Boleh mula pantang selepas bersalin, tak perlu tunggu balik rumah. Di hospital pun mama boleh mulakannya dengan 6 tip mudah ini.
Walau semoden mana pun, jangan abaikan fasa selepas bersalin. Penjagaan diri selepas bersalin amat mustahak dan tidak boleh diambil mudah. Sejurus selepas bersalin sebenarnya dah boleh mula penjagaan diri agar cepat pulih.
Kadangkala ibu perlu berada di hospital berhari-hari, terutamanya ibu yang melahirkan secara pembedahan. Jangan bazirkan masa yang ada. Ketika ini, ibu bolehlah mula melakukan beberapa langkah pantang yang mudah.
Suami atau ahli keluarga boleh membantu untuk melaksanakannya. Asalkan tidak mengganggu luka pembedahan, tidak meletakkan / menyapu sesuatu pada luka atau memakan herba sembarangan, ia tidak menimbulkan masalah. Yang penting anda selesa dan tenang selepas melahirkan.
#1. SAPU MINYAK HERBA
Sapu minyak herba pada kulit kepala, tengkuk, ulu hati, kaki, tapak kaki dan bahu untuk mengurangkan ketegangan urat pada bahagian terbabit selepas proses meneran atau melegakan bagi ibu yang melahirkan secara pembedahan caesarean.
#2. MINYAK HERBA PADA BAHAGIAN ARI-ARI
Ads
Digalakkan menyapu minyak herba pada bahagian ari-ari (bagi ibu bersalin normal) untuk merangsang pengeluaran darah bantal dan melegakan rasa rengat.
#3. SIKAT RAMBUT RAPI & MENGIKATNYA
Menyisir rambut dengan rapi ke atas atau ikat tocang tinggi. Ini membantu melegakan dan mengelakkan rasa pening. Mama pun rasa lebih kemas.
Ads
#4. STRAP ON BINDER
Memakai bengkung lembut berpelekat (strap on binder)dengan sapuan minyak herba pada bahagian perut. Selepas bersalin, perut masih tidak kuat dan pemakaian binder ini sekurang-kurangnya memberikan sokongan pada bahagian perut.
Bagi yang bersalin secara pembedahan caesarean, anda boleh memakai bengkung lembut berpelekat tetapi pastikan ia tidak menekan bahagian luka pembedahan. Sapuan minyak herba pula hanya pada bahagian perut sahaja dan tidak perlu terkena luka pembedahan. Tapi jika ibu bersalin caeserean rasa tidak selesa memakai strap on binder, boleh langkau langkah ini.
#5. PAKAI STOKING & BAJU LENGAN PANJANG
Ads
Menyarungkan stoking dan memakai baju berlengan panjang supaya badan tidak mudah sejuk terutamanya bagi yang tidak tahan sejuk penghawa dingin.
#6. MINUM SECARA PERLAHAN
Elakkan meminum air yang sejuk atau berais. Hal ini menjadi pertikaian hebat sesetengah pihak. Tetapi terpulang kepada anda membuat pilihan, lakukanlah apa yang sesuai dengan diri anda.
Sebaik-baiknya minum air suam secara perlahan dan sedikit demi sedikit supaya perut tidak kembung. Kuantiti air tidak perlu dihadkan supaya luka cepat sembuh, perjalanan darah lancar, ibu terhudrat & menggalakkan penghasilan susu ibu.
Selepas pulang ke rumah, teruskan langkah berpantang seperti berurut, bertungku, bertuam dan sebagainya mengikut tata cara berpantang tradisional atau moden mengikut pilihan anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Selepas bersalin, kebanyakan ibu akan cuba untuk menyesuaikan diri menyusukan anak. Bagi yang pernah ada pengalaman mungkin tiada masalah tetapi jika baru pertama kali bergelar ibu ia satu cabaran.
Apatah lagi bila susu tak keluar, bayi dah mula menangis, ibu pula semakin stres. Dalam keadaan ini, pentingnya ilmu penyusuan dan sokongan orang sekeliling untuk pastikan hasrat menyusukan bayi berjalan lancar.
Namun ada segelintir ibu lebih percaya kepada pelbagai produk untuk menghasilkan susu yang banyak tetapi beberapa step yang sepatutnya dilakukan untuk meriahkan susu tidak dibuat.
Menerusi perkongsian Kaunselor Laktasi, Puan Nad Masrom melalui page FEED by Ummi Najla, ibu yang menyusu sepatutnya kena disiplin dan menjaga waktu mengepam dan memberi susu jika bayi ada bersama.
Jika dua perkara ini dijaga secara konsisten, barulah ibu boleh memikirkan kaedah untuk menggalakkan pengeluaran susu lagi meriah.
Kalau mommies tanya Kak Nad, minuman yang boleh tambah penghasilan susu, mommies boleh cuba sendiri campuran kurma merah, longan, kurma hitam, goji ini.
Antara minuman penggalak susu secara semulajadi. Biasa kan nampak orang jual?
Tapi, bukanlah bulat-bulat minum lepas tu tak jaga jadual perah atau menyusu. Memang takkan berhasil mommies.
Ni cuma penggalak, bukanlah minum-minum – susu terus penuh tak yah pam, tak yah menyusu (kalau ada iklan macam ni, merepek ya).
Demand dan supply kena jaga. Then nak minum atau makan makanan penggalak susu tu tak ada masalah. ASAS dua ni kena jaga.
Ni resepi Kak Nad pernah buat sendiri. Boleh beli dengan kos tak sampai RM20 dan dapat stok penuh sebalang. Kalau rajin boleh buat sendiri, kalau tak rajin beli yang dah siap je.
Bahan-bahan (boleh rujuk gambar).
Cara-cara:
1. Potong kecil (kurma merah, kurma hitam, longan).
2. Lepas tu rose bud tu letak dalam bekas uncang teh dan lipat (bekas uncang teh boleh beli kat shopee atau kedai ubat).
3. Gula madu kami potong guna pisau sambil diketuk dengan tukul. Nak guna gula batu pun boleh.
4. Bila nak minum, bilas dulu bahan no.1 tadi dan masukkan air panas. Biarkan seketika dan masukkan uncang ros.
Rasanya segar dan sedap. Boleh cuba ya
Sumber: Nad Masrom
Kaunselor Laktasi Anda
Tak jual milkbooster ni tau
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Menjadi satu kegusaran kepada para ibu yang menyusukan jika susu badan kurang. Tertanya-tanya cukupkah susu untuk anak? Bertenang ya ibu, anda boleh selesaikan masalah ini dengan mengenal pasti sebab ia berkurangan. Biasanya susu badan menjadi kurang kerana bayi tidak melekap dengan betul semasa menyusu sekaligus menyebabkan rasa sakit dan luka pada puting.
Selain itu, apabila bayi kurang menyusu terutamanya pada waktu malam juga boleh mengakibatkan penghasilan susu terganggu. Jika anda menyusu dan turut mengambil pil perancang kehamilan yang mengandungi estrogen, ia boleh menjadi salah satu sebab mengapa susu badan merosot. Kaunselor Penyusuan, Syafawati Noorhafizah Adnan Adil, memberi penerangan lanjut tentang topik ini.
Mengapa Susu Kurang?
Selain sebab yang disebut tadi, ada beberapa punca lain yang menyebabkan susu badan semakin berkurangan. Ibu perlu memastikan anak menyusu dengan kerap. Mengikut anggaran keperluan bayi, mereka harus minum sekurang-kurangnya lapan ke 12 kali sesi penyusuan dalam tempoh 24 jam. Apabila mereka minum kerap, payudara akan mengosong sekaligus stimulasi akan berlaku untuk penghasilan susu badan yang baharu.
Selain itu, susu boleh berkurangan kerana kesilapan bayi menyusu. Mereka mungkin mempunyai masalah untuk menghisap atau isu anatomi yang lain seperti tongue-tie. Jika ibu mencampurkan susu formula dalam sesi penyusuan bayi, lama-kelamaan susu akan berkurangan. Bayi yang sudah biasa minum susu formula ada potensi untuk menolak susu ibu. Penghasilan susu ibu kurang kerana mereka pernah menjalani pembedahan pada payudara atau pengambilan sesetengah ubat yang menggangu proses penghasilan susu.
Ibu Mengalami Delayed Production
‘Delayed milk production’ adalah keadaan di mana ibu memerlukan tempoh yang lebih lama dari biasa dalam fasa penghasilan susu dari fasa kolostrum ke fasa peralihan ke susu matang selepas kelahiran.Pada fasa inilah kebanyakan ibu akan mengadu bahawa mereka tiada susu, tidak cukup susu dan sebagainya.
Pada hari kedua hingga kelima kelahiran, bayi hanya memerlukan kolostrum yang sangat sedikit kerana kolostrum sangat pekat tetapi kaya dengan nutrien yang sangat berharga untuk bayi. Pada hari ketiga hingga kelima, kebanyakan ibu sudah mula mengeluarkan susu.
Banyakkan Skin to Skin Dengan Bayi
Kata kunci untuk meningkatkan penghasilan susu adalah dengan melakukan rangsangan secara kerap dan kosongkan payudara. Ibu juga boleh mendapatkan nasihat dan sokongan dari kaunselor penyusuan yang bertauliah kerana proses ini akan mengambil masa.
Pegang bayi anda dengan sentuhan ‘skin-to-skin’ pada payudara. Bayi hanya dipakaikan dengan lampin pakai buang, supaya ada sentuhan kulit secara terus antara ibu dan bayi. Ini akan membuatkan bayi sentiasa terjaga dan juga untuk meningkatkan pengeluaran hormon yang terlibat dalam penghasilan susu ibu.
Menyusu dengan kerap, setiap dua ke tiga jam – jumlah sesi penyusuan sekurang-kurangnya lapan sesi dalam masa 24 jam. Bayi anda perlu dikejutkan untuk menyusu atau perlu bangun lebih kerap untuk menyusu.
Pastikan lekapan bayi adalah baik dan bayi boleh menghisap serta menelan.
Ibu juga boleh mengepam susu selepas menyusukan bayi kerana ini akan memberi rangsangan tambahan pada payudara dan juga untuk memastikan payudara ibu mengeluarkan susu dengan efektif.
Semasa menyusu atau memerah, ibu boleh cuba urut payudara atau teknik ‘breast compression’ untuk membantu pengaliran keluar susu ibu.
Elakkan pemberian susu formula kepada bayi.
Elakkan juga penggunaan puting tiruan pada bayi.
Pastikan ibu makan makanan yang berkhasiat dan minum air secukupnya serta dapatkan rehat yang secukupnya juga.
Anda juga boleh cuba teknik perahan Massage, Stroke, Shake (M-S-S), yang diperkenalkan oleh Chele Marmet, Pengarah Bersama di Lactation Institute, Encino, California.
Lakukan double pumping selama lima ke tujuh minit dan berhenti.
Perlahan-lahan lakukan stimulasi di kedua-dua belah payudara dalam gerakan membulat.
Lurutkan hujung jari pada payudara bermula dari dinding dada sehingga ke puting.
Urut payudara dan tunduukan sedikit badan. Kemudian goncangkan payudara perlahan-lahan.
Kemudian olehlah ulang pam selama lima ke tujuh minit semula.
Teknik M-S-S ini dapat merangsang prolaktin di mana dapat meningkatkan penghasilan susu dalam masa yang singkat.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Adakah menyusu badan ketika berpuasa boleh mendatangkan kesan kepada anak? Bagaimana pula caranya untuk mengekalkan bekalan susu pada bulan Ramadan?
Bolehkah ibu menyusu badan ketika berpuasa?
Sama seperti ibu hamil yang ingin berpuasa, ibu yang menyusu badan juga diberikan kelonggaran untuk tidak berpuasa pada bulan Ramadan.
Kebanyakan sarjana Islam percaya wanita yang menyusu dibenarkan untuk tidak berpuasa, sama seperti mereka yang tidak sihat atau sedang bermusafir.
Hakikatnya, sama ada anda mahu berpuasa atau tidak, ia harus bergantung kepada beberapa perkara dan paling utama melibatkan usia bayi.
Dikatakan terdapat perbezaan antara bayi yang masih kecil dan hanya menyusu berbanding bayi berusia setahun yang sihat serta sudah mengambil makanan pejal lain.
Sebelum memutuskan sebarang keputusan, sebaiknya anda disarankan untuk merujuk kepada:
Ahli keluarga atau rakan-rakan yang pernah mempunyai pengalaman menyusu badan ketika berpuasa
Doktor atau pakar berkaitan penyusuan
Pakar agama
Wujudkah risiko kepada bayi menyusu badan ketika berpuasa?
Sebenarnya, berpuasa tidak akan mendatangkan sebarang risiko bahaya kepada bayi.
Ini kerana badan anda masih boleh menghasilkan susu semasa anda berpuasa. Pengambilan kalori yang kurang seharusnya tidak akan menjejaskan jumlah penghasilan susu.
Sistem badan secara automatik akan membuat penyesuaian dan mengubah cara penggunaan kalori yang ada serta membebaskan tenaga dengan lebih baik sebagai tindak balas kepada kekurangan makanan dan air.
Dikatakan, sekiranya seorang wanita yang menyusu badan tidak makan selama 24 jam, kuantiti dan nilai nutrisi susu yang terhasil tidak akan terjejas.
Malahan, sekiranya berlaku perubahan pada badan, sudah tentu anda akan dapat merasainya terlebih dahulu dan akan berhenti berpuasa jika kesan tersebut menjejaskan penghasilan susu.
Bagaimana risiko terhadap diri jika menyusu badan?
Selalunya, wanita yang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan dan menyusukan anak, tidak akan mengalami sebarang masalah. Badan anda dipercayai dapat bertahan sepanjang tempoh berpuasa itu.
Walau bagaimanapun, proses penyusuan pastinya akan membuatkan anda berasa lebih dahaga. Jika anda mengalami dehidrasi semasa berpuasa, anda akan berasa tidak sihat.
Antara tanda dehidrasi yang boleh dikenal pasti adalah:
Berasa sangat dahaga
Air kencing berwarna gelap dan berbau kuat
Berasa seperti hendak pitam, lemah atau lesu
Berasa sakit kepala atau sebarang kesakitan lain
Jika anda menyedari sebarang tanda yang dinyatakan, anda disarankan untuk berbuka dengan meminum air dan berehat.
Jika keadaan masih tidak berubah selepas 30 minit, dapatkan pemeriksaan doktor dengan segera.
Seperti yang dinyatakan, berpuasa tidak akan menjejaskan penghasilan susu, tetapi perhatikan tanda-tanda jika bayi tidak mendapat susu yang mencukupi, seperti:
Kurang membuang air, bayi baru lahir perlu kencing beberapa kali sehari
Najis berwarna kehijauan
Tangisan nyaring dan berpanjangan atau kerap meragam
Turun atau tidak berat badan si manja
Jika anda berasa bayi kuat menyusu badan ketika berpuasa, berikut dikongsikan beberapa tip yang boleh anda amalkan bagi memastikan penghasilan susu tidak terjejas.
Pengambilan air mencukupi
Adalah normal untuk berasa dahaga ketika berpuasa. Jadi anda disarankan untuk memastikan pengambilan 2-3 cawan air pada waktu sahur dan berbuka pada bulan Ramadan.
Selepas berbuka, pastikan ada botol air berhampiran anda untuk memudahkan anda minum. Sebolehnya, cuba untuk habiskan 2 botol air.
Sekiranya anda bangun pada tengah malam untuk menyusukan bayi, jangan lupa untuk minum sedikit air.
Elakkan air manis agar anda dapat memfokuskan kepada pengambilan air kosong yang secukupnya.
Smoothie pada waktu sahur
Sebagai tambahan kepada makanan bersahur yang biasa, anda boleh menambahkan jumlah kalori dengan pengambilan smoothie.
Jika anda tidak mampu mengambil segelas penuh smoothie, cuba untuk mengambil secawan smoothie pada ketika bersahur.
Elakkan makanan bergoreng
Pengambilan kalori yang cukup ketika menyusukan bayi adalah penting, tetapi pengambilan makanan bergoreng secara berlebihan tidak akan memberikan sebarang manfaat nutrisi kepada anda dan bayi.
Pemakanan seimbang dan berkhasiat
Dengan memastikan hidangan makanan anda mempunyai protein, pelbagai sayuran dan karbohidrat semasa bersahur dan berbuka dapat membantu anda melakukan proses menyusu badan ketika berpuasa dengan lancar.
Elakkan makanan yang tinggi kandungan garam bagi mencegah anda cepat berasa dahaga dan keletihan.
Snek selepas berbuka
Beberapa jam selepas berbuka puasa dan sebelum tidur, dapatkan nutrisi tambahan dan kalori dengan pengambilan snek sihat yang dapat membantu menambah tenaga.
Suplemen tambahan
Pengambilan suplemen tambahan pastinya dapat membantu membekalkan tenaga yang diperlukan bagi menyusu badan ketika berpuasa.
Namun, sebelum itu, dapatkan nasihat serta pandangan doktor sekiranya anda mungkin perlu mengambil sebarang supleman tambahan ketika bulan Ramadan.
Pam secara konsisten
Semakin anda kerap menyusu badan, maka akan wujud rangsangan untuk menghasilkan lebih banyak susu. Ia berkait rapat dengan sistem supply & demand.
Lakukan proses pam susu dengan konsisten bagi menghasilkan bekalan susu yang mencukupi. Jika perlu, lakukan juga proses mengepam susu pada waktu malam.
Menyusu seperti biasa
Adalah penting untuk memastikan dan mengekalkan jadual penyusuan bayi seperti biasa. Ini untuk mengelakkan sebarang kemerosotan dalam penghasilan susu.
Sentiasa berada dalam keadaan positif bahawa anda akan dapat memberikan susu yang mencukupi buat si kecil. Elakkan daripada berada dalam keadaan stres, okay mommies?
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bantuan Awal Persekolahan, "Peluasan BAP kepada pelajar tingkatan enam pertama kali dilaksanakan..." Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Enam bermula pada sesi persekolahan 2025/2026.