Seorang suami tidak menyangka hasrat isterinya yang menyatakan ingin pergi ke tempat yang sangat jauh, menjadi kenyataan apabila maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 375.8, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), berhampiran Bukit Besi.
Lebih memilukan nahas kira-kira pukul 6.30 petang itu bukan hanya mengorbankan isteri, Noreha Mohamed, 53, malah anak sulungnya, Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, dan cucunya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail berusia dua bulan turut maut.
Raja Hussin Raja Abdullah, 60, yang bekerja di Kerteh dekat sini berkata, dia ada menghubungi isterinya yang tinggal di Wakaf Bharu, Kelantan beberapa hari lalu dan mengajaknya pergi ke satu majlis kenduri di Kelantan pada bulan depan, namun Noreha enggan.
“Dia (Noreha) bagi tahu tak nak ikut, dia nak ‘berjalan’ ke tempat lebih jauh sampai tidak boleh digambarkan betapa jauh tempat itu.
“Saya tak sangka, dia betul-betul pergi di tempat yang jauh bersama anak sulung dan cucunya,”
Raja Hussin memberitahu, pada hari kejadian, Noreha ada menghubunginya memaklumkan dia bersama dua lagi anaknya, Raja Haikal Najmi, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah,13, mahu menghantar kakak mereka yang baru habis berpantang dan bayinya balik ke Kem Batu 10, Kuantan, Pahang.
“Selain itu, Isteri saya juga ada beritahu, selepas hantar anak dan cucu di Kem Batu 10, Kuantan, dia serta dua lagi anak saya akan singgah dan bermalam di rumah sewa saya di Paka, namun beberapa jam selepas itu saya menerima berita buruk ini,” katanya.
Tambahnya, beberapa jam selepas dimaklumkan isteri dan cucunya meninggal dunia di tempat kejadian, dia sekali menerima berita sedih apabila Raja Nurhanani Nabila pula meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu.
“Terlalu berat ujian ini untuk saya dan keluarga namun, saya reda,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Dungun,. Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kemalangan berlaku apabila Proton Wira yang dipandu Raja Haikal Najmi dari arah Kuala Terengganu ke Kuantan hilang kawalan dan terbabas melanggar kotak pembetung yang berada di sebelah kiri jalan sebelum terbalik.
Menurutnya, mangsa yang parah, Raja Haikal Najmi, patah kaki kanan dan adiknya, Raja Nurhumairaa Nadzirah yang patah bahu kiri masih dirawat di Hospital Dungun
Kredit: Utusan
Pelajari ilmu penyusuan untuk menjayakan bf journey mama bersama pakar-pakar bertauliah di webinar Mama Nak Susukan Anak. Daftar sini : https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-nak-susukan-anak/
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!