Anak anda dah masuk usia 3 tahun? Memang mencabar layan perangai mereka. Ibu ayah perlu ada strategi untuk ‘tawan’ mereka supaya tidak buat perangai.
Orang kata kalau anak dah masuk usia 2 tahun, perangai mereka sangat menguji kesabaran ibu ayah kerana proses transisi daripada bayi menjadi kanak-kanak susah nak difahami. Fasa itu dikenali sebagai ‘terrible twos’ .
Tapi bila si kecil makin membesar dan masuk usia 3 tahun, lagi banyak perangai dan ragam mereka yang sukar dijangka. Bersedialah ibu ayah! Jom kita semak serba sikit perangai anak usia 3 tahun ni.
* Setiap hari anda seolah-olah perlu bermain teka-teki macam mana dengan ‘mood’ mereka. Kalau pagi mereka ceria, nanti bila anda balik kerja jangan anggap keceriaan itu akan berkekalan. Begitu juga kalau pagi hari kita hantar mereka ke taska atau rumah pengasuh, anak tengah bad mood apabila petang anda terkejut melihat si kecil sudah ceria kembali.
* Itu belum lagi bab anda tak faham apa yang mereka mahu. Masalah komunikasi pun boleh meletuskan amukan pada pihak si kecil. Oleh kerana kita kurang faham dengan apa yang mereka mahu maka anak akan tantrum kerana keinginannya tidak dapat dipenuhi.
* Bermain sepanjang masa dan tiba-tiba merengek tanpa sebab. Kalau nampak si kecil sibuk bermain dan ‘explore’ banyak benda di sekeliling dia mesti kita rasa lega tapi tiba-tiba tanpa sebab anak akan datang pada kita dan merengek. Masa ini memang anda pun akan keliru apa yang tidak kena padanya.
* Cerewet bab makan. Kalau hari ini dia suka makan roti keju, esok belum tentu menu yang sama akan diterimanya.
* Adakalanya ketika kita sedang sibuk buat kerja di rumah, si kecil merengek nak kita sentiasa duduk atau baring sahaja sebelahnya. Kalau tak sibuk atau mengejar masa maka tiadalah masalah tapi kalau masa itu ibu atau ayah pun sedang kesuntukan masa, memang boleh jadi naik angin juga.
Kalau anda sedang berhadapan dengan situasi anak yang berperangai macam ini, ada strategi yang betul untuk kawal mereka supaya sentiasa ceria dan tidak mengamuk.
1. Jaga mood anak
2. Layan anak dengan baik
Walaupun kita penat balik dari kerja, jangan sesekali biarkan anak keseorangan. Ambil masa seketika untuk layan kehendak anak. Misalnya layan dia makan atau tengok TV sama-sama sekejap. Kalau dia nak mandi, layan sekejap kehendaknya untuk mandi dan main air dalam bilik air dan sebagainya. Maka tidaklah dia rasa merajuk kerana anda membiarkan sahaja dia tanpa layanan selepas seharian tidak berjumpa.
3. Bergurau dengannya
Bila balik dari kerja, anda boleh agak bagaimana mood si kecil. Kalau sekali panggil nama sahaja, dia sudah tersenyum dan memanggil anda kembali maka itu tandanya mood dia ok. Tapi kalau dia buat tak tahu dan mukanya masam maka itu tandanya dia sedang bad mood. Jangan anda pun sama bad mood, sebaliknya cuba ceriakan kembali anak anda dengan cara bergurau-senda dengannya. Usik-mengusik, geletek dia atau cium pipinya dengan manja mesti boleh buat si kecil gembira dan hilang bad moodnya.
4. Beri perhatian
5. Bermain dengan anak
Bila anak ajak ibu atau ayah main bersama, jangan tolak atau buat tak layan. Cuba luangkan masa sekejap sahaja untuk layan dia bermain. Walaupun si kecil ajak ayah main masak-masak tapi layan jugalah ya. Nanti dia pun rasa seronok dan gembira sebab tahu ibu dan ayah sayangkannya. Sekurang-kurangnya ia membantu si kecil belajar banyak perkara masa tengah bermain.
Membesarkan anak usia ini memang perlukan banyak kesabaran sebab kadang-kala kita sendiri tak faham keinginan mereka. Tetapi percayalah dengan layanan dan perhatian yang kita berikan mampu membantu si kecil melalui proses membesar dengan gembira dan ceria. Barulah dia boleh jadi anak yang berjaya satu hari nanti.