Wanita yang sedang hamil pasti teruja menantikan kelahiran anak sulung. Pastinya pelbagai persiapan menyambut kedatangan penyeri rumah tangga dilakukan dengan penuh teliti. Hal ini sepatutnya turut melibatkan amalan penyusuan susu ibu.

Persediaan yang perlu dibuat untuk berjaya menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu sebaiknya dimulakan seawal peringkat kehamilan lagi bagi memudahkan proses penyusuan selepas kelahiran. Berikut adalah antara tip yang boleh anda ikuti bagi menjayakan misi itu sepanjang tempoh berpantang agar misi untuk berjaya menyusukan bayi secara eksklusif dapat dilaksanakan.

#1 Yakin boleh menyusu sepenuhnya

Perkara utama adalah yakin bahawa puan boleh menyusukan bayi sepenuhnya dengan susu ibu. Yakin yang susu sentiasa cukup untuk bayi, seolah-olah tiada pilihan lain selain menyusukan bayi secara eksklusif. Hasil kajian mendapati 80% kegagalan ibu menyusu secara eksklusif adalah kerana faktor psikologi ibu sendiri yang kurang yakin susu adalah cukup untuk bayi terutamanya di awal kelahiran di saat susu matang belum dihasilkan.

#2 Fahami proses penghasilan susu ibu

Adalah sangat penting untuk puan faham tentang bagaimana susu ibu dihasilkan. Lebih tinggi pemahaman tentang bagaimana tubuh bertindak dalam penghasilan susu ibu, lebih tinggi peluang untuk berjaya menyusu bayi sepenuhnya dengan susu ibu. 95% daripada ibu yang melahirkan anak boleh menyusu sebaik kelahiran. Punca kebanyakan ibu yang beranggapan susu tidak ada adalah disebabkan kurangnya ilmu tentang fisiologi susu ibu itu sendiri. Bila tidak faham, puan akan mudah mengalah. Puan boleh mula buat pembacaan, menghadiri seminar tentang susu ibu atau menyertai Kumpulan Sokongan Susu Ibu bagi mendapatkan informasi dan fakta yang tepat tentangnya. Adalah sangat baik jika suami ikut serta belajar tentang ilmu penyusuan. Hal ini kerana untuk berjaya menyusu, sokongan daripada suami dan keluarga adalah sangat penting.

#3 Mulakan di awal kelahiran

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang disusukan dengan susu ibu seawal empat jam pertama sejurus lepas kelahiran adalah lebih mudah untuk berjaya menyusu berbanding bayi yang lambat memulakan penyusuan pertama. Sebelum kelahiran bayi, bincang bersama doktor tentang pelan kelahiran. Nyatakan hasrat puan mahu menyusukan bayi hanya dengan susu ibu seawal kelahiran untuk mengelakkan bayi diberi susu formula di hospital yang boleh menyebabkan masalah lain seperti keliru puting.

IKLAN

 #4 Sentuhan kulit-ke-kulit

Puan juga boleh meminta untuk melakukan sentuhan kulit-ke-kulit iaitu dengan meletakkan bayi di atas dada, keduanya tanpa pakaian sejurus selepas kelahiran.  Apabila bayi berada dalam pelukan puan, bayi akan tenang lalu memudahkan proses lekapan penyusuan pertama. Sentuhan kulit-ke-kulit juga boleh dilakukan ketika bayi dalam pantang atau semasa dia mempunyai masalah untuk menyusu secara langsung. Sentuhan kulit-ke-kulit dapat membantu meningkatkan hormon oksitosin untuk pengeluaran susu ibu yang lebih banyak.

#5 Menyusu mengikut keperluan bayi

Paling penting menyusulah mengikut permintaan iaitu keperluan bayi menyusu ketika di dalam pantang. Jangan menyusu mengikut jam. Susukan bayi bila-bila masa diperlukan. Kenal pasti tanda-tanda awal bayi menyusu seperti mulut kelihatan seperti mengunyah atau mengalihkan kepala ke kiri dan kanan. Tujuannya membolehkan puan menyusukan bayi secepat mungkin sebelum dia mula menangis. Jika bayi sudah mula menangis, dia bayi sahaja lapar tetapi dalam keadaan marah. Situasi ini akan menyukarkan proses pelekapan dan penyusuan bayi.

IKLAN

#6 Teknik pelekapan yang betul

Pastikan bayi melekap dengan betul pada bahagian tampok hitam (areola), bukan menghisap di bahagian puting. Mulut bayi mesti ternganga luas dan aerola dimasukkan ke dalam mulut hampir sepenuhnya. Jika teknik lekapan tidak betul, susu tidak dapat dikeluarkan dengan sepenuhnya sekali gus boleh menyebabkan masalah bengkak susu dan puting melecet. Sabar dan beri masa untuk bayi belajar melekap dengan betul. Bulan pertama menyusu adalah masa pembelajaran untuk bayi. Bayi akan dapat menguasai teknik menyusu dengan betul apabila masuk ke bulan berikutnya. Apabila bayi melekap dengan betul dan menghisap secara efektif hingga payudara kosong sepenuhnya, ia akan membantu lebih banyak susu dihasilkan.

 #7 Hanya susu ibu

Hanya susukan bayi dengan susu ibu sepanjang enam bulan pertama. Jangan beri susu formula, bijirin, makanan lain atau air masak sepanjang tempoh itu. Khasiat dan antibodi dalam susu ibu sangat tinggi dan cukup untuk bayi. Makanan pelengkap hanya boleh diperkenalkan selepas enam bulan penyusuan susu ibu secara ekslusif.

IKLAN

#8 Kawal stres

Kawal stres dan puncanya. Stres adalah salah satu punca yang mendorong kepada masalah kekurangan susu ibu. Menguruskan bayi, anak-anak yang lain, suami dan juga rumah tangga boleh menjadi punca berlakunya stres. Cuba tenangkan fikiran, ambil masa untuk diri sendiri, lakukan urutan atau dapatkan tidur yang secukupnya bagi mengawal ketegangan yang dihadapi.

#9 Makan makanan berkhasiat

Anda harus makan dengan teratur dan makan makanan berkhasiat. Jangan sesekali tertinggal waktu makan. Apabila makanan yang anda makan cukup khasiat, pengeluaran susu juga akan lebih lancar. Makan tiga kali hidangan sihat dalam sehari dan snek berkhasiat di antara waktu makan untuk kekalkan tenaga. Makan makanan yang seimbang kerana tubuh yang tidak sihat akan mengganggu pengeluaran susu ibu.

#10 Bantuan pakar laktasi

Dapatkan bantuan pakar laktasi atau Persatuan Sokongan Ibu Menyusu untuk membantu dalam isu-isu yang berkaitan penyusuan. Sokongan adalah sangat diperlukan untuk membina keyakinan ibu agar berjaya menyusu sepenuhnya dengan susu ibu.

 

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI