Boleh mula pantang selepas bersalin, tak perlu tunggu balik rumah. Di hospital pun mama boleh mulakannya dengan 6 tip mudah ini.
Walau semoden mana pun, jangan abaikan fasa selepas bersalin. Penjagaan diri selepas bersalin amat mustahak dan tidak boleh diambil mudah. Sejurus selepas bersalin sebenarnya dah boleh mula penjagaan diri agar cepat pulih.
Kadangkala ibu perlu berada di hospital berhari-hari, terutamanya ibu yang melahirkan secara pembedahan. Jangan bazirkan masa yang ada. Ketika ini, ibu bolehlah mula melakukan beberapa langkah pantang yang mudah.
Suami atau ahli keluarga boleh membantu untuk melaksanakannya. Asalkan tidak mengganggu luka pembedahan, tidak meletakkan / menyapu sesuatu pada luka atau memakan herba sembarangan, ia tidak menimbulkan masalah. Yang penting anda selesa dan tenang selepas melahirkan.
#1. SAPU MINYAK HERBA
Sapu minyak herba pada kulit kepala, tengkuk, ulu hati, kaki, tapak kaki dan bahu untuk mengurangkan ketegangan urat pada bahagian terbabit selepas proses meneran atau melegakan bagi ibu yang melahirkan secara pembedahan caesarean.
#2. MINYAK HERBA PADA BAHAGIAN ARI-ARI
Ads
Digalakkan menyapu minyak herba pada bahagian ari-ari (bagi ibu bersalin normal) untuk merangsang pengeluaran darah bantal dan melegakan rasa rengat.
#3. SIKAT RAMBUT RAPI & MENGIKATNYA
Menyisir rambut dengan rapi ke atas atau ikat tocang tinggi. Ini membantu melegakan dan mengelakkan rasa pening. Mama pun rasa lebih kemas.
Ads
#4. STRAP ON BINDER
Memakai bengkung lembut berpelekat (strap on binder)dengan sapuan minyak herba pada bahagian perut. Selepas bersalin, perut masih tidak kuat dan pemakaian binder ini sekurang-kurangnya memberikan sokongan pada bahagian perut.
Bagi yang bersalin secara pembedahan caesarean, anda boleh memakai bengkung lembut berpelekat tetapi pastikan ia tidak menekan bahagian luka pembedahan. Sapuan minyak herba pula hanya pada bahagian perut sahaja dan tidak perlu terkena luka pembedahan. Tapi jika ibu bersalin caeserean rasa tidak selesa memakai strap on binder, boleh langkau langkah ini.
#5. PAKAI STOKING & BAJU LENGAN PANJANG
Ads
Menyarungkan stoking dan memakai baju berlengan panjang supaya badan tidak mudah sejuk terutamanya bagi yang tidak tahan sejuk penghawa dingin.
#6. MINUM SECARA PERLAHAN
Elakkan meminum air yang sejuk atau berais. Hal ini menjadi pertikaian hebat sesetengah pihak. Tetapi terpulang kepada anda membuat pilihan, lakukanlah apa yang sesuai dengan diri anda.
Sebaik-baiknya minum air suam secara perlahan dan sedikit demi sedikit supaya perut tidak kembung. Kuantiti air tidak perlu dihadkan supaya luka cepat sembuh, perjalanan darah lancar, ibu terhudrat & menggalakkan penghasilan susu ibu.
Selepas pulang ke rumah, teruskan langkah berpantang seperti berurut, bertungku, bertuam dan sebagainya mengikut tata cara berpantang tradisional atau moden mengikut pilihan anda.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Bila bayi anda sudah mula belajar berjalan dan jatuh, dia memang berisiko untuk kerap terjatuh. Terjatuh tanpa kesan luka atau kecederaan adalah perkara normal sepanjang tempoh tumbesaran seorang anak tetapi jika terlalu kerap terjatuh sehingga ada benjol dan hentakan kuat di kepala, apakah kesannya terhadap si kecil?
Siapa yang tidak risau apabila anak terjatuh dan menangis kesakitan. Lagi bimbang bila kesan terjatuh meninggalkan benjol atau mengakibatkan kecederaan sampai berdarah.
Tetapi sebelum itu ibu ayah perlu faham mengenai kesan-kesan hentakan kepala supaya dapat membuat perbezaan antara hentakan yang serius dan hentakan yang tidak serius supaya langkah-langkah rawatan yang betul dapat diambil.
1. Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila ada hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau/dan otak.
2. Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka tersebut besar dan melibatkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan yang serius.
3. Selain luka ada juga kecederaan kulit kepala yang disusuli dengan benjol sahaja. Benjol boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pun pendarahan di bawah kulit di mana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ia bermakna pendarahan itu berada di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.
4. Benjol di kepala yang disebabkan oleh pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh memakan masa hingga 1-2 minggu.
5. Kecederaan kepada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecederaan kepada kulit sahaja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan kepada kulit.
6. Jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tidak ada luka atau benjol atau apa-apa tanda kecederaan, bukan bermaksud tidak ada pendarahan atau kesan kepada otak.
7. Apabila ada keretakan kepada tengkorak ia bermaksud hentakan yang berlaku sangat kuat dan ada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retak di tengkorak ke otak.
8. Kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana bahagian dalam otak.
Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak atau kecederaan kepada otak:
– Pengsan selepas trauma.
– Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua anggota badan tidak boleh bergerak.
– Amnesia/hilang ingatan.
– Keliru.
– Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya.
– Sawan.
– Muntah lebih dari sekali.
– Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah.
– Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga.
– Mata hitam tidak sama saiz.
– Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu.
Jika ada simptom-simptom ini janganlah berlengah lagi untuk membawa anak ke hospital yang berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan anak di bawa pulang, kebiasaanya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24 jam yang pertama untuk tanda-tanda seperti di atas.
Sekiranya anak anda tidak ada tanda simptom tersebut, kemungkinan berlaku pendarahan dalam otak sangat tipis tetapi proses pemulihan daripada hentakan tersebut mengambil masa yang lama sehingga berminggu bahkan ada yang berbulan. Bagaimanapun mangsa tidak akan mengalami sebarang kesan jangka panjang walaupun proses pemulihan mengambil masa yang lama.
Rawatan segera
a. Jika berlaku pendarahan akibat luka anak terjatuh, anda perlu segera menghentikan pendarahan kerana kesan serius boleh berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak. Apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah dengan mengenakan tekanan pada luka dengan menggunakan kain yang bersih. Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka tersebut.
b. Benjolan yang berlaku selepas terjatuh akan meninggalkan rasa sakit dan mungkin lebih sakit jika benjol tersebut ditekan. ‘Cold compress’ atau tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan tersebut reda/kurang.‘Hot compress’ atau tuaman panas boleh mengurangkan sakit tetapi harus disusuli dengan tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku tersebut akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dah benjolan/bengkak akan surut dan hilang.
c. Memberi Paracetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi ubat dari kategori NSAID (‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’) seperti Ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau Diclofenac (Cataflam, Voren).
Bedung bayi atau membuat balutan kepada bayi anda yang baru lahir boleh membantunya untuk tidur lena dan mengurangkan kebarangkalian si manja untuk terjaga. Bedung bayi sebenarnya amat mudah untuk dilakukan, namun masih terdapat beberapa peraturan atau cara bedung bayi yang perlu diikuti untuk keselamatan si manja.
Bila ibu perlu bedung bayi?
Amalan berbedung adalah untuk bayi yang sangat muda – bermula seawal daripada kelahiran sehingga ketika mereka mula menunjukkan tanda-tanda boleh meniarap atau berguling (biasanya 4 hingga 6 bulan tetapi kadang-kadang lebih muda daripada tempoh tersebut).
Adakah bedung bayi selamat?
Ibu bapa baharu sering belajar bagaimana untuk membedung bayi mereka daripada jururawat di hospital. Selimut yang dibalut di sekeliling badan bayi anda boleh menyerupai rahim ibu dan membantu menenangkan bayi baru lahir anda.
American Academy of Pediatrics (AAP) menyatakan bahawa apabila berbedung dilakukan dengan betul, ia dapat menjadi teknik yang efektif untuk membantu menenangkan bayi dan menggalakkan si manja untuk lebih mudah tidur.
Tetapi jika anda merancang untuk membedungkan bayi di rumah, anda perlu mengikuti beberapa garis panduan cara bedung bayi untuk memastikan anda melakukannya dengan selamat.
Bagi mengurangkan risiko Sindrom Kematian Bayi Mendadak, atau SIDS, adalah penting untuk meletakkan bayi anda tidur terlentang setiap kali anda meletakkan si manja di tempat tidur.
Ini mungkin lebih perlu jika bayi anda dibedung. Sesetengah kajian menunjukkan peningkatan risiko SIDS dan sesak nafas apabila bayi dibedung jika mereka diletakkan di bahagian perut mereka atau meniarap untuk tidur, ataupun jika mereka bergolek ke atas perut mereka.
Bagaimanakah cara bedung bayi yang betul?
Ada juga sesetengah bayi yang suka tangan mereka bebas bergerak. Jika si kecil mula meronta dan kelihatan tidak selesa, cuba lepaskan tangan mereka dengan cara hanya membedung bayi pada bahagian bawah ketiaknya.
Cadangan tidur secara selamat oleh AAP untuk bayi anda
AAP mengesyorkan ibu bapa mengikuti saranan tidur secara selamat setiap kali mereka meletakkan bayi mereka tidur siang atau pada waktu malam:
Kesimpulan
Membedung bayi adalah satu kaedah tradisional di mana membalut atau membungkus bayi dengan kemas untuk membuat si manja berasa selamat dan tenang. Secara saintifiknya, ia terbukti berkesan kerana perbuatan ini dapat mengelakkan bayi terganggu dengan refleks sentakan (kejutan hipnagogik) badannya sendiri.
Namun begitu, jika ibu bapa membedung bayi dengan cara yang tidak betul, ia boleh mengakibatkan hip dysplasia kepada bayi.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Sertai Webinar penyusuan terbesar ‘Mama Tak Penat Susukan Anak’ yang dianjurkan Pa&Ma tahun ini. Webinar PERCUMA ini menampilkan panel-panel hebat seperti Dato’ Dr Sheikh Muszaphar, Dr Seri Suniza, Dr Hairin Anisa, Puan Asiah Maharam dan perkongsian istimewa oleh Dato’ Siti Nurhaliza. Selain mendapat ilmu penyusuan, peserta juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah. Daftar segera di https://toko.ideaktiv.com/product/webinar-mama-tak-penat-susukan-anak/ atau terus scan QR Code pada poster.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Sebaik disahkan menghidap kanser payudara, dua tahun lepas, Wan Musfirah Aimi Wan Supian yang pada mulanya hilang arah, bangkit melawan takdir dan memastikan kegembiraan menyeliputi segenap ruang hidupnya.
Menceritakan detik permulaan Aimi disahkan kanser, menurutnya beberapa hari sebelum ujian dikeluarkan perasaan takut itu sememangnya tidak dapat di gambarkan. Jadi susah untuk tidur dan stres melampau sampai menjejaskan kesihatan dan fizikal. Jauh di sudut hati, Aimi dapat rasakan laporan yang dikeluarkan adalah positif kanser. Berbeza dengan suami yang lebih positif serta yakin Aimi sihat.
“Pada masa itu, saya mula memikirkan tentang apa yang saya perlu lakukan walaupun belum disahkan positif. Saya mahu lebih bersedia daripada segi mental dan fizikal. Bila bersedia dan mempunyai maklumat, saya lebih mudah untuk mengawal situasi, emosi suami dan anak-anak dan keluarga saya. Saya perlu bersedia, kuat dan tabah untuk mereka semua,” ujarnya.
Seperti yang disangka, telahan Aimi benar belaka. Doktor dengan tenang memaklumkan hasil keputusan biopsi yang dijalankan.
“Tepat sekali. Sangkaan saya benar. Doktor syak saya menghidapi kanser tahap dua berdasarkan saiz ketulan di dalam payudara yang diukur. Suami saya terkejut dan tidak percaya dengan apa yang doktor katakan. Mungkin sukar untuk dia menerima isterinya pesakit kanser. Saya sendiri payah nak percaya sedangkan selama ini, diri langsung tidak menunjukkan apa-apa tanda-tanda kanser. Saya diam seketika. Bisu, kelu, lidah seolah-olah beku untuk berkata-kata. Tiada kata-kata yang dapat difikirkan pada waktu itu. Walaupun bersedia, sudah berazam untuk kuat tetapi fikiran tiba-tiba jadi kosong,” cerita Aimi dengan nada yang sungguh tenang.
Biarpun begitu, Aimi sentiasa mengingatkan dirinya ia bukan penamat kehidupan. Doktor memberi semangat dan sangat serius dengan rancangan rawatan yang dirangka. Ia perlu dijalankan secepat mungkin sebelum menjadi lebih serius.
“Namun pada ketika itu, saya belum bersedia. Saya minta doktor beri saya sedikit masa untuk berbincang dengan keluarga dan majikan. Saya juga mahu selesaikan pelbagai urusan sebelum pembedahan dijalankan termasuklah menyambut hari jadi anak bongsu yang memasuki umur dua tahun pada tahun itu di Legoland kerana ia telah lama kami rancang. Percutian tersebut sedikit sebanyak membantu saya untuk menerima takdir dengan lebih mudah apabila dapat bergembira dan meluangkan masa bersama suami serta anak-anak. Saya langsung tak bersedih melihat anak-anak gembira,” cerita Aimi lagi.
Saat itulah, Aimi sedar bahawa kegembiraan keluarganya adalah segala-galanya. Secara tidak sedar, ia menjadi matlamat hidupnya sebagai pesakit kanser. Dia ingin berterusan melihat kegembiraan di wajah mereka dan berazam bahawa kanser yang dihidapi tidak akan dapat melemahkan semangat dan menarik kegembiraan dirinya sekeluarga.
Selepas menjalani pembedahan pada 15 Jun 2015, laporan CT scan mendedahkan berita buruk. Dalam tempoh enam bulan, sel kanser merebak ke paru-paru pula. Setelah berbincang dengan doktor, Aimi berbincang dan bersetuju untuk menjalani rawatan kemoterapi secepat mungkin.
“Pada 11 Ogos 2015 saya mulakan rawatan kemoterapi pertama. Syukur, saya tidak mengalami kesan sampingan yang melampau. Sepanjang tempoh kemoterapi, saya masih menjalankan kehidupan seperti biasa tapi perlu lebih banyak berehat supaya cepat sembuh dan bertenaga. Sepanjang rawatan saya membuat rawatan ‘terapi minda’ dengan bercuti ke beberapa buah tempat untuk mengalih perhatian terhadap kesakitan akibat kesan sampingan yang dialami.
Setelah tamat rawatan kemo keempat, doktor mengesahkan sel kanser di paru-paru hilang sepenuhnya dan impak daripada kemo itu membantu merawat sel-sel kanser yang telah merebak. Tidak lama selepas itu, saya memulakan rawatan hormone herceptin selama setahun. Rawatan ini melibatkan 17 kali pusingan. Kesan sampingannya tidak seteruk kemo tetapi tetap menjejaskan kesihatan. Demi kesihatan, saya teruskan mengikut jadual. Kos hormon terapi ini sangat mahal dan menelan kos sehingga RM180,000,” terang Aimi tentang rawatan yang di tempuhinya.
Sokongan luar jangkaan yang diterima Aimi adalah salah satu faktor dia mudah sembuh. Aimi juga langsung tidak sangka, selama ini dia dikelilingi insan-insan yang amat menyayanginya.
“Saya tidak akan tahu, rasa dan nampak semua ini jika saya tidak ditakdirkan sebagai pesakit kanser. Suami, anak-anak dan keluarga sentiasa mendoakan saya dan berusaha berbagai-bagai cara untuk pastikan saya sihat. Tidak lupa sokongan pihak majikan, bos, pengurus, rakan-rakan satu jabatan dan sekerja lain yang sering bertanya khabar. Bukan itu sahaja mereka juga turut membantu saya menyiapkan kerja serta sediakan makan minum ketika di pejabat apabila saya kurang sihat atau perlu rehat. Saya juga dibenarkan mengambil waktu kerja fleksibel di mana saya masuk awal ke pejabat dan pulang lebih awal.
Kawan-kawan amat istimewa bagi saya dan banyak membantu. Mereka bukan hanya teman untuk bergembira dan bersuka ria. Mereka sentiasa ada bila saya perlukan. Hashtag #prayforaimi adalah inisiatif kawan-kawan yang melakar pelbagai memori suka duka perjalanan saya sebagai pesakit kanser. Saya amat berterima kasih kepada mereka semua kerana telah menjadikan perjalanan hidup saya selama dua tahun ini sebagai sesuatu yang indah.
Suami pula sentiasa membuatkan diri saya penting untuknya. Tiada sedetik waktu pun dia mengecewakan saya. Tempoh perkahwinan kami masih terlalu awal dan belum puas kami untuk menikmati hidup bersama. Suami adalah sumber inspirasi saya untuk meneruskan kehidupan. Tidak sanggup saya melihat dia bersedih jika sesuatu berlaku ke atas diri saya,” luah Aimi yang sangat terharu dengan sokongan yang diperolehnya.
“Saya mula mengenali NCSM apabila dilantik sebagai Duta Larian Kanser untuk The Running Diva Malaysia 2016. Bermula dari situ, saya menyertai segala aktiviti yang dijalankan oleh pelbagai organisasi dan badan korporat yang bekerjasama dengan NCSM. Tujuan paling utama ialah menyebarkan maklumat sebanyak mungkin kepada golongan wanita tentang kanser payudara.
Sepanjang 2017, saya mempunyai beberapa program bersama NCSM. Saya bersyukur telah mendaftar diri sebagai sukarelawan dan dapat membantu masyarakat Malaysia tentang kesedaran kanser payudara. Saya tidak mempunyai harta yang banyak untuk disumbangkan tetapi melalui pengalaman yang ada, dapat saya kongsi bersama yang lain agar dapat membantu pesakit kanser mahupun yang terlibat dengan pesakit kanser.
Semoga saya diberi kesihatan berpanjangan. Dapatlah saya memberi lebih sumbangan untuk NCSM dan semua pesakit kanser agar sama-sama memberi semangat di antara satu sama lain dalam berjuang untuk meneruskan hidup bersama ahli keluarga masing-masing.”
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!