Nak Anak Jadi Baik, Ibu Bapa Juga Perlu Jadi Baik. Ini Papa Mama Kena Buat Setiap Hari

Share

Nak anak jadi baik, contoh yang baik juga perlu ditunjukkan oleh ibu bapa. Paling penting masa kualiti buat anak-anak. Sebagai  ibu bapa  meluangkan masa bersama anak-anak setiap hari walaupun hanya 5 minit di kira sangat bermakna.

Ibu bapa perlu tahu, meluangkan masa berkualiti ini tidak semestinya harus mengeluarkan belanja yang besar seperti makan di restoran, hotel atau membawa anak ke pusat membeli-belah.

Ibu bapa yang bijak boleh mengambil peluang ini hanya di rumah untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat secara bersama. Melayan anak bermain, mendengar anak bercerita dan makan bersama itu dah cukup memberi keseronokan pada anak.

Jika anak dibiarkan bermain bersendirian dengan barang permainan yang bertimbun ini satu kesilapan. Ibu bapa harus  cuba masuk dalam dunia anak, sama-sama bermain di samping memberi pendidikan secara tidak langsung kepada anak-anak.

Harus diingatkan bahawa masa berkualiti bersama keluarga bukanlah bergantung kepada berapa lamakah masa itu tetapi apakah pengisian masa itu benar-benar berkualiti sama ada ia dilakukan secara bersama atau tidak.

Antara yang boleh ibu bapa praktikkan dalam memanfaatkan masa bersama anak adalah:

1. Fokus

Fokus kepada anak. Ketepikan dahulu hal-hal lain terutamanya telefon bimbit. Mungkin kita rasa penting tapi apa salahnya biarkan sekejap. Fikirkan masa dengan anak sangat sekejap kerana seharian kita dah di tempat kerja. Tak rugi pun.

2. Komunikasi

Komunikasi adalah salah satu cara yang berkesan buat anak dan pasangan. Amalkan sikap bertanya yang menunjukkan keprihatinan kita walaupun perkara remeh. Jika ia menjadi amalan anak tidak akan berahsia dan seronok untuk bercerita.

3. Bahasa Badan

Peluk, cium, pegang badannya, belai rambutnya. Beri tumpuan semasa anak bercakap supaya mereka tahu kita bagi perhatian. Walaupun rasa tak penting apa salahnya anda layankan je.

4. Bergurau

Bergurau dengan anak. Ciptalah suasana yang menyeronokkan untuk anak. Tak perlu tunggu anak dah besar kerana anak satu tahun pun dah pandai bermain. Apatah lagi kalau yang dah besar.

5. Manfaatkan waktu makan bersama

Waktu makan antara masa yang sangat sesuai untuk ibu bapa berikan nasihat dan pujian kepada anak-anak. Gunakan waktu makan untuk sama-sama perbaiki diri. Suasana ini jika dijadikan amalan akan dapat menjadi satu yang terbaik dalam keluarga anda.

Paling penting letakkan telefon bimbit atau gajet masing-masing jauh dari meja makan. Dalam tempoh ini, tumpuan perlu diberikan kepada perbualan keluarga, tidak kiralah apa topiknya.

BKK1M platform kesejahteraan keluarga

Sementara itu, sempena Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia (BKK1M), Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata ibu bapa perlu menghabiskan masa berkualiti bersama anak-anak tanpa diganggu penggunaan gajet.

“Ketika masa berkualiti inilah ibu bapa boleh mengambil kesempatan untuk berkomunikasi secara terus bersama anak-anak, mengambil tahu perihal terkini dan aktiviti seharian anak-anak mahupun pasangan.

“Jika amalan ini tidak diterapkan sejak awal, kemungkinan besar nilai-nilai murni kekeluargaan akan terhakis dan hubungan kekeluargaan juga semakin renggang.

“Paling membimbangkan juga ialah isu ketagihan gajet yang berlaku tidak mengira peringkat umur dan ini perlu diatasi,” katanya yang turut melancarkan kempen No Gadget Hour.

Rohani turut menekankan kempen ini dilihat sangat penting untuk meningkatkan kesejahteraan dan kesihatan keluarga di negara ini.

“Ini kerana trend semasa, Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang mengutamakan teknologi, automasi dan pertukaran data banyak mempengaruhi kehidupan keluarga masa kini.

“Pemodenan teknologi media dan komunikasi melalui internet pelbagai media sedikit sebanyak memberi cabaran kepada institusi keluarga konvensional.

“Apa yang membimbangkan kebanyakan ibu bapa sekarang gemar memanjakan anak dengan memberi gajet sejak kecil.

“Sedangkan perkembangan teknologi ini banyak memberi kesan negatif kepada kanak-kanak jika disalahgunakan dan tiada pengawasan ibu bapa,” jelasnya.

Published by
Wan Amy