Anak yang bijak dan cerdas menjadi idaman setiap ibu bapa. Tahukah anda bahawa bayi dilahirkan dengan lebih daripada 100 bilion sel-sel otak? Semasa dilahirkan, sesetengah sel tersebut telah bercantum dengan sel-sel lain bagi mengawal degupan jantung dan pernafasan, tindakan refleks dan fungsi-fungsi badan yang lain.

SEL OTAK

Anehnya, kebanyakan sel-sel otak hanya bercantum selepas anak anda dilahirkan. Sel-sel otak hanya membentuk perhubungan dengan kebanyakan bahagian di dalam otak pada bulan-bulan dan tahun-tahun pertama di dalam kehidupan. Pembesaran dua pertiga daripada otak ini berlaku dalam tempoh 0 hingga 8 tahun pertama kehidupan. Fokus pada menstimulasikan otak pada tempoh ini adalah sangat kritikal. Percantuman sel-sel ini adalah komponen-komponen kompleks yang membentuk pemikiran, perasaan dan tabiatnya.

Pada masa dahulu, sesetengah para saintis menyatakan yang perkembangan otak ditentukan secara genetik. Perkembangan otak terjadi mengikut haluan biologi yang telah ditentukan lebih awal lagi. Pengalaman awal boleh mempengaruhi perkembangan otak dan merangsang cara-cara tertentu di mana komponen-komponen ini disambungkan. Otak si manja sentiasa bekerja. Dunia di sekelilingnya mempengaruhi pembentukan perkembangan otaknya melalui pengalaman yang dirasai oleh deria-  melihat, mendengar, menghidu, menyentuh dan merasa.

STIMULASI

Paling baik, rangsangan otak dilakukan sejak daripada alam rahim lagi dan diteruskan selepas kelahiran.

Usia 0 hingga 6 tahun adalah waktu kritikal di mana sebarang stimulasi yang dilakukan pada otak dalam masa ini akan menggalakkan percantuman antara sel-sel yang bermula dari bawah ke atas. Jika rangsangan tidak dilakukan, sel-sel ini akan mati.

Jika perkembangan tersebut tidak disusuli dengan rangsangan yang betul, maka bersedialah membelanjakan wang yang banyak untuk menghantar anak anda ke pusat-pusat terapi atau tuisyen dalam membantu memulihkan perkembangan tersebut. Justeru, apa sahaja yang dilakukan pada peringkat umur ini akan memberikan impak kepada perkembangan kognitif dan pemikiran mereka.

PANDUAN RANGSANGAN OTAK ANAK 

Komunikasi

Kerapkan berkomunikasi  dengan anak terutama sekali yang melibatkan komunikasi dua hala. Misalnya berbual, bercakap dengannya mengenai sesuatu topik atau apa yang ada di sekeliling. Komunikasi tidak formal ini akan memberikan impak positif dari segi perkembangan bahasa dan pembinaan perbendaharaan kata (vocabulary). Minta pendapatnya dalam pelbagai situasi untuk membina pemikiran kritis dan lontaran idea spontan. Jangan abaikan suara kecil ini kerana kelak segala memori yang diperolehinya akan disimpan di lexical database pada otak. Info-info ini akan dipanggil semula tanpa sedar apabila diperlukan nanti. Membaca buku bersama pada 10 minit terakhir sebelum tidur akan membantu si kecil menambah tatabahasa dan perkataan baru.

 

Sebab-akibat

Sentiasa menghuraikan tentang sebab-akibat kepada si manja. Hal ini akan memberikan info-info baru kepada si manja. Info tersimpan di lexical database akan dipanggil semula tanpa sedar dan membantu pembinaan skema pengetahuan yang tersimpan.

Sebagai contoh, si manja belajar tentang ‘awan’. Skema yang membentuk ‘awan’ antaranya adalah (i) titisan air, (ii) pelbagai bentuk seperti awan cirrus, awan cirrostratus, awan cumulus, (iii) warna awan dan pelbagai lagi. Dalam tidak sedar, si manja anda membina ilmu pengetahuan mereka.

 Minda bawah sedar

Jangan main-main dengan minda bawah sedar. Waktu sebelum tidur adalah waktu yang kritikal yang mampu memberikan kesan kepada pembangunan minda bawah sedar.  Untuk membantunya berkembang sihat, elakkan si manja daripada melihat imej negatif seperti filem kejam, seram, mendedahkannya kepada situasi negatif seperti memarahinya atau keadaan yang tertekan.

Setiap kali terdedah kepada perkara negatif, sejenis bahan kimia yang berkait rapat dengan stres akan di rembes dan kekal di dalam badan.  Hal ini kerana khuatir akan menjejaskan pembinaan otak, karakter dan pemikiran si manja.

Rangsangan deria

Rangsangan deria atau sensori penting dalam merangsang minda si kecil. Bawa si manja ke tempat-tempat yang berlainan supaya dia boleh menerokai bermacam-macam tekstur, bau, saiz, bentuk dan warna.

Misalnya ke taman permainan, pantai, hutan, sawah, padang dan sebagainya. Benarkan anak anda untuk menyentuh dan merasa setiap tekstur tersebut dengan jari mereka. Setiap benda yang di sentuh oleh jari si manja secara tidak langsung sebenarnya juga merangsang otak mereka. Begitu jugalah pentingnya peringkat merangkak. Anak-anak yang tidak melalui peringkat ini berkemungkinan besar akan ada masalah yang berkaitan dengan sensori.

 

Tinggalkan Komen