Urutan boleh buat bayi kurang meragam dan tidur lena. Mama dan papa kena rajin urut. Hanya lima minit diperlukan! Ikuti langkah-langkah ini.
Dengan hanya beberapa minit , sentuhan dan belaian ibu boleh menjadi perangsang kepada perkembangan psikologi bayi. Urutan bayi sememangnya istimewa dan memberikan banyak manfaat kepada bayi. Ia mampu menjadikan bayi yang selalu meragam menjadi lebih tenang dan mudah diurus.
KELEBIHAN URUTAN KEPADA BAYI
URUTAN AMAT DISARANKAN KEPADA BAYI PRAMATANG
Lebih menakjubkan, kajian ke atas bayi pra matang yang diberikan urutan pada kepala, bahu, belakang badan, kaki dan tangan selama lima minit setiap sesi dengan kekerapan tiga kali sehari menunjukkan pertambahan berat badan antara 21 hingga 47 peratus. Urutan dilakukan secara betul dan konsisten di samping penyusuan susu ibu membolehkan mereka mencapai berat yang ditetapkan dan boleh discaj daripada wad neonatal lebih awal.
BILA URUTAN BOLEH DILAKUKAN?
Waktu yang sesuai yang dicadangkan untuk melakukan urutan ialah antara waktu menyusu bayi, sekurang-kurangnya 30 minit selepas menyusu. Pastikan masa urutan ialah dua jam selepas bayi menyusu dan bayi dalam keadaan mood yang baik.
Ia adalah cara bagi mengelak bayi tidak begitu lapar atau begitu kenyang. Masa yang baik untuk mengurut ialah semasa bayi jaga(tidak tidur) dan waktu selepas mandi waktu pagi kerana kulitnya masih lembap. Urutan sebelum tidur juga akan membantu bayi anda untuk menenangkan diri, relaks dan seterusnya bersedia untuk tidur dengan lena.
PERSEDIAAN SEBELUM URUTAN
Pastikan suhu bilik tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Baringkan bayi anda di atas tuala, lipatan kain atau pelapik menukar lampin di bawahnya. Anda mungkin lebih suka membiarkan bayi memakai baju jika keadaan agak sejuk. Atau biarkan dia bebas tanpa pakaian sekali-sekala. Namun pastikan bilik tidak sejuk.
Sambil mengurut anda boleh bercakap dengan bayi. Jika memasang sebarang audio , pastikan ia perlahan supaya bayi anda boleh mendengar anda bercakap dengannya.
Sediakan kelengkapan yang diperlukan untuk mengurut iaitu minyak untuk mengurut seperti minyak zaitun/ minyak kelapa/ minyak argan yang diperbuat daripada bahan semula jadi , tuala kecil, baju untuk dipakaikan kepada bayi anda selepas selesai urutan dan peralatan menukar lampin yang biasa digunakan.
LANGKAH DEMI LANGKAH URUTAN BAYI
Urutan bayi berbeza dengan urutan orang dewasa. Pastikan urutan tidak memberikan tekanan yang kuat kepada bayi. Gosokan yang lembut sudah memadai.
KAKI
Bahagian kaki adalah kawasan yang kurang sensitif. Seelok-eloknya mulakan sesi urutan pada bahagian ini.
1.Tekan bahagian tengah tapak kaki dengan lembut menggunakan kedua belah ibu jari anda. Jangan lupa urut juga bahagian paha hingga ke pergelangan kaki bayi. Lakukan pada kedua-dua belah kaki.
2.Lakukan juga toe squeeze iaitu jari-jari kaki dipicit satu persatu. Lakukan dengan gerakan memutar dan diakhiri dengan tarikan lembut di setiap hujung jari kaki bayi anda. Lakukan pada kedua-dua belah kaki.
LENGAN
Seterusnya, lakukan urutan pada pangkal lengan tangan kanan dan kiri. Ia diurut secara gerakan memicit secara lembut. Kemudian, cuba buka tapak tangan bayi secara perlahan. Ia bertujuan untuk tarik lembut jari-jari bayi. Lakukan rolling pada lengan bayi. Buat gerakkan atas ke bawah. Perkara yangs sama dilakukan pada tangan sebelah lagi.
MUKA
Mulakan dengan open book iaitu anda perlu melurut muka dari bahagian tengah ke luar. Urutan pada bahagian muka perlu dilakukan dalam keadaan tenang. Urut juga bahagian pangkal hidung dan lurut ke arah pipi. Bahagian bawah bibir bayi juga perlu diurut. Lakukan secara perlahan dan lembut pada bahagian muka bayi. Bagi bayi yang kerap menangis atau mempunyai masalah pertumbuhan gigi, jangan lupa lakukan urutan ini.
PERUT
Urut perlahan-lahan dengan mengunakan tangan kiri dan kanan bersilih ganti dengan melakukan gerakan Sun & Moon. Pergerakan ini harus bermula dari kiri dan ke kanan. Sebagai tambahan, anda boleh membuat urutan dengan membuat gerakan I, L, U. Urutan di bahagian perut dipercayai dapat mengurangkan masalahkembung perut/ kolik dan sembelit.
BAHAGIAN BELAKANG
Baringkan bayi untuk melakukan bahagian belakangnya. Urutan ini dikenali sebagai swoop neck to bottom di mulai daripada bahagian leher menghala ke pinggang. Urut belakang bayi dengan menggerakkan tangan ke atas dan ke bawah. Akhir sekali, letakkan jari di bahagian tengah belakang bayi. Urut dengan lembut sehingga ke bahagian punggung bayi.
Urutan bahagian belakang dapat menghilangkan rasa ketegangan oleh bayi akibat terlalu lama berbaring.