Buah hati kesayangan rakyat Malaysia, Ainul Mardhiah yang sentiasa menjadi perhatian semua terus menarik perhatian ramai bila mana kini semakin bertambah sihat di kala usianya lima tahun.
Pun begitu menerusi perkongsian bapanya, Ahmad Safiuddin bersama temubual esklusif Pa&Ma, walid kesayangan Ainul ini memberitahu Ainul mempunyai sedikit kelewatan pada perkembangannya malah dibimbangi mempunyai mild autisme.
Akur dengan hal itu, bapa dan ibunya, Nurul Erwani reda kerana menyedari Ainul yang terlambat perkembangannya berbanding rakan-rakan seusianya.
“Pengalaman saya membesarkan Ainul sepanjang lima tahun ini tak susah dan tak juga mudah. Semuanya sebagai ujian dan cabaran buat saya dan keluarga.
“Cuma dari segi perkembangannya sekarang perlu lebih lagi supaya sesuai dengan usianya yang kini lima tahun.
“Untuk Ainul, terapi belum memberi kata putus samada Ainul disahkan autisme ataupun tidak, cuma ke arah itu ada atau mild autisme.
“Kalau kita panggil, dia tak akan pandang dan delay development. Sosial skill pun tak ada, tak bergaul dengan orang lain, dia ada dunianya sendiri,” kongsinya kepada Pa&Ma.
Bersyukur dengan perkembangan Ainul kini, bapa penyayang ini juga mengharapkan agar perjalanan Ainul dipermudahkan malah mengharapkan Ainul boleh menjaga dirinya sendiri di samping dua adik lelaki yang bakal melindungi kelak.
Tidak mengharapkan lebih dari Ainul, namun walid kesayangan Ainul ini mengharapkan panggilan walid dan mama keluar dari mulut Ainul suatu hari nanti.
“Saya harap sangat Ainul boleh jaga diri dia sendiri nanti. Antara yang saya nak sangat dan harapkan dari Ainul adalah perkataan mama dari mulut dia.
“Nak sangat dia panggil mama, walid keluar dari mulut dia. Saya dengar itu pun dah cukup buat saya. Bagi saya diusianya lima tahun ini, cukup dia sihat, boleh makan dan minum dan memanggil mama dan walid. Itu yang saya tunggu,” luahnya lagi.
Syukur dua adik lelaki sebagai pelindung Ainul
Malah ibu Ainul, Nurul Erwani turut mengharapkan kesemua anak-anaknya sentiasa dalam keadaan sihat. Baginya, dia amat berbangga melihat anak keduanya yang sentiasa peka dengan Ainul.
“Apa yang kita buat dekat Ainul, anak-anak lain pun akan ikut buat perkara yang sama pada Ainul. Saya bersyukur,” luahnya.
Bagi bapa Ainul, dia teramat bersyukur bila mana Allah hadirkan dua anak lelaki dalam hidupnya yang bakal menemani Ainul kelak.
“Ainul bertuah kerana ada dua adik lelaki, bodyguard untuk menjaganya kelak namun saya tidak meletakkan beban itu kepada mereka.
“Selagi saya dan isteri bernyawa, saya akan menjaga sepenuhnya Ainul dan dalam masa yang sama akan mendidik dua adiknya untuk mengambil berat pada kakaknya.
“Saya doakan isteri, anak-anak dan kami semua hidup bahagia. Cukup itu sahaja, saya cukup bersyukur, tak ada yang saya harapkan dalam hidup ini,” luahnya.
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!