Macam mana nak elak rasa nak marah kalau anak suka tanya banyak soalan? Memang tak terlayan kalau anak jenis suka tanya banyak soalan, yang sama pula ktu setiap masa.

“Mama, kenapa bird tu terbang?”
“Mama, kenapa orang tu diri?”
“Mama, kenapa pakai selipar?”

Kalau anda ada anak kecil, dalam sehari mesti biasa dengar beratus atau mungkin beribu soalan sama tentang ‘KENAPA’ kan? Mula-mula anak pandai tanya soalan, ibu rasa teruja dan bangga sebab anak dah mencapai tahap perkembangan otak ligat berfikir.

Itu tandanya anak makin bijak dan ada sikap ingin tahu yang tinggi. Tapi lama-lama bila si kecil tanya soalan yang sama 100 kali sehari, kau rasa? Nak marah ke ibu? Eh, tak lah. Mana boleh marah kan.

Pakar perkembangan anak kata, ibu ayah jangan sekali-kali herdik atau sekat anak yang suka bertanya. Nanti bila mereka ‘sentap’ terus tak nak tanya apa-apa soalan. Anda juga yang risau.

Ok, ini antara beberapa cara bijak yang ibu ayah boleh buat bila berhadapan dengan anak yang suka bertanya soalan sama berulang-ulang kali. Ini pun boleh elak kita daripada rasa macam nak marah bila kena jawab soalan yang sama.

Ads

Tapi ingat jangan sekali-kali jawab “tak tahu” atau “entah” pada soalan anak anda atau buat acuh tak acuh sebab malas nak layan anak yang suka bertanya. Buruk kesannya pada perkembangan anak tau!

1. Tanya balik soalan yang sama

Memang ‘habit’ budak kecik suka tanya soalan sama berulang kali. Jangan marah. Biar je dia tanya banyak kali soalan yang sama lepas tu cuba tanya balik soalan itu padanya. Anda akan terkejut sebab dia boleh bagi jawapan yang betul. Kesimpulannya, anak sengaja tanya soalan yang sama pada ibu ayah mungkin sebab kali pertama soal, dia rasa anda tak beri perhatian padanya. Jadinya dia tanya banyak kali untuk dapatkan sepenuh perhatian walaupun dia sendiri tahu jawapannya.

2. Tumpukan perhatian pada anak

Bila anak anda mula bertanya soalan, sebaiknya hentikan seketika aktiviti yang dilakukan sebelum itu. Pandang muka anak dan tepat pada matanya serta fokus mendengar soalannya. Reaksi mengangguk-anggukkan kepala yang anda tunjukkan sebagai tanda cuba memahami soalan yang ditanya akan menggembirakan hati anak. Tahulah si kecil yang ibu atau ayah tak jemu melayan setiap soalannya. Sepatutnya anda kena berbangga sebab anak sudah semakin bijak berfikir dan sentiasa ingin tahu banyak perkara yang berlaku di sekelilingnya.

Ads

3. Soalan dijawab dengan soalan kembali

Bila anak anda tanya soalan, anda boleh berikan jawapan dalam bentuk soalan kembali supaya dia boleh berfikir.

Contohnya kalau dia tanya, “Mama, kenapa kita kena gosok gigi?”

Ads

Anda boleh jawab, “Iman rasa kalau tak gosok gigi, mulut kita busuk tak?”

Tentu dia akan terfikir kenapa pula mulut busuk dan anda boleh terangkan tentang mulut yang ada bakteria dan kotoran makanan yang dimakan. Kalau tak dibersihkan akan berbau busuk dan gigi rosak. Sekurang-kurangnya sesi pertanyaan tersebut ada memberikan ilmu baru kepada anak. Interaksi dua hala ini memberikan peluang kepada otak anak untuk berfikir.

4. Keep calm and smile

Untuk mengelakkan rasa serabut anak tanya banyak soalan, anda kena tetapkan dalam hati supaya sentiasa dalam mode bertenang dan banyakkan senyum supaya ikhlas dan bersedia untuk menjawab setiap soalan anak walaupun untuk kali yang ke-180!

5. Berusaha beri jawapan terbaik

Janganlah disebabkan tak tahu jawapan atau malas nak huraikan panjang lebar, maka anda jawab “tak tahu” atau “entahlah mama pun tak tau”, sekurang-kurangnya kalau tak tahu jawapan yang betul, anda boleh cakap “nanti mama cari jawapan kat internet ya.” Barulah anak lebih bersemangat nak jadi kritis dan berfikir untuk tanya ibu ayah soalan lagi. Kalau asyik jawab tak tahu, anak pun beranggapan ibu ayah tak tahu banyak perkara dan akhirnya dia pun jadi malas nak tanya.

Ingatlah, fasa anak suka tanya soalan tak akan selamanya berlaku. Makin dia membesar makin kurang soalan yang ditanya. Nanti anda pula yang asyik tanya kepada anak dan rindu nak jawab soalan anak!

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI