Seronoknya mama papa bila dengar perkataan pertama si kecil tersayang. Ada yang siap rekodkan video bila anak sebuat perkataan pertama dan ada juga tulis dalam jurnal untuk dijadikan sebagai kenangan bila mereka besar nanti.
Kemahiran anak untuk bercakap merupakan perkara penting dalam tumbesaran si kecil, jadi untuk mendidik mereka supaya cekap bercakap ada beberapa perkara yang boleh dibuat oleh mama papa sendiri.
Seperti yang disebutkan dalam penulisan Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Pensyarah Kanan UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal (0-6 tahun) di peringkat ASEAN. Ketahui lebih lanjut dalam artikel di bawah:
8 PETUA MENDIDIK SI KECIL UNTUK CEKAP BERCAKAP
Kemahiran berbahasa atau bercakap merupakan suatu kemahiran yang penting, lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak pada peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun (tahun-tahun sebelum pendidikan formal bemula di sekolah rendah kelak). Kita semua manusia yang hidup dalam dunia sosial sama ada dalam unit keluarga, komuniti atau masyarakat. Kemahiran berbahasa atau bercakap dapat membina jambatan antara si kecil dengan dunia sekeliling seawal usianya.
Untuk memahami betapa pentingnya kemahiran komunikasi lisan ini, anda sebagai papa dan mama hanya perlu membayangkan kepayahan yang dihadapi oleh seorang anak kecil yang tidak boleh bercakap kerana dilahirkan dalam keadaan kurang upaya atau yang lambat bercakap kerana faktor fisiologi, psikologi dan sebagainya. Dalam keadaan seperti, walaupun ia tidaklah bererti dunia sudah pun berakhir, banyak kepayahan yang perlu dihadapi sebelum si kecil dalam memahirkan diri dengan bahasa isyarat misalnya.
Oleh itu, memandangkan betapa pentingnya kemahiran berbahasa atau bercakap dalam hidup kanak-kanak pada peringkat usia sebelum pendidikan praformal bermula, pada bulan ini izinkan saya berkongsi dengan mama, papa dan pendidik prasekolah semua lapan petua yang boleh dicuba supaya si kecil akan cekap bercakap.
Pertama: Cuba gunakan bahasa orang dewasa dalam percakapan seharian
Memang benar, tujuan proses komunikasi lisan ialah untuk memastikan kita memahami maksud yang disampaikan oleh orang lain dan kita dapat pula menyampaikan hasrat, maksud atau menzahirkan perasaan yang kita rasai. Walaupun papa atau mama mahu si kecil memahami anda dengan cepat lagi mudah, itu tidak bermakna anda tidak boleh memasukkan perkataan orang dewasa ke dalam perbendaharaan kata mereka.
Sesekali gunakan perkataan, frasa atau ayat yang anak anda mungkin tidak faham, tetapi yang sering digunakan dalam perbualan orang dewasa. Pastikan anda galakkan si kecil anda untuk meminta penjelasan apabila dia tidak memahami sesuatu dan pastikan anda bersedia memberi penerangan. Penggunaan bahasa bayi (baby talk) memang comel tetapi bila dibiarkan hanya akan menjengkelkan dan mungkin memalukan si kecil anda kelak.
Ads
Dua: Berhenti membaca cerita dan minta si kecil anda untuk mula bercerita
Mungkin anda antara mama dan papa yang beruntung kerana dapat membaca cerita dongeng setiap malam kepada anak anda atau bergiliran berbuat demikian. Sudah tentu, ini cara terbaik untuk mengembangkan kemahiran membaca dan berbahasa si kecil. Apa kata selepas ini, anda simpan sahaja buku cerita si kecil dan minta si kecil anda pula untuk merekacipta kisah dongengnya sendiri, dengan bantuan anda pastinya.
Aktifkan skema minda (schema activation) si kecil dengan menunjukkan gambar, permainan atau apa sahaja bahan yang boleh membuatkan dia mula berfikir lantas berimaginasi. Pastikan anda bertanya soalan retorik semasa si kecil bercerita untuk memperkenalkan perkataan dan konsep baharu. Hasilnya kelak, bukan sekadar kemahiran komunikasi lisan si kecil yang akan berkembang maju tetapi juga kemahiran berfikirnya.
Tiga: Banyakkan percakapan bukan sama-sama menatap telefon pintar / tablet
Hari ini kita semua rata-rata seperti tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau tablet, lebih-lebih lagi dalam keadaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini. Memang benar, si kecil boleh belajar berbahasa, menyanyi malah berjoget apabila menonton video di atas talian. Namun, kemahiran bahasa si kecil kesayangan anda sebenarnya lebih cepat meningkat apabila anak anda dan anda bercakap lebih banyak.
Maka, mulakanlah perbualan dengan lebih kerap sebelum si kecil comel anda ke peringkat usia remaja dan dia semakin ‘malas’ bersembang dengan anda. Kanak-kanak pada usia pendidikan praformal sentiasa menyerap semua yang mereka dengar. Semakin mereka mendengar anda bercakap, semakin banyak anda boleh mengajar mereka dan berkongsi masa dan luahan rasa dengan penuh bermakna.
Ads
Empat: Cuba main alat permainan bahasa yang sudah sedia ada
Kita semua tahu tentang permainan Sahibba atau Scrabble. Maka, jika ada pendapatan lebih silakan dibeli permainan bahasa seperti ini untuk dimainkan bersama-sama si kecil anda yang lebih tua sekitar usia 5-6 tahun. Untuk yang lebih muda, ada banyak permainan kata lain yang boleh anda cuba dengan si kecil comel anda. Hari ini, aplikasi telefon pintar atau tablet boleh dimuat turun untuk pembelajaran bahasa yang lebih bermakna dan percuma.
Cuma pastikan anda menghadkan masa yang digunakan untuk gajet dan aplikasi elektronik lain. Tidak dapat kita nafikan bahawa si kecil zaman ini teramat suka bermain dengan telefon pintar atau tablet. Oleh sebab itu, petua keempat ini memperkenalkan aplikasi belajar bahasa dengan santai sebagai helah untuk menarik tangan dan minda si kecil ke alam pengajaran dan pembelajaran tanpa dia sedari.
Lima: Tampal label-label untuk memberi nama kepada barangan di rumah
Hujung minggu ini, silakan ambil masa untuk mencetak atau menulis dengan cantik-cantik nama-nama barang rumah dan tampal sebanyak mungkin untuk manfaat si kecil kesayangan anda. Melekatkan label di atas item isi rumah anda ialah suatu cara yang hebat untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada perbendaharaan kata baharu, tidak kira usia mereka. Namun usaha ini amat baik untuk si kecil 0-3 tahun yang baru belajar bercakap.
Lebih menarik lagi, tidak kira usia anak anda walaupun dia masih belum boleh bercakap atau masih pelat dalam percakapan, label-label seperti ini dapat membantu si kecil itu mengaitkan perkataan bertulis dengan item atau barang tertentu. Pastikan papa dan mama sama-sama menyemak setiap item dengan si kecil sambil menyebut, kemudian sama-sama mengeja (apabila dia semakin cekap berbahasa).
Ads
Enam: Pantau perbendaharaan kata si kecil dan perkembangan bahasanya
Tidak ada alasan lagi, mama dan papa perlu mengambil peranan proaktif supaya si kecil dapat cepat lagi cekap bercakap serta berkomunikasi. Sekiranya papa dan mama mahu kemahiran berbahasa si kecil menjadi lebih elok dalam tempoh masa yang pendek, sila pantau perbendaharaan katanya secara serius, lebih-lebih lagi untuk si kecil 4-6 tahun yang sedang bersedia untuk memulakan pendidikan secara formal di sekolah rendah.
Apabila si kecil kesayangan anda bertanya tentang sesuatu perkataan yang telah didengar olehnya, pastikan anda mengambil peluang itu untuk mengajar definisi dan sebutan yang betul. Lakukan yang terbaik untuk memudahkan pemahaman definisi berkenaan, tetapi berikan butiran dan contoh yang banyak. Sekiranya anda ditanya oleh si kecil, “Papa, apa maksud ‘raksasa’?” Berilah jawapan dan gambaran yang lebih daripada ‘besar.’ Buat perbandingan misalnya gajah amat ‘besar’ jika dibandingkan dengan manusia, tetapi gajah adalah ‘raksasa’ jika dibandingkan dengan semut.
Tujuh: Tidak perlu diperbetulkan semua kesilapan si kecil dalam percakapan
Memang suatu yang semulajadi bagi kanak-kanak untuk tersalah cakap atau salah dalam penggunaan perkataan baharu. Yang paling utama, anda janganlah pula terus-menerus menegur atau terlalu cepat memperbetulkan anak kecil anda apabila dia membuat kesilapan yang tidak terlalu serius.
Sebaliknya, beri pujian dan sokong usaha si kecil anda itu. Tunjukkan perkataan yang dia sebut dengan betul, kemudian semak cara yang lebih tepat untuk menggunakan atau mengucapkan perkataan tersebut. Semakin menyeronokkan dan positif pengalaman yang dirasai, semakin tinggi minat si kecil untuk bercakap dan berkomunikasi!
pakar 3
Lapan: Banyakkan bersabar dalam mendidik si kecil anda untuk cekap bercakap
Mama dan papa mungkin perlu mengulang perkataan dan makna beberapa kali sebelum si kecil memahami konsep itu. Ini perkara normal dalam peringkat usia pendidikan praformal 0-6 tahun. Selanjutnya, jika anak jiran atau anak saudara yang sebaya dengan anak kecil anda sudah boleh bersembang seperti seorang pembaca berita lagaknya, ingatlah bahawa mendidik si kecil bukan suatu peraduan!
Kanak-kanak berkembang maju mengikut acuan dan kadar mereka sendiri. Hormati dan imbangi keperluan mereka supaya pembelajaran tidak menjadi suatu penyeksaan! Walaupun anda mahu si kecil kesayangan anda maju, anda tentu tidak mahu dia merasai perasaan negatif atau tekanan yang tidak wajar, bukan?
Penyelidikan di Universiti Arizona, Amerika Syarikat membuktikan bahawa pendedahan kepada buku, pendedahan kepada bahasa, penjelasan tentang dunia sekeiling – semua ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk cekap bercakap kelak. Apabila papa dan mama melihat si kecil manja lagi comel anda bertambah cekap berbahasa kelak, anda pasti akan lega dan puas hati dengan segala-gala usaha yang dilakukan selama ini.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Maklumlah kalau yang pertama kali bergelar ibu ayah sudah tentu masih kurang lagi pengalaman menangani masalah anak muntah bila tak sihat. Kalau begitu adalah lebih baik anda baca perkongsian ditulis oleh Dr Erna Nadia mengenai apa langkah awal perlu buat bila anak muntah?
Anak yang muntah memang akan buatkan ibu bapa resah gelisah. Nak-nak pula bila muntah waktu malam dan tanpa henti.
Ok, jom kita tahu dulu kenapa kanak kanak muntah.
Muntah biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman di dalam sistem pencernaan kanak kanak. Kuman yang menyebabkan jangkitan ini adalah biasanya virus. Bakteria pun boleh juga cuma jarang.
Penyebab kanak kanak muntah adalah:
1.Jangkitan kuman di dalam sistem pencernaan
– biasanya akan diiringi dengan cirit birit, demam dan kurang selera makan
– akan sembuh dalam masa 1-3 hari.
2.Alahan kepada sesuatu makanan atau bahan
– Sebab tu ibu bapa perlu cakna apa yang anak anda alah.
– Bukan semua alahan adalah disebabkan oleh makanan sahaja, ada juga yang alah kepada pewarna, sabun, debu yada yada yada.
– Makanan yang menyebabkan alahan adalah seperti telur, makanan laut, ayam, kekacang.
3.Keracunan
– boleh jadi disebabkan makanan yang sudah basi, makanan yang dijangkiti virus,makanan mentah atau bahan kimia racun yang lain seperti clorok.
4.Masalah usus
– contohnya masalah jangkitan appendiks, usus terbelit atau usus bocor.
Jangkitan kuman yang lain
– contohnya kencing kotor, jangkitan kuman dalam telinga, radang paru paru atau yang paling takut adalah jangkitan kuman di dalam otak.
Penyebab muntah kepada bayi pula adalah:
1.Jangkitan kuman di dalam sistem pencernaan
2.Gastroesophageal reflux
– kandungan dalam perut terkeluar balik ke atas.
3.Alahan makanan atau bahan lain
4.Lubang botol terlalu besar menyebabkan susu masuk ke dalam mulut demgan laju dan banyaknya.
5.Masalah kongenital
– biasanya adalah congenital pyloric stenosis iaitu keadaan yang berlaku sejak lahir di mana laluan kemasukan makanan adalah sempit.
6.Intussusception
– keadaan yang dipanggil bowel telescope, iaitu di mana usus menjadi seperti teleskop ( usus termasuk masuk ke dalam usus berdekatan dengannya) menyebabkannya tersumbat.
7.Strangulated hernia
– Angin pasang bersimpul.
8.Terlebih makan atau minum.
Bila perlu risau anak kita muntah?
a. Muntah yang melebihi 24-28 jam.
b. Muntah yang mengandungi darah atau sedikit kehijauan (hijau ini dikhuatiri daripada bile-sejenis jus dari hempedu).
c. Muntah yang diiringi dengan demam yang tinggi ( suhu melebihi 38.5 ke atas).
d. Muntah yang diiringi dengan cirit birit yang teruk.
e. Anak menjadi kurang aktif/lemah/lesu.
f. Anak kurang makan dan minum.
g. Tanda tanda dehidrasi:
– Mulut/bibir kering
– Menangis tapi tiada air mata
– Lesu dan nampak celaru
– Kurang air kencing ( sebab tu kena rajin periksa pampers anak 4-6 jam sekali untuk melihat air kencing ada atau tidak)
h. Nampak resah gelisah/ tak senang duduk
i. Asyik mengadu sakit /menangis
j. Ada sakit kepala atau leher menjadi kejang.
k. Perut kelihatan kembung atau keras.
l. Anda sendiri berasa risau melihat anak anda.
Jika ada tanda tanda seperti di atas, silalah bawa anak anda berjumpa doktor bertauliah di klinik atau hospital berhampiran.
Tak usahlah melengahkan masa dengan bertanya di media sosial atau di whatsapp/telegram/line/mesej. Anda hanya melengahkan masa dan memburukkan lagi kesihatan anak anda.
Setiap masalah perlu diperiksa di depan mata bukan secara maya. Perhatikan anak anda sebaiknya. Jika mereka muntah, lihat samada mereka selesa atau tidak.
Jika anda berasa tidak sedap hati dengan kelakuan anak anda, terus bawa berjumpa doktor. Masa adalah nyawa.
Ini Langkah Awal Perlu Buat
Berikut adalah langkah langkah pengawalan yang boleh di amalkan di rumah untuk mengelakkan orang lain terjangkit sama:
1.Jangan beri ubat tahan cirit (anti-diarrhea) kepada anak anda jika bukan atas nasihat doktor. Ianya boleh membahayakan anak anda.
2.Cuci tangan anda selepas anda membersihkan anak anda.
3.Kalau boleh, jangan hantar anak anda ke sekolah atau taska atau tadika untuk beberapa hari sehingga muntah mereka sudah berhenti. Ianya takut berjangkit kepada kanak kanak yang lain.
4.Elakkan anak anak mandi kolam atau laut atau mana mana tempat mandian terbuka sehinggalah mereka betul betul pulih dari muntah atau cirit. Jangan biarkan orang lain terjangkit sama ok.
5.Jangan berkongsi barang keperluan yang sama dengan mereka.
6.Cuci dan tukar cadar atau kain lapik yang telah terkena muntah anak.
Pastikan mereka mandi dan cuci mulut/gosok gigi seperti biasa. Pastikan mereka kekal bersih.
Berikut rawatan yang sesuai untuk dilakukan di rumah:
Dr. Erna Nadia
Pegawai Perubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia
Kanak-kanak berumur 3 hingga 4 tahun memang selalu uji kesabaran ibu & ayah. Tantrum & tabiat menipu sering kali menjadi tabiat. Guru ini kongsi cara untuk mengelakkan ia daripada menjadi kebiasaan atau habit.
Puan Ina, Pengasas TFA playschool berkongsi tentang hal ini. Katanya, pembentukan emosi kanak-kanak pada awal usia ini memerlukan pendekatan sesuai untuk menanganinya. Kanak-kanak 3 tahun dipanggil threenagers suka buat drama & menipu untuk mendapat perhatian orang sekeliling.
Kali ini saya nak cerita tentang pembentukan emosi kanak-kanak..
FASA 3-4 TAHUN PALING MENCABAR PEMBENTUKAN EMOSI ANAK
Pada usia 3 tahun mulalah pelbagai drama.. Lakonan. ‘tipu’ oleh kanak-kanak..THREENAGERS
Ikut kajian by the time cecah umur 4 tahun akan menipu tiap 120min… ataupun 2jam
Just untuk rekod Aulia (anak premature saya) hidup tanpa gajet & televisyen.
Hanya bermain, travel. Makan dan bersosial. Dan masih lalui fasa ‘menipu’ tu.. Kasar sikit bunyinya.. Hakikatnya mereka tiada niat nak ‘tipu’ tapi untuk menarik perhatian orang yang rapat dengan mereka.
Pergerakan membantu neuron bersambung, kurangkan stres.. Bile lebih byk neuron bersambung, maka emosi akan lebih matang dan kanak-kanak kurang stres.
Otak kita tak boleh nampak macam bateri phone yang kita tau bila kena caj. Bila orang call dan bila tiada signal. Tapi fitrah indah Tuhan dah jadikan. Bergerak. Bermain. Akan sambungkan dan kembangkan otak.
90% OTAK KANAK-KANAK BERKEMBANG PADA USIA 5 TAHUN
90% otak kanak-kanak berkembang pada usia 5 tahun (ni pun sy byk kali share dlm penulisan sy sblm ni).
Jadi sesiapa yang berhasrat nak mula LOCK anak di kerusi di usia 3-6 tahun, emosi anak tidak akan lengkap perkembangannya kerana ia adalah asas otak di mana akan terpakai sehingga akhir hayat.
SEDIAKAN EMOSI ANAK DARI KECIL SUPAYA KUAT BILA DEWASA NANTI
Jangan rosakkan emosi kanak-kanak seterusnya jadikan dia remaja dan dewasa yang tak boleh handle stress. Menyediakan mereka bukan pastikan anak masuk universiti.
Tetapi menyediakan mereka yang kuat mental untuk hadapi masa depan yang semakin mencabar…(saya pernah share statistik yang dikeluarkan KKM 2015, 1:5 pelajar menghadapi masalah mental dan dijangka meningkat)
Jangan cakap nanti-nanti bila dah besar ok sebab otak yang sama akan digunakan seumur hidup. Segala asas di dalam otak bermula melalui pengalaman dan stimulasi yang dilalui si kecil sebelum usia 6 tahun.
Bayi suka menggigit masa menyusu? Ada sesetengah ibu yang tidak tahan terus menolak anak, menjerit hingga membuatkan anak jadi takut & enggan menyusu.
Menurut kaunselor laktasi, Noor Fazila Abdul Rahman, situasi bayi menggigit bukanlah suatu situasi yang kritikal sehingga penyusuan perlu dihentikan. Tidak dinafikan banyak kes seperti ini berlaku tetapi bukan semua bayi gemar menggigit ibu ketika menyusu.
MENGGIGIT SIFAT SEMULA JADI
Perkara ni boleh berlaku seawal usia bayi 3 hingga 6 bulan. Ini kerana pada peringkat ini ada bayi yang sudah mula tumbuh gigi. Bukan hanya puting ibu, bayi juga mula mengigit apa saja yang dipegang.
Selain faktor tumbuh gigi, pelekapan yang salah juga menjadi punca situasi ini terjadi. Ini kerana bayi menggigit menggunakan gusi bawah. Jika bayi melekap dengan betul, kedudukan lidahnya berada di bawah payudara dan menutupi gusi bawah menyebabkan bayi tiada ruang untuk menggigit.
Mekanisma hisapan terus dengan ibu melibatkan pergerakan rahang bawah sahaja jadi adalah penting untuk semua ibu yang sering kali digigit oleh bayi semasa menyusu memastikan pelekapan anak dalam keadaan baik setiap kali menyusu untuk mengelakkan situasi ini berulang.
APAKAH PUNCA BAYI MENGGIGIT SEMASA MENYUSU
Selain tumbuh gigi dan pelekapan yang salah, banyak lagi punca kenapa bayi gemar menggigit. Antaranya ialah;
1.Keadaan bayi yang kurang sihat terutama jika mengalami selesema atau jangkitan telinga menyebabkan bayi sukar menelan ini membuatkan bayi menggigit kerana kurang selesa apabila menyusu. Sebagai penyelesaian, pastikan kedudukan bayi sewaktu menyusu lebih tegak supaya bayi lebih mudah menelan.
2.Selain itu, ada juga bayi yang menggigit apabila tertidur atau di akhir penyusuan. Jadi sebelum bayi tertidur anda boleh mengeluarkan puting dari mulutnya dengan jari kelingking anda apabila anda rasa hisapannya mula perlahan dan lemah.
3.Ada juga bayi yang perhatiannya mudah terganggu dengan persekitannya terutama bayi yang sudah besar, ini menyebabkan mereka dengan tidak sengaja menggigit puting ibu terutama apabila menoleh secara tiba-tiba kerana terlupa yang mereka sedang menyusu dengan ibu.
4.Terdapat bayi yang gemar ibu memberi perhatian kepadanya setiap kali menyusu dengan ibu, jadi jika ibu sibuk dengan perkara lain contohnya melihat telefon bimbit anak akan menggunakan teknik menggigit untuk menarik kembali perhatian ibu.
5.Selain itu, bayi yang bijak penuh dengan sifat ingin tahu. Sesetengah dari mereka sengaja mengigit untuk melihat reaksi ibu atau apa yang akan berlaku!
CARA ELAK GIGITAN
Terdapat banyak cara boleh dilakukan untuk ibu mengelak dari digigit tanpa perlu menghentikan penyusuan. Antara yang boleh dicuba oleh ialah;
1.POSISI & PELEKAPAN
Untuk mengelakkan anda digigit berulang kali, pastikan posisi dan cara pelekapan anak betul setiap kali anda ingin memulakan penyusuan.
2.GUNA KELINGKING
Gunakan jari kelilingking anda dengan memasukkannya di tepi mulut bayi apabila dia mula hendak mengigit. Apabila bayi menggigit jari kelingking anda, bayi akan melepaskan puting anda dengan sendirinya.
3.JANGAN MENJERIT
Jika anda terus-terusan menjerit ia akan membuatkan anak akan terus menggigit berulang kali kerana bayi mengganggap anda sedang bermain dengannya. Jeritan yang kuat juga boleh menyebabkan anak fobia dan terkejut hingga menolak untuk menyusu terus dengan ibu.
4.PICIT HIDUNG ATAU PELUK
Jika anak menggigit lagi semasa menyusu, ibu boleh picit hidung anak atau peluk supaya bayi sukar bernafas jadi anak akan mengaitkan faham jika dia menggigit ia akan sukar bernafas.
HENTIKAN PENYUSUAN SEKETIKA
Jika masih berlaku, anda boleh menghentikan penyusuan seketika. Pandang tepat ke matanya dan bercakap dengan tegas. Lakukan berulang kali lama kelamaan anak akan faham bahawa jika dia terus menggigit dia pasti tidak akan dapat menyusu lagi.
KENAPA PERLU ELAK MENJERIT?
Tidak salah untuk ibu menunjukkan reaksi apabila bayi menggigit. Tetapi cukup dengan “ouch” sahaja. Ini kerana jika anda menjerit terlalu kuat di khuatiri anak akan terkejut dan menjadi fobia seterusnya enggan menyusu lagi (Nursing strikes).
Ini kerana, tindakan ini boleh menjadi cara yang terbaik untuk mengelakkan perkara tersebut berulang atau memburukkan lagi keadaan.
Pastikan pelekapan yang betul.
5 SARANAN KEPADA IBU YANG SELALU ‘DIGIGIT’ SEMASA MENYUSU
Menurut Noor Fazila , terdapat kes yang pernah dikendalikannya di mana ada ibu yang hampir putus asa. Ia terutama apabila gigitan bayi itu menyebabkan puting luka hingga mengundang masalah lain seperti bengkak susu dan duktus susu tersumbat.
Bukan semua bayi gemar menggigit ibu, jadi untuk ibu yang berdepan dengan masalah ini dan jika ianya berulang kali berlaku beliau memberikan lima saranan ini.
1.Pastikan anak sentiasa menyusu dengan pelekapan yang betul.
2.Beri perhatian kepada anak pastikan sentiasa bersembang, pandanglah mata anak dan elakkan melakukan aktiviti lain sewaktu menyusukan anak.
3.Jika anak sering kali menggigit, sentiasa bersedia dengan meletakkan jari kelilingking anda di tepi mulutnya supaya apabila dia mula hendak mengigit anda boleh menghentikannya dengan jari kelingking tersebut. Ini kerana, bila bayi menggigit jari kelingking dia tidak dapat menggigit puting anda.
4.Elakkan menarik keluar puting terus dari mulutnya ketika anak menggigit kerana tindakan ini akan membuatkan puting mudah terluka sebaliknya keluarkan dengan cara meletakkan jari kelilingking anda di tepi mulut anak.
5.Jadikan penyusuan suatu sesi yang menggembirakan. Jadi anak akan menikmatinya dengan gembira tanpa menyakitkan ibu.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Anak bongsu menyusul pergi sebulan selepas isteri dan anak sulung terkorban kemalangan jalan raya. Seorang bapa sekali lagi diuji apabila anak bongsunya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hanya sebulan selepas kehilangan isteri dan anak sulung dalam kemalangan.