Seawal usia enam bulan bayi anda mungkin sudah ada yang tumbuh gigi. Selari dengan umur mereka yang kini sudah boleh diperkenalkan dengan makanan sebenar. Tapi ada juga sesetengah bayi yang sebaik sahaja dilahirkan sudah mempunyai gig, namun perkara itu jarang berlaku.
Setelah si kecil mempunyai gigi, pastinya rutin penjagaan gigi si kecil akan bermula. Bersama Dr. Ahmad Faizal Ismail, Penolong Professor Pergigian Kanak-kanak di Kuliah Pergigian UIAM dan Pakar Pergigian Kanak-kanak di Pusat Perubatan UIAM untuk mengulas lanjut mengenai pertumbuhan dan penjagaan gigi bayi.
Gigi desidus atau gigi susu adalah asset yang penting untuk bayi. Gigi susu adalah penting untuk fungsi pemakanan, pengunyahan dan juga estetik. Selain itu, gigi susu juga berfungsi mengekalkan ruang (space maintainer) untuk pertumbuhan gigi kekal kelak. Secara umumnya, jumlah gigi susu untuk seorang kanak-kanak adalah 20 batang. Ia terdiri daripada 8 batang gigi kacip, 4 batang gigi taring dan 8 batang gigi geraham. Gigi susu pertama akan mula tumbuh pada umur 6 bulan, iaitu gigi kacip bawah, diikuti gigi kacip atas. Gigi susu lain akan mula tumbuh mengikut umur bayi sehingga lengkap 20 gigi susu sekitar umur 3 tahun.
Gigi susu terbentuk semasa bayi masih di dalam kandungan ibu. Pada minggu ke 6 kehamilan, lamina germa gigi susu akan mula terbentuk. Proses pembentukan ini akan berterusan sehingga gigi susu tumbuh sepenuhnya pada umur 3 tahun. Amat penting untuk ibu mengandung mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil nutrien yang diperlukan seperti kalsium supaya pembentukan gigi bayi di dalam kandungan tidak terganggu. Jika terdapat gangguan sistemik seperti infeksi yang teruk, pengambilan alcohol, atau pengambilan sesetengah ubat oleh ibu mengandung, ia boleh menyebabkan gangguan terhadap pembentukan atau morfologi gigi bayi di dalam kandungan.
Penjagaan mulut dan gigi bayi amat penting kerana ianya bergantung sepenuhnya kepada ibubapa. Pemahaman ibubapa amat penting dalam memastikan gigi susu agar tidak rosak dan bayi mendapat penjagaan gigi yang sempurna.
Jika terdapat kerosakan atau karies pada gigi susu, ini boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada bayi. Memandangkan bayi belum dapat berkomunikasi, bayi akan meragam dan mengelak untuk minum susu jika bayi sakit gigi. Jika karies pada gigi susu ini tidak dirawat, kuman pada gigi tersebut boleh merebak ke bahagian pipi dan muka, menyebabkan kebengkakan muka (facial cellulitis).
Gigi susu pertama akan mula tumbuh apabila bayi berumur 6 bulan Namun terdapat juga bayi yang dilahirkan mempunyai gigi. Gigi natal adalah gigi yang telah tumbuh semasa bayi lahir, manakala gigi neonatal adalah gigi yang tumbuh dalam sebulan pertama kelahiran (Gambar 1). Gigi natal dan neonatal adalah gigi susu yang tumbuh secara awal dan pra-matang. Gigi natal dan neonatal amat jarang berlaku. Jika bayi mempunyai gigi natal atau neonatal, rujukan kepada pakar pergigian kanak-kanak dan pakar kanak-kanak adalah perlu. Ini bagi mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi yang menyusu. Pemeriksaan awal mulut bayi sejurus dilahirkan amat penting bagi memastikan rujukan awal dapat dilakukan.
Sebelum gigi pertama bayi tumbuh, adalah digalakkan untuk ibubapa membersihkan mulut dan gusi bayi menggunakan kain tuala yang lembut yang dililit pada jari. Ia boleh dilakukan setiap kali selepas menyusu atau semasa memandikan bayi. Selain itu, lidah bayi juga perlulah dibersihkan dari sisa-sisa susu yang melekat pada permukaan lidah.
Selepas lahir sehingga umur bayi 6 bulan
Bayi berumur 6 bulan sehingga 12 bulan
Tips untuk ibubapa jika bayi gatal gusi
Berikan buah yang sejuk dan dipotong kepada bayi. Buah yang sejuk boleh mengurangkan gatal disamping memperkenalkan makan pejal kepada bayi.
Gunakan jari atau kain tuala lembut yang dilembapkan untuk menggosok gusi bayi
Bersihkan air liur yang meleleh bagi mengelakkan keradangan pada pipi.
Berikan mainan gigit (teething rings) yang telah disejukkan. Elakkan meletak didalam peti sejukbeku (freezer) kerana mainan gigit yang keras akan melukakan gusi bayi.
Akademi Pediatrik Amerika (AAP) tidak menggalakkan menyapu gel anaestetik (bius) pada gusi kerana boleh menyebabkan bayi tertelan gel tersebut. Gel anaestetik mengandungi bahan ‘Lidocaine’ yang boleh memudaratkan bayi jika tertelan secara berlebihan.