Anak-anak pelengkap keluarga, kehadiran mereka memeriahkan lagi kehidupan berumah tangga. Tambah meriah bila lengkap punya anak lelaki dan perempuan dalam keluarga, sempurna seadanya.
Bagi pasangan Siti Aisyah Abu, 34 serta pasangannya, Mohamad Khairunizam Ismail, 40 yang mana impian mereka untuk memiliki anak perempuan akhirnya tercapai setelah dikurniakan empat orang anak lelaki.
12 tahun kahwin, dapat 4 anak lelaki
12 tahun usia perkahwinan, menurut laporan Mstar, pernah Khairunizam bernazar untuk kelahiran anak yang keempat jika mereka dikurniakan anak perempuan.
“Anak sulung sampai nombor empat semua lelaki. Memang nak sangat anak perempuan sebenarnya. Tapi masa mengandung anak keempat, saya tak tahu lagi jantina dia masa tu. Suami bernazar cakap pada saya ‘Kalau yang ni dapat girl, saya nak simpan rambut panjang. Awak dah bersalin baru saya potong.”
“Suami saya ni rambut dia jenis kerinting jadi dia malu sikit nak simpan sebab nanti semua orang kutuk. Tapi demi untuk anak ke empat, dia sanggup bernazar tak nak potong rambut.
“Masa saya pergi scan awal mengandung tak nampak lagi jantina bayi. Sampai dah tujuh bulan pun baby tak nak tunjuk jadi doktor kata kemungkinan perempuan tapi doktor tak nak bagi harapan pada saya,” jelasnya kepada Mstar.
Tambah Siti lagi yang menguatkan nalurinya dan suami tentang anak perempuan, ketika hamil kali keempat, dirinya suka bersolek dan berhias berbeza ketika mengandungkan tiga anak yang terdahulu.
“Saya perasan masa mengandung anak keempat ni saya asyik nak melawa je. Saya suka make up dan bergaya. Masa anak yang lain saya jadi malas sikit nak berdandan.
“Jadi bila suami perhatikan sikap saya tu, dia pun cakap kemungkinan besar saya mengandung baby girl.
“Saya pun dengan yakin ambil keputusan beli barang untuk anak dalam kandungan saya ni siap-siap sebab teruja. Saya beli baju warna pink dan barang-barang lain semua warna untuk anak perempuan,” jelasnya lagi.
Doktor sahkan anak keempat pun lelaki
Setelah melakukan pemeriksaan sekali lagi, keputusan yang dikongsi oleh doktor tidak seperti yang disangka. Anak dalam kandungan Siti kali itu juga adalah lelaki.
“Masa saya sarat nak bersalin, doktor scan lagi sekali dan beritahu yang anak saya sebenarnya ‘boboy’. Dalam hati saya masa tu cakap tak apalah, asalkan anak saya sihat dan selamat pun dah cukup bersyukur.
“Tapi masa nak beritahu suami tu ada juga perasaan hampa sikit, risau dia kecewa sebab dah excited sangat nak ada baby girl.
“Lepas saya beritahu suami yang doktor scan tadi kata anak ni boy, suami pun senyum sambil kata tak apa. Dia pun tak kisah sama ada lelaki atau perempuan asalkan baby sihat, walaupun ada juga nampak kekecewaan sikit pada mukanya,” kongsi Siti lagi.
Ditanya tentang rambut yang disimpan, menurut Siti suaminya tidak memotong rambut sehinggalah anak keempat yang diberi nama Mohammad Airil Zaquan dilahirkan pada 26 Jun 2018.
Akhirnya anak kelima perempuan
Wanita ini turut mengakui bawaha wajah anak keempatnya yang kini sudah berusia 5 tahun kelihatan comel dan lembut persis bayi perempuan. Perkara itu turut diakui oleh orang sekeliling.
Namun sudah tertulis rezeki pasangan ini untuk mempunyai anak perempuan, setahun selepas melahirkan anak keempat, Siti hamil anak kelima dan telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Kyra Kaisara pada 28 Mei 2020.
“Setahun lepas dapat anak keempat saya mengandung pula. Kali ni memang pasti anak perempuan tapi saya dah tak beli baju baru pink. Saya beli semua warna putih, biru dan hijau saja untuk dia.
“Alhamdullilah ada juga rezeki kami nak dapat anak perempuan. Merasa juga ada anak perempuan dalam keluarga kami. Suami pun senyum lebar,” akhiri Siti ketika ditemubual oleh Mstar.
Sumber: Mstar
https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-sayang-anak-ketat-ketat
Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!