Najis Bayi Warna Hijau Sebab Susu Ibu Cair? Ini 9 Punca Sebenarnya!

Share

Apabila melihat najis bayi warna hijau lumut pastinya akan menyebabkan kebimbangan, betul tak ibu-ibu?

Jom kita ketahui lebih lanjut mengapa tinja bayi berwarna sedemikian, apakah puncanya dan bagaimana menangani situasi tersebut dalam perkongsian

Mengapa najis bayi warna hijau?

Sebenarnya najis hijau termasuk dalam variasi najis biasa. Menurut American Academy of Pediatrics (AAP), warna najis biasa adalah sebarang warna coklat, tan, kuning atau hijau.

Najis berwarna hijau merupakan perkara normal pada si manja terutamanya bayi baru lahir. Bahkan kanak-kanak yang lebih dewasa juga mungkin mengalaminya.Walaupun keadaan najis berwarna hijau itu menyebabkan kerisauan, namun dalam kebanyakan kes ia berlaku kerana sesuatu yang dimakan oleh anak, vitamin atau ubat yang diambil atau sakit perut yang mengakibatkan cirit-birit.

Memahami simptomnya

Najis hijau mungkin berlaku dengan sendiri atau disertai gejala tertentu bersama ketidakselesaan perut:

  • Najis yang terbentuk secara normal mungkin tampak kehijauan pada masa-masa tertentu – hijau adalah variasi warna najis normal
  • Ada kalanya najis kelihatan hitam, tetapi mungkin berwarna hijau gelap
  • Tinja hijau juga boleh disertai dengan najis cair seperti dalam kes cirit-birit

Punca najis berwarna hijau

Terdapat banyak punca najis berwarna hijau dan jarang disebabkan masalah perubatan serius.

Najis bayi warna hijau lumut

Bayi, khususnya yang baru lahir, berkemungkinan besar mengalami najis hijau ini. Berikut antara kemungkinan puncanya:

  • Najis pertama bayi yang baru lahir – mekonium – seperti hitam, tetapi mungkin kelihatan kehijauan
  • Cecair hempedu yang berlebihan
  • Najis bayi menyusu badan, kerana ia beralih daripada mekonium kepada susu matang
  • Najis hijau mungkin menunjukkan ketidakseimbangan foremilk/hindmilk pada bayi yang menyusu, yang mengakibatkan si manja mendapat bahagian foremilk (susu berair) yang lebih banyak daripada hindmilk (susu lebih pekat dan berlemak). Walaupun ini boleh menyebabkan ketidakselesaan perut, namun ia tidak menunjukkan masalah bekalan susu atau susu badan
  • Tinja hijau mungkin menunjukkan intoleransi terhadap makanan dalam diet ibu. Dalam kes ini, bayi mungkin kelihatan tidak selesa atau kembung perut
  • Najis hijau, terutamanya apabila disertai dengan jaluran darah, mungkin menunjukkan alahan kepada sesuatu dalam diet ibu yang menyusu atau susu formula
  • Jenama susu formula tertentu
  • Jangkitan virus atau bakteria boleh menyebabkan najis cair dan kehijauan
  • Najis bayi warna hijau berkemungkinan disebabkan anda memperkenalkan makanan pejal dalam diet, terutamanya sayuran hijau

Pada kanak-kanak

Anak yang dihantar ke taska atau pusat asuhan dan mula berinteraksi dengan kanak-kanak lain, boleh mendapat virus yang menyebabkan cirit-birit – selalunya cair dan berwarna kehijauan

Apabila anak kecil mengembangkan lelangitnya (palate), mereka mungkin mengalami sensitif makanan yang menjadikan najis kehijauan seperti bayam, sayuran hijau lain dan makanan mengandungi pewarna

Anak lebih dewasa

Seperti punca najis bayi warna hijau dan kanak-kanak, anak yang lebih dewasa juga boleh mengalami tinja hijau disebabkan:

  • Mengambil makanan hijau
  • Mengambil ubat atau vitamin
  • Cirit-birit atau sakit perut

Warna najis yang berbahaya!

Menurut AAP, najis berwarna hijau tidak pernah menjadi punca kebimbangan. Namun, najis hijau dan cair sering menunjukkan masalah cirit-birit yang memerlukan perhatian dan penjagaan pada kanak-kanak di semua peringkat umur.

Terdapat warna najis yang mungkin menunjukkan petanda masalah.

Jika najis anak berwarna putih, merah – khususnya merah terang – atau hitam, anda harus berjumpa pakar pediatrik segera. Ia mungkin tidak berbahaya, tetapi sebaiknya lakukan pemeriksaan.

Merawat masalah najis bayi warna hijau

Seperti dinyatakan pada awal tadi, najis kehijauan bukanlah sesuatu yang membimbangkan. Tetapi tiada salahnya untuk melakukan pemeriksaan jika wujud kerisauan.

Dalam sesetengah keadaan, doktor mungkin akan melakukan pemeriksaan perubatan, bagi memastikan keadaan anak selamat.

Jika anak kelihatan sangat sakit dan najisnya berwarna hijau, jangan teragak-agak untuk berjumpa doktor segera! Ini kerana sebagai contoh, najis kehijauan yang disertai cirit-birit boleh menandakan penyakit virus atau bakteria.

Sekiranya anak mengalami najis hijau cair selama beberapa hari, mereka mungkin mendapat dehidrasi kesan daripada penyakit yang dialami.

Biasanya kes dehidrasi boleh dipulihkan dengan menghidrat anak. Tetapi seandainya anak tampak lesu atau sukar bangun, mereka mungkin memerlukan rawatan perubatan untuk mengatasi dehidrasi tersebut.

Perubahan pemakanan bantu atasi masalah najis bayi warna hijau

Jika anak mengalami najis hijau disebabkan sesuatu yang dimakan, vitamin atau ubat, anda tidak perlu mengeluarkannya daripada diet hanya kerana risau tinjanya berwarna sedemikian.

Namun, jika makanan, vitamin atau ubat itu menjejaskan mereka dengan cara lain, seperti menyebabkan perut berangin atau sakit, anda boleh mempertimbangkan untuk menyingkirkannya daripada diet pemakanan anak.

Sekiranya keadaan najis hijau itu disertai dengan ketidakselesaan fizikal pada anak, maka sudah tiba masanya untuk campur tangan. Contohnya:

Jika bayi menyusu badan mempunyai najis berwarna hijau dan berbuih, disertai dengan perut berangin dan terjeluak, si manja mungkin mengalami ketidakseimbangan foremilk/hindmilk atau intoleransi makanan atau alahan. Berundinglah dengan pakar untuk penyelesaian terbaik

Sekiranya susu formula menyebabkan najis bayi warna hijau lumut bersama sakit perut, rujuklah doktor untuk menukar jenama susu formula lain

Seandainya anak menghidapi penyakit atau sakit perut yang menyebabkan najis berwarna hijau, dan tidak sihat, lakukan pemeriksaan doktor untuk mengetahui rawatan bagi penyakit atau masalah perut mereka. Anak juga perlu dihidrat semula jika mengalami dehidrasi

Dalam mana-mana situasi yang tidak menyenangkan atau anak tampak sakit, segera bawa mereka untuk pemeriksaan doktor. Sentiasalah mendengar naluri keibubapaan anda apabila melibatkan keadaan kesihatan anak.

Kredit: Hello Doktor

Ketahui fungsi caresat di E-Workshop Sayangi Nyawa Anak Dalam Kereta, Let’s Buckle Up! Daftar secara PERCUMA di https://toko.ideaktiv.com/product/sayang-nyawa-anak-dalam-kereta/

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!

 

Published by
NuFa