Setiap ibu bapa pasti idamkan anak yang soleh dan solehah. Namun dalam usaha untuk mencapai impian itu, perlu ada usaha dan doa daripada ibu bapa supaya dapat mengiringi perjalanan anak-anak dengan lebih baik.
Perkongsian daripada seorang ibu, Puan Wan Nur Syakira mengenai bagaimana ibu bapa boleh lakukan untuk pastikan anak membesar menjadi anak yang baik.
Saya kumpulkan 4 tips yang saya jumpa dan amalkan.
1️⃣ DOA
Setiap kali pakaikan baju dan seluar anak-anak, saya akan bacakan doa memakai pakaian kuat-kuat.
” Ya Allah, sebagaimana Kau cantikkan rupaku, Kau cantikkanlah akhlakku.”
Lalu saya lanjutkan dengan doa,
“Ya Allah, jadikanlah Adam dan Yusuf anak yang soleh, anak yang mudah dididik dan dilentur, anak yang jaga solat , quran dan akhlaknya”, dan saya lanjutkan juga doa-doa yang lain.
Tak lupa, doa, ” Ya Allah, berilah kekuatan dan kesabaran buat abi dan ummi untuk didik anak -anak. Moga dapat jadi contoh yang baik buat anak”. Doa untuk diri kita juga.
Selalunya ibu bapa lupa untuk mendoakan diri sendiri. Terlalu fokus doakan anak.
Dengan harapan, moga Allah makbulkan doa ini dan Adam dan Yusuf mengerti harapan umminya ini.
2️⃣ Doa selepas solat or ketika sujud atau mana-mana waktu mustajab doa ( contohnya ketika hujan, kita ajak sekali anak kita aminkan doa sama-sama atau hari jumaat, kita banyakkan doa ).
Lagi hebat kesannya, doa bila kita bertahajud. Berqiamullail.
Doa ibu bapa ini sangatlah ajaib khususnya doa ibu. Saya pun selalu minta doa ummi dan abah dalam menjalani hidup.
Saya pasti ada peristiwa dalam perjalanan hidup saya dimudahkan oleh Allah disebabkan doa dan restu ummi dan abah saya.
Tanpa mereka dengan izin Allah, pasti perjalanan seorang anak anak ini sukar dan payah.
3️⃣Pengaruhi minda separa sedar anak. Ketika anak sudah mahu tidur, sudah lali, bisikkan doa dan harapan kita untuknya.
Bercakaplah dengan anak kita tentang akhlak yang baik sambil menyusu dan anak sudah mahu terlelap.
Kuasa minda separa sedar ini sangat hebat dan akan terkesan untuk jangka waktu yang lama. Orang barat kata, ” bed time story”.
So, ambillah peluang ini untuk doakan, nasihatkan anak biarpun anak masih kecil.
Moga ada hasilnya buat ibu yang tiada putus asa mendidik.
Tips ini saya dapat dari kuliah Ustazah Asma’ Harun.
Sudah pasti, tiada kelihatan lagi kesannya pada waktu ini, kerana jika anak kita masih kecil. Belum menginjak 2 tahun pun. Tapi sebagai ibu, wajib kita usaha untuk anak tersayang.
4️⃣- Kitalah yang harus tunjukkan akhlak dan karakter yang baik.
Itu yang utama. Sebagai ibu, harus sentiasa berubah jadi lebih dan baik. Bukan semata-mata untuk anak, untuk diri sendiri juga.
Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA katanya, tidaklah Rasulullah SAW seorang yang bersifat keji, dan tidak pernah melakukan perkara-perkara yang keji, Baginda bersabda, “Sesungguhnya di antara orang-orang yang terpilih di antara kamu ialah orang yang paling mulia akhlaknya.”
(Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Maksud orang yang terpilih, adalah orang-orang yang berakhlak mulia adalah orang yang terpilih di sisi Allah dan Rasul serta diberi darjat yang istimewa di dalam Syurga.
Kitalah role model pertama mereka. Kita tak sempurna, namun sentiasa ada ruang untuk jadi lebih baik.
Anak-anak cermin ibu bapa, mengikut kajian, umur anak 3-4 tahun akan menzahirkan didikan dan ajaran ibu bapa tersebut.
Bila ada yang tak kena pada anak, saya cuba muhasabah pada diri.
Kenapa Adam macam tak dengar bila saya cakap ?
Rupanya ada waktu saya yang tak respon dia cakap.
Kenapa Yusuf gunakan suara kuat untuk panggil saya ?
Rupanya bila dia guna suara perlahan saya tak berpaling pun.
Kenapa anak-anak susah nak ikut rutin makan di meja makan ?
Rupanya umminya yang tak konsisten makan di meja makan.
Begitulah. Sedarlah kita bahawa kita punya pengaruh yang besar dalam membentuk anak-anak.
Tapi kita ibu ayah, memang tak lepas dari silap, takpe, bangun balik, maafkan diri, dan doalah sentiasa.
Moga Allah hiasi anak kita dengan akhlak mulia. Moga keluarga kita bahagia dengan berakhlak mulia. Moga Allah kuatkan semua ibu dan bapa untuk mendidik anak.
Moga Allah himpunkan kita satu keluarga di syurga dengan asbab Allah merahmati kita disebabkan akhlak mulia yang memberatkan timbangan. Amin.
Dari Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
مَا مِنْ شَىْءٍ يُوضَعُ فِى الْمِيزَانِ أَثْقَلُ مِنْ حُسْنِ الْخُلُقِ وَإِنَّ صَاحِبَ حُسْنِ الْخُلُقِ لَيَبْلُغُ بِهِ دَرَجَةَ صَاحِبِ الصَّوْمِ وَالصَّلاَةِ
“Tidak ada sesuatu amalan yang jika diletakkan dalam timbangan lebih berat dari akhlak yang mulia. Sesungguhnya orang yang berakhlaq mulia boleh menggapai darjat orang yang rajin puasa dan rajin solat.” (HR. Tirmidzi no. 2134 )
Sumber: Wan Nur Syakira
**Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi