
Buat pasangan yang sedang berjuang mendapatkan zuriat, rawatan IUI (Intrauterine Insemination) memang jadi salah satu ikhtiar yang popular. Tapi tahu tak, walaupun prosedur ni nampak simple, cara kita jaga diri selepas rawatan tu sangatlah penting untuk tingkatkan peluang kehamilan.
Kalau nak cepat nampak dua garis merah tu, jom semak 9 pantang larang yang wajib dijauhi lepas buat IUI!

1. Jangan stres
Lepas IUI, emosi kena jaga. Bila stres, hormon jadi kacau-bilau, dan ni boleh ganggu proses persenyawaan. Cuba relaks, buat benda yang menenangkan — tengok Netflix, pergi spa (tapi bukan sauna ya!), atau lepak dengan kucing pun okay.
2. Elak ambil ubat semberono
Perut rasa tak selesa lepas IUI? Jangan terus capai panadol atau ubat herba. Check dulu dengan doktor. Ada ubat atau suplemen boleh ganggu proses implantasi, rugi tau!
3. Makanan proses, tolong jauhkan
Mi segera, nugget, burger, semua tu letak tepi dulu. Lagi-lagi makanan laut yang tinggi merkuri macam ikan kembung. Nak makan ikan? Pilih salmon atau ikan bilis, lebih selamat.

4. Tinggalkan rokok & alkohol
Alkohol dan rokok bukan je menjejaskan kesuburan, tapi juga boleh ganggu tumbesaran janin kalau berjaya hamil nanti.
5. Kurangkan kena sinaran ‘berbahaya’
Kalau kerja awak dekat tempat yang terdedah pada radiasi atau panas terik — take note. Cuba elakkan sementara. Duduk rumah, chill. Bukan takut matahari, tapi nak beri peluang ‘benih’ lekat elok.
6. Jangan angkat barang berat
Nak mop rumah? Angkat kotak besar? Jangan dulu! Tekanan pada bahagian perut boleh ganggu implantasi. Minta tolong pasangan untuk buat semua perkara macam itu.

7. Elak travel jauh-jauh
Melancong tu seronok, tapi lepas IUI, rehat saja dulu. Duduk dalam kereta berjam-jam atau naik kapal terbang lama-lama boleh beri tekanan fizikal. Simpan plan travel tu dulu!
8. No hot shower, no sauna
Mandi air panas memang syok, tapi suhu panas boleh kacau proses penempelan embrio. Ganti dengan air suam je ya buat sementara.
9. Jangan skip temujanji doktor
Rawatan tak habis di klinik je. Follow up sangat penting untuk tahu hormon okay ke tak, dan bila masa sesuai buat UPT. Jangan tangguh temujanji!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Nak Puasa Tapi Takut Effect Anak Dalam Kandungan. Pakar Jelaskan Apa Yang Perlu Ibu Hamil Tahu

Sudah beberapa hari umat Islam berpuasa. Bagi ibu hamil dan menyusukan, pasti ia bukanlah sesuatu yang mudah. Memerlukan ekstra kalori, bila berpuasa mungkin ibu akan merasa kurang bertenaga dan sedikit lemah.
Sekiranya mampu, teruskan berpuasa tetapi pastikan kualiti sahur terjaga. Pemakanan sihat ketika makan awal pagi itu dapat membantu ibu untuk kekal bertenaga sepanjang tempoh berpuasa.

Bercerita tentang isu puasa untuk ibu hamil atau menyusukan anak, ikuti Dr. Afida Sohana Awang Soh, Obstetrics & Gynaecology Senior Registrar, yang kini berkhidmat di Klinik Pakar Wanita Metro Bukit Tinggi, Hospital Wanita Metro Klang.
BERPUASA SEMASA HAMIL
Alhamdulillah…
Bertemu lagi kita, dengan Ramadhan yang Barakah. Setiap tahun, saya cuba kongsi berkenaan puasa dan kehamilan, insyaAllah.
Mana tidaknya, masuk sahaja Ramadhan, soalan ‘favourite’ yang saya terima di klinik sepanjang minggu sebelum dan pertama Ramadhan adalah berkenaan berpuasa; samada dibolehkan puasa semasa hamil/menyusu, atau tidak? Selamat ke?
Jadi, jom kita buat ‘revision’ bersama-sama.
Pertama kita lihat dari segi agama…
Sabda Nabi Muhammad SAW,
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلاَةِ وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla meringankan setengah solat untuk musafir dan meringankan puasa bagi musafir, wanita hamil dan menyusui.”
(Hadis riwayat An Nasai no. 2275, Ibnu Majah no. 1667, dan Ahmad 4/347. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini hasan sahih.)
Menurut Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri, dalam tulisan beliau di http://www.muftiwp.gov.my/…/irsyad-fatwa-umum/1969-31 ; beliau berpendapat yang perempuan yang hamil dan menyusukan anak jika berbuka, kembali kepada dua keadaan sahaja iaitu:
1. Kalau semata-mata kerana bimbang diri sendiri bolehlah dia berbuka dan qadha sahaja.
2. Kalau kasihankan kepada janin dan juga anak yang disusukannya maka bolehlah dia berbuka dan membayar fidyah.

Ha! Mudah dan terang bukti di atas. Dibolehkan bagi ibu yang hamil dan menyusu untuk berbuka. Cuma cara mengganti ditetapkan oleh sebab utama ibu tersebut berbuka,
Saya selalu berpegang kepada ‘Islam itu mudah, (tapi jangan dipermudah-mudahkan)!’
Ada sebab mengapa keringanan ini diberikan.
Baca Juga:
Doktor Kongsikan Simptom Kanser Payudara Ibu Perlu Tahu, Kena Selalu Buat Pemeriksaan Kendiri
“Baby Duduk Macam Mana Dalam Perut?”. Pakar O&G Kongsi Posisi Bayi Dalam Kandungan, Macam-Macam Ada!
Jangan Anggap Remeh, Ada Risiko Ginjal Rosak Kalau Kencing Kotor Waktu Hamil
Jom kita tinjau dari segi perubatan pula:
Dari segi perubatan, terdapat perubahan pada fisioloji ibu yang mungkin membuatkan puasa itu menjadi sedikit payah, dan dalam keadaan tertentu, merbahaya.
Jom kita ulangkaji Biologi sekejap!
Dari segi fisiologi perubahan dalam badan seorang ibu yang hamil, termasuk:
* Pengaliran darah ibu meningkat 10 kali ganda semasa hamil. Jumlah darah bertambah lebih 1.5L dari jumlah biasa,
* dan, kadar degupan jantung ibu menjadi lebih tinggi
* Perlu diingat juga, kadar degupan semakin meningkat jika kurang air, (dan nadi bayi juga meningkat)
KUATNYA PERTAMBAHAN KERJA JANTUNG SEORANG IBU YANG HAMIL! MasyaALLAH!
* Tekanan darah ibu semasa hamil pula berubah. Ianya menjadi rendah pada 2/3 awal hamil, menyebabkan Ibu mudah merasa pitam. Sekiranya ibu tidak minum air secukupnya (dehidrasi), tekanan ini boleh menjadi lebih rendah. Ibu akan merasa lebih lemah!
* Darah ibu membekalkan gula kepada bayi.
* Semasa berpuasa, kandungan gula di dalam darah ibu yang hamil adalah lebih rendah, menyebabkan ibu merasa lebih cepat letih
* Jika kandungan gula menjadi sangat rendah, ia boleh menyebabkan ibu menjadi loya dan muntah-muntah, lebih-lebih lagi pada peringkat awal hamil.
* Darah ibu semasa hamil adalah lebih pekat bagi melindungi ibu daripada pertumpahan darah yang berlebihan semasa bersalin.
* Tapi, ini juga meninggikan risiko mendapat darah beku (venous thromboembolism, atau VTE)
* Risiko ini meningkat jika ibu kurang air, atau tubuh mengalami kegersangan/hypovolaemia
* VTE adalah sangat merbahaya dan boleh membawa maut!
* Perubahan hormon semasa hamil memperlahankan pergerakan makanan yang hadam di dalam usus, menyebabkan najis menjadi lebih keras dan masalah sembelit
* Masalah ini boleh bertambah lagi jika tidak minum secukupnya.
Takut pula bila baca perubahan fisioloji dan implikasinya ini kan?
Tapi sebenarnya, bukan tidak boleh berpuasa. Cumanya, ibu perlu mendapatkan nasihat doktor dan pakar, minum air secukupnya, dan juga beringat untuk tidak berlebihan dalam menjalani puasa. Jika berasa letih atau tidak larat, jangan paksa diri!
Dalam masa yang sama, ada kondisi yang membuatkan ibu hamil itu tidak digalakkan berpuasa sama sekali, seperti :
1. Ibu yang mepunyai risiko VTE yang sederhana atau tinggi
2. Ibu yang tidak sihat atau muntah-muntah (lebih-lebih lagi jika kerap muntah dalam semester pertama)
3. Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis dan memerlukan rawatan metformin atau insulin
4. Ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi seperti (pre-eclampsia, penyakit autoimmune, penyakit jantung)
5. Ibu yang janinnya mempunyai masalah pembesaran (IUGR) atau kurang air ketuban (oligohydramnios)
6. Ibu yang masih didalam 6 minggu pertama selepas bersalin (risiko VTE paling tinggi semasa ini)
Berpuasa semasa menyusu Bayi:
*Tiada bukti signifikan yang berpuasa pada bulan Ramadhan mengurangkan susu ibu.
* Tapi kadangkala Ibu tidak dapat menahan lapar semasa menyusu, dan khuatir kesihatan diri atau bayi boleh terjejas.

Yang penting,
* Berbincang dengan doktor!
* Minum air secukupnya.
* banyakkan makanan yang tinggi protein supaya kenyang lebih lama
* Jangan paksa diri!
Moga penulisan ini membawa manfaat.
Selamat Berpuasa buat semua!
Semoga perkongsian dari Dr. Afida Sohana ini dapat membantu para ibu yang mungkin mengalami kekeliruan sama ada untuk bertahan atau berbuka puasa sekiranya tidak mampu. Dapatkan nasihat dari doktor dan ikutlah kemampuan diri. Sekiranya boleh, teruskan berpuasa tapi kalau tak mampu, jangn paksa diri.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Selepas Azura, Jamal Abdillah Bakal Timang Anak Lelaki. Nak Namakan ‘Zek’ Sempena Watak Dalam Lakonan

Umum mengetahui tentang kehamilan kedua isteri Raja Pop Negara, Datuk Jamal Abdillah selepas melahirkan bayi perempuan yang diberi nama Nur Azura Yamani Oktober lalu.
Nama Nur Azura diambil sempena filem Azura lakonan Jamal bersama Fauziah Ahmad Daud menjadi pengikat kasih antara Datuk Jamal dan Datin Zai Izzati yang melangsungkan pernikahan pada 1 April 2017.
Sedang enak mengulit bahagia dengan permata hati mereka, Tuhan mengurniakan seorang lagi rezeki apabila Zai Izzati kembali berbadan dua.

Ketika mengesahkan perkara itu April lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Kekasih Awal Dan Akhir ini memaklumkan jantina anak keempatnya itu belum diketahui ketika itu.
Namun, penyanyi berusia 61 tahun ini bukan sahaja sudi berkongsi jantina anak, malah turut mendedahkan nama bayinya dalam temubual bersama BH Online, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, saya bakal menimang cahaya mata lelaki. Saya dan isteri sudah pun memilih nama untuknya. Kami sukakan nama El Isaac Yamani.
“Nama ini diambil sempena nama Nabi Ishak. Cuma ejaannya saya ubah. Selain itu, nama ini dipilih kerana saya mahu ada sebutan ‘Zek’ yang juga nama karakter saya dalam filem Azura,” dedah penyanyi bervokal mantap ini.

Bergilir jaga anak dengan isteri
Bercerita mengenai kehidupannya selepas mempunyai anak kecil, penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak itu berkata, masanya kini banyak dihabiskan dengan anak berbanding sebelum ini.
“Walaupun ada pembantu rumah, tetapi dalam urusan mengasuh anak, saya dan isteri akan bergilir-gilir menjaganya. Isteri sedang sarat kerana kandungannya sudah memasuki enam bulan. Apabila sudah ada anak kecil, masa untuk diri sendiri semakin berkurangan.
“Fokus saya kini pada anak. Kalau dahulu, saya boleh pergi beriadah pada bila-bila masa, tetapi sekarang saya tak boleh keluar sesuka hati. Badan pun sudah tak ‘fit’ dan semakin berisi,” cerita Jamal.
Anak sulungnya, Osama Yamani yang kini menggunakan nama Yamani Abdillah terpilih untuk menyertai program realiti Big Stage yang memulakan konsert pertama, semalam.
Akuinya, sebagai bapa sudah tentu menaruh harapan besar untuk melihat kejayaan anaknya.

Sebagai penyanyi berpengalaman, Jamal berkata, dia sempat menitipkan pesanan berguna kepada Yamani dari segi persembahan dan penyampaian.
“Dia ada maklumkan pada saya mengenai penyertaannya. Pesan saya, kalau itu yang dimahukan, kena buat betul-betul. Yamani perlu tahu perbezaan antara membuat persembahan dengan pertandingan. Jangan terlalu teruja atau ghairah ketika menyanyi.
“Yamani juga kena menonjolkan bakat bermain alatan muzik yang ada padanya untuk membezakan dirinya dengan peserta lain.

“Selain menyanyi dengan bersahaja dan menghayati lirik, Yamani ada kelebihan bermain alatan muzik. Gunakan kelebihan yang ada ketika membuat persembahan. Saya percaya bakat sampingan dapat membezakan dirinya dengan peserta lain,” kata pemilik nama sebenar Jamal Ubaidillah Mohd Ali.
Menceritakan perkembangan terbaharu kerjaya seni, Jamal berkata, Konsert 40 Tahun Persada Seni Jamal Abdillah anjurannya yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu selama tiga hari terpaksa ditangguhkan ke tahun depan berikutan wabak COVID-19 yang masih belum reda.
Jelas penyanyi yang mendapat jolokan Raja Pop ini, walaupun terpaksa menunda projek meganya itu namun dia tidak terkilan kerana ia ada kaitan soal keselamatan, nyawa dan kesihatan.
“Dalam keadaan sekarang, saya rasa lebih baik ditangguhkan sahaja konsert berkenaan pada Ogos tahun depan. Saya tak mahu menanggung risiko jika berkeras mahu menganjurkannya sekarang. Insya-Allah, saya harap COVID-19 akan segera berakhir.

“Walaupun ditangguhkan, namun kerja awal penganjuran konsert sudah dijalankan. Antaranya, menempah pemuzik yang bakal beraksi termasuk kru teknikal. Pembayaran sudah dibuat kerana saya mahu perjalanan konsert ini lancar tanpa sebarang masalah berbangkit pada kemudian hari,” kata Jamal.
Sumber: BH Online
Jangan lupa saksikan Pa&Ma Journey Bersama SchAwaLara, setiap Rabu jam 9 malam di Astro Ria saluran 104/124 dan ulangannya setiap Ahad jam 9.30 pagi.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!
Amaran Bahaya Sebelum Dapat Sawan Ketika Hamil! Doktor Terangkan Gejala Awal Pra-Eklampsia

Pra-eklampsia adalah keadaan yang disebabkan oleh kehamilan, dan ianya berlaku pada trimester kedua kehamilan lazimnya selepas 20 minggu kehamilan. Pra-eklampsia berkaitan dengan tekanan darah yang tinggi, bengkak yang berlaku secara tiba-tiba dan kenaikan berat badan yang mendadak disebabkan pengumpulan air dalam tubuh, dan kehadiran protein dalam air kencing.

Pre-Eclampsia: Amaran bahaya sebelum dapat sawan ketika hamil
Punca sebenar terjadinya pra-eklampsia masih lagi tidak diketahui.
Apa yang terjadi dalam pra-eklampsia ialah terdapat pengurangan aliran darah ke uri sekaligus membahayakan bayi dalam kandungan . Tumbesaran bayi menjadi terbantut disebabkan kuantiti oksigen dan nutrien yang sampai kepada bayi tidak mencukupi.
Air mentuban juga akan menjadi kurang. Sekiranya tumbesaran bayi menjadi sangat terbantut, bayi boleh mati secara mengejut di dalam kandungan. Maka kehamilan dengan pra-eklampsia akan dipantau dari semasa ke semasa untuk mengesan bayi-bayi yang bakal mengalami komplikasi ini supaya tindakan segera dapat diambil untuk menyelamatkan bayi.
Mengapa perlu tahu mengenai pra-eklampsia?
Pra-eklampsia sangat biasa berlaku di kalangan wanita hamil.
Pra-eklampsia ringan berlaku bagi 7 daripada setiap 100 kehamilan manakala eklampsia (sawan hamil) pula jarang berlaku; hanya 1 dalam setiap 100 wanita dengan pra-eklampsia akan mengalaminya. Hampir separuh kes eklampsia (44 peratus) berlaku selepas bersalin, dalam tempoh berpantang (postpartum).
1 dalam 200 kehamilan (0.5%) akan mengalami pra-eklampsia yang serius ketika hamil. Gejala-gejala pra-eklampsia lazimnya ditunjukkan pada penghujung kehamilan, tetapi ada juga yang menujukkan gejala-gejala selepas bersalin.
Gejala-gejala pra-eklampsia yang serius adalah :
❗️Sakit kepala yang tidak dapat dilegakan oleh ubat tahan sakit
❗️Mata menjadi kabur
❗️Pedih pada ulu hati yang tidak dapat dilegakan oleh ubat-ubatan gastrik
❗️Bengkak pada kaki dan muka yang makin bertambah
❗️Berasa tidak sihat

Gejala-gejala ini adalah tanda-tanda amaran bahaya, dan memerlukan perhatian pihak hospital dengan kadar yang segera. Dalam pra-eklampsia yang serius ini, organ-organ penting di dalam badan – fungsi hati dan buah pinggang mungkin akan terjejas, sekaligus menjejaskan proses pembekuan darah yang normal di dalam badan.
Pra-eklampsia serius ini jika tidak dirawat boleh menjadi lebih teruk ke tahap eklampsia dimana sawan boleh terjadi. Walaupun ianya jarang terjadi 1 dalam 4000 kehamilan, eklampsia memberikan komplikasi dan impak yang serius kepada ibu dan bayi, dan boleh membawa maut
Anda lebih cenderung untuk mendapat pra-eklampsia jika ini merupakan kehamilan sulung anda atau jika terdapat jarak yang besar, selalunya 10 tahun, antara kehamilan ini dengan kehamilan yang terdahulu.
Anda mempunyai risiko yang lebih jika anda:
✅berumur 40 tahun atau lebih;
✅berat badan berlebihan ketika hamil, BMI 35 atau lebih.
✅mempunyai masalah perubatan yang kronik yang menjejaskan sistem darah anda, termasuk tekanan darah yang tinggi, lupus,masalah buah pinggang, atau diabetes;
kandungan kembar atau lebih;
✅mempunyai sejarah pra-eklampsia dalam keluarga, contohnya, terdapat emak atau kakak yang mengalaminya;
Berbincang dengan doktor anda, tentang faktor-faktor yang anda ada. Setelah penilaian doktor, anda akan dinasihatkan memakan ubat aspirin 75mg sehari sekali dari pada awal kehamilan (12 minggu) sehingga bersalin untuk mengurangkan risiko anda mengalami pra-eklampsia. Suplemen kalsium juga akan turut dimulakan.
Tiada cara yang pasti 100 % untuk mencegah terjadinya pra-eklampsia. Tetapi, cara yang terbaik untuk memastikan yang anda atau bayi tidak dalam bahaya ialah dengan berjumpa doktor anda secara kerap untuk temujanji antenatal anda. Ujian air kencing dan bacaan tekanan darah dijalankan oleh doktor atau jururawat semasa anda hadir untuk temujanji antenatal anda, adalah untuk mengesan tanda-tanda awal pra-eklampsia.
Bagaimana saya dirawat, sekiranya saya mengalami pra-eklampsia?
Jika tekanan darah naik secara sederhana, anda akan dinasihatkan untuk mendapatkan seberapa banyak rehat yang boleh, dan caranya ialah dengan berbaring di sisi kiri anda sebab ini akan membantu aliran darah ke uri. Anda mungkin diminta pergi ke klinik kesihatan setiap hari untuk memeriksa tekanan darah anda.
Sekiranya tekanan darah anda naik melambung, anda akan diminta masuk ke hospital supaya keadaan anda boleh dipantau dengan rapi. Kadar tumbesaran bayi akan diperiksa. CTG (cardiotocography) akan digunakan untuk memeriksa kadar denyutan jantung bayi anda dan kesihatannya secara umum. Tujuannya ialah untuk memanjangkan tempoh kehamilan anda seberapa lama yang boleh, untuk memberi peluang kepada bayi supaya tidak dilahirkan secara pramatang. Ubat untuk mengawal tekanan darah juga turut akan diberikan.
Anda juga akan diberikan suntikan ubat magnesium sulfat. Satu kajian penyelidikan yang besar yang diterbitkan pada tahun 2002 mendapati bahawa jika ibu yang mempunyai pra-eklampsia diberikan magnesium sulfat, risikonya mendapat eklampsia dikurangkan hingga separuh. Anda akan dirawat di wad rawatan rapi untuk ibu mengandung. Doktor juga akan menilai sama anda anda perlu diberikan ubat untuk mematangkan peparu bayi, sekiranya perlu dilahirkan lebih awal.
Sekiranya tekanan darah anda sukar dikawal dengan ubat-ubatan, akan dicadangkan supaya anda supaya menjalani proses induksi (induction of labour) atau melahirkan bayi anda melalui pembedahan caesarean.
Pra-eklampsia hanya akan pulih dengan sendirinya setelah anda melahirkan bayi. Tetapi, anda masih lagi berisiko sehingga empat minggu selepas bersalin, terutamanya jika pra-eklampsia anda itu serius atau dikenalpasti apabila kehamilan anda sudah mencapai minggu ke-37 atau lebih. Anda mungkin perlu meneruskan ubat untuk mengawal tekanan darah walaupun sudah bersalin.
Jika bayi dilahirkan kecil dan pramatang, bayi akan dipantau di unit rawatan rapi bayi sehingga bayi benar-benar sihat dan selamat untuk pulang. Tiada masalah untuk meneruskan penyusuan susu ibu
Segera dapatkan rawatan jika ada gejala-gejala pre eclampsia. Jangan tunggu
Sumber: Dr. Muhammad Izzat Abdul Razak
Pegawai Perubatan
Kesihatan wanita & kehamilan
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download
sekarang!


