Menghampiri tarikh jangkaan bersalin, perasaan risau pasti timbul. Tidak kira bagi yang pertama kali hamil mahupun sudah beranak-pinak. Hal ini kerana setiap proses kelahiran itu adalah unik dan tersendiri. Ia tidak sama antara satu sama lain.
Semakin hampir dengan tarikh bersalin, pasti anda perasan bahawa bukaan rahim mengembang dan semakin lembut. Proses ini sangat penting kerana ia membuatkan tubuh lebih bersedia untuk menghadapi proses kelahiran.
Terdapat beberapa cara semula jadi yang boleh anda praktikkan untuk mempercepatkan bukaan rahim agar mudah bersalin. Pastikan anda bukan dalam golongan ibu hamil yang berisiko tinggi yang mempunyai komplikasi tekanan darah tinggi, diabetes, kandungan songsang dan lain-lain.
Namun begitu, sebagai peringatan, sila dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum membuat sebarang teknik yang dinyatakan ini.
Terdapat kajian yang membuktikan bahawa aktiviti berjalan kaki sebelum bersalin membantu 32% daripada 663 wanita dengan mempercepatkan bukaan rahim masing-masing. Selanjutnya, wanita-wanita berkenaan melalui proses bersalin yang lebih cepat.
Daripada segi teori, berjalan kaki membantu bayi untuk memasuki saluran peranakan dengan bantuan graviti. Jika anda mahu menggunakan teknik ini, lakukannya dalam keadaan tenang. Jangan terlalu aktif kerana anda sangat memerlukan tenaga semasa meneran nanti.
Bola yang sering digunakan semasa bersenam boleh anda guna pakai dalam membantu proses kelahiran. Anda boleh duduk di atasnya sambil melakukan senaman regangan yang bersesuaian. Langkah ini akan membantu meluaskan otot pelvis.
Malah, jika dilakukan dengan betul, pergerakan di atas bola berkenaan akan membuatkan anda berasa lebih tenang dan ia bagus untuk proses bersalin. Selain daripada itu, aktiviti sebegini juga membantu bayi ‘turun’ ke saluran peranakan kesan tarikan graviti.
Ada kajian mendapati, ibu yang menggunakan bola semasa hamil dan dalam proses bersalin melalui peringkat bersalin pertama yang lebih pendek, kurang kes penggunaan epidural dan pembedahan caesarean.
Semasa merangsang payudara, anda akan merembeskan hormon yang dikenali sebagai oksitosin. Hormon inilah yang akan membantu proses kontraksi rahim.
Sperma daripada suami mengandungi prostaglandin yang berupaya melembutkan rahim dan membuatkannya bersedia untuk bersalin. Namun begitu, kaedah ini hanya sesuai dilakukan oleh ibu hamil yang dijangka bersalin normal. Sekiranya anda dikategorikan ibu hamil berisiko tinggi, sila elakkan.
Walau apa pun pilihan anda untuk membuka rahim dengan lebih cepat supaya mudah bersalin, pastikan anda mendapatkan nasihat dan pandangan daripada doktor terlebih dahulu. Cara yang terbaik ialah membiarkan tubuh anda bersedia sebaik mungkin untuk menghadapi proses kelahiran itu.