Nak Anak Jadi Hamba Allah Yang Taat, Ibu Ayah Wajib Didik Mereka Dengan 7 Perkara Ini

Share

Semua ibu ayah sentiasa mendoakan anak mereka membesar sebagai hamba Allah yang taat kepada perintahNya dan dengar cakap ibu bapa. Semakin hari semakin besar cabaran ibu bapa hari ini untuk mendidik anak-anak. Zaman anak-anak membesar dengan gajet dan segala macam teknologi yang banyak mendedahkan mereka kepada perkara negatif jika di salahgunakan.

Pendidikan anak adalah perkara yang sangat penting di dalam Islam. Di dalam al-Quran Allah SWT menceritakan cara Luqman Hakim mendidik anaknya sebagai panduan untuk semua. Bahkan Rasulullah s.a.w turut berpesan kepada umatnya dalam hadis-hadis baginda tentang cara mendidik anak mengikut ajaran Islam.

Sebagai orang tua, ibu bapa wajib mengetahui betapa besarnya amanah yang perlu digalas untuk mendidik anak-anak menjadi hamba Allah yang taat dengan perintahnya dan mampu mengharungi liku-liku cabaran hidup di dunia. Oleh itu ibu ayah ikutlah cara mendidik anak seperti kaedah yang diajarkan oleh Nabi s.a.w seperti berikut:

1. Ajar tauhid dan aqidah pada anak

Sematkan dalam hati anak-anak tentang kewujudan Allah. Sejak dari kecil  biasakan mereka tahu siapa pencipta mereka, siapa mencipta alam ini dan segala makhluk-makhluk yang ada di sekeliling mereka.

Biarpun mula-mula anak mesti keliru dan tak faham siapa Allah tapi dengan cara memberi penerangan yang mudah, insyaAllah si kecil akan faham. Bila anak tahu kewujudan Allah, dosa dan pahala kalau berbuat jahat dan baik maka mereka akan berlumba-lumba untuk buat baik kerana mahu masuk ke dalam syurga. Sentiasa ingatkan untuk meminta pertolongan hanya dari Allah.

Sementara dalam hadis Nabi s.a.w ada disebutkan yang bermaksud

Rasulullah s.a.w bertanya kepada seorang budak perempuan, “Di mana Allah?”. Budak tersebut menjawab “Allah di langit”. Baginda bertanya pula, “Siapa aku?” Budak itu menjawab, “Engkau Rasulullah”. Rasulullah kemudian bersabda, “Bebaskan dia, kerana sesungguhnya dia adalah wanita mukminah”. (HR Muslim dan Abu Daud).

2. Ajar anak mengerjakan ibadah

Sejak kecil lagi ajar anak bagaimana cara mengerjakan ibadah dengan betul seperti diajar oleh Rasulullah s.a.w. Mulakan dari cara bersuci, solat, puasa dan lain-lain ibadah.

Rasulullah s.a.w bersabda, yang bermaksud

“Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.” (HR.Al-Bukhari).

“Ajarlah anak-anak kalian untuk solat ketika mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika mereka berusia 10 tahun (jika enggan bersolat).”

Bila mereka sudah biasa menjaga ketertiban dalam bersolat, ajaklah mereka untuk bersolat jemaah di masjid. Dengan melatih anak sejak kecil maka Insya-Allah bila besar mereka sudah terbiasa dengan ibadah-ibadah tersebut.

3. Ajar anak baca al-Quran, hadis, doa dan zikir yang mudah

Mulakan dengan surah Al-Fatihah dan surah-surah yang pendek serta doa tahiyat untuk solat. Jika boleh digalakkan menyediakan guru khusus bagi mereka mengajar tajwid, menghafal al-Quran serta hadis. Begitu juga dengan doa dan zikir harian. Sejak usia kecil lagi biasakan anak dengan amalan doa-doa harian seperti doa makan, naik kenderaan, masuk tandas, tidur supaya perlahan-lahan mereka boleh menghafalnya dan menjadikan satu amalan.

4. Didik anak dengan adab dan akhlak yang mulia

Ajarlah anak dengan berbagai adab Islami seperti makan dengan tangan kanan, minum air mesti duduk, membaca Bismillah sebelum makan dan minum, menjaga kebersihan, mengucapkan salam dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan akhlak. Tanamkan dalam diri mereka akhlak-akhlak mulia seperti berkata dan bersikap jujur, menolong ibu ayah, menghormati orang yang lebih tua, sayang kepada yang lebih muda, tidak kedekut dan macam-macam lagi.

5. Larang anak dari melakukan perbuatan yang diharamkan

Anda mestilah kerap mengingatkan anak supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak baik dan diharamkan dalam Islam seperti mencuri, mengambil hak orang lain, berjudi, minum arak, melawan ibu bapa dan lain-lain lagi.

6. Tanamkan sifat jihad dan keberanian dalam diri anak

Kerap bacakan anak kisah-kisah kehebatan dan keberanian Nabi s.a.w dan para sahabat baginda dalam peperangan untuk menegakkan Islam supaya mereka mengetahui baginda dan sahabat-sahabatnya adalah hero yang berani dan patut disanjung dan dikagumi. Bukannya watak superhero kartun ciptaan manusia yang sering ditayang di televisyen. Tanamkan juga dalam diri anak-anak untuk cinta dan sayangkan agama Allah dan keinginan untuk memperjuangkan Islam serta tidak takut untuk berjihad di jalan Allah. Didik juga anak supaya berani melakukan amal ma’ruf nahi munkar, dan tidak takut kepada perkara yang tidak benar melainkan hanya kepada Allah. Jangan menakut-nakutkan anak dengan cerita-cerita bohong, seram, hantu, binatang tertentu dan tempat gelap. Sebaliknya hanya katakan pada mereka takut itu hanya kepada Allah SWT sahaja.

7. Biasakan anak dengan pakaian yang patuh syariah

Biarpun anak masih kecil tapi biasakan mereka memakai pakaian yang sesuai mengikut jantina masing-masing. Jangan biasakan anak memakai pakaian yang ketat dan menunjukkan aurat keterlaluan walaupun anak kecil belum baligh dan tidak wajib menutup aurat lagi.

Demikianlah beberapa ajaran dari Rasulullah s.a.w dalam mendidik anak. Semoga kita sebagai orang tua dapat merealisasikannya dalam mendidik anak-anak. Dalam proses mendidik anak-anak menjadi hamba Allah yang soleh dan solehah, hendaklah ibu ayah selalu bersabar, tak jemu menasihat dan mengingatkan anak dengan lembut dan penuh kasih sayang. Jangan menengking dan memaki hamun mereka sekiranya ada yang membuat kesilapan sebaliknya penting untuk memberi tunjuk ajar dan membetulkannya. Semoga usaha kita diredai oleh Allah SWT.

Sumber: anakmuslim

Published by
Hasnita Sawal