yang terjatuh dari bangunan asrama sekolah. Hati ibu mana yang tidak luluh melihat keadaan anak yang terlantar tidak sedarkan diri.
Lantaran kejadian itu, polis kini membuka kertas siasatan berhubung kejadian pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam, semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata siasatan masih dijalankan dan beberapa individu telah dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk kakitangan sekolah.
Datuk Shazeli Kahar, Ketua Polis Selangor. – Gambar fail/BERNAMA
“Siasatan masih berterusan. Rakaman percakapan individu-individu juga telah diambil bagi membantu siasatan polis, termasuk daripada pihak sekolah,” katanya.
Menurut beliau, siasatan merangkumi pelbagai sudut, antaranya aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama serta latar belakang sosial mangsa dan rakan-rakan.
Katanya lagi, sebarang spekulasi mengenai punca kejadian, termasuk dakwaan unsur buli, masih terlalu awal untuk disahkan.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa dikenali sebagai Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, seorang pelajar aktif yang turut memegang jawatan dalam biro agama asrama. Mangsa mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di bahagian kiri dan kanan otak, rahang patah serta paru-paru cedera berdasarkan hasil imbasan CT scan.
Bapa saudara mangsa, Muhammad Aidil Mansor, 34, memaklumkan keadaan anak saudaranya kini kritikal dan masih dalam pemantauan doktor.
“Anak saya masih dalam pemantauan doktor, keadaannya kritikal. Sekarang saya tidak mampu berkata-kata tetapi harapan kami biarlah dia selamat,” luah ibu mangsa dengan sebak.
Kejadian ini bukan sahaja meruntun hati keluarga mangsa, malah turut menjadi peringatan buat semua pihak agar aspek keselamatan, kesejahteraan serta kebajikan pelajar di asrama sentiasa diberi perhatian. Doa orang ramai kini mengiringi Ahmad Irfan agar terus kuat berjuang melawan saat getir ini.
Dalam suasana masyarakat yang masih terkesan dengan pemergian hafizah muda Nurly Sahirah Azman, muncul pula kisah menyayat hati seorang lelaki yang turut pergi menghadap Ilahi dalam usahanya untuk menziarahi keluarga arwah.
Wan Hasbullah Wan Abdul Halim, 42, dilaporkan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya di Kilometer 79, Jalan Kuala Terengganu, Kota Bharu, Setiu, pada Rabu. Beliau dalam perjalanan untuk bertemu sekumpulan penunggang motosikal dari Kedah bagi merancang sesi ziarah ke rumah keluarga Nurly Sahirah.
Misi Murni yang Terhenti di Tengah Jalan
Menurut adik mangsa, Wan Zainul Abidin, abangnya sangat terkesan dengan kisah pemergian arwah Nurly Sahirah. Mereka berdua aktif menyertai aktiviti kebajikan, dan merancang untuk menjadi antara yang hadir ke rumah keluarga arwah sebagai tanda penghormatan dan solidariti.
“Abang dalam perjalanan ke Besut untuk bertemu dengan penunggang lain. Mereka ingin susun gerak kerja ziarah Keluarga arwah Nurly. Tak sangka abang pula yang pergi dulu,” katanya sebak.
Wan Hasbullah yang menunggang motosikal dilaporkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dalam kemalangan itu.
Dua Pemergian, Satu Harapan
Pemergian Wan Hasbullah berlaku tidak lama selepas negara dikejutkan dengan tragedi bas UPSI yang meragut nyawa Nurly Sahirah Azman, 23, seorang pelajar cemerlang dan hafizah al-Quran dari UPSI. Arwah Nurly yang dalam perjalanan pulang dari kampung sempena cuti Aidiladha terkorban dalam nahas di Gerik, Perak, bersama empat yang lain.
Kisah hidup Nurly menyentuh hati ramai apabila naskhah al-Quran yang ditulis tangan olehnya menjadi tular, mempamerkan ketekunan dan cintanya terhadap Kalamullah. Sejak hari pemergiannya, rumah keluarganya tidak putus dikunjungi orang ramai yang ingin memberi penghormatan dan berkongsi doa.
Pengajaran dari Dua Insan Terpilih
Pemergian dua insan ini menyampaikan mesej mendalam kepada masyarakat. Ia tentang kasih sayang, empati, dan nilai sebuah kehidupan yang penuh pengorbanan.
Dalam dunia yang semakin sibuk, kisah-kisah seperti ini menjadi peringatan bahawa kebaikan tidak pernah sia-sia. Ia mungkin tidak dilihat oleh manusia, tetapi pasti dirahmati oleh Allah.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Kisah benar seorang ibu tentang bagaimana karies botol menyebabkan semua gigi anaknya terpaksa dicabut melalui pembedahan. Ketahui punca, perjalanan emosi dan tips elak masalah sama.