Getirnya melalui saat cemas walau pun hanya 20 minit. Bagaikan hampir gugur jantung ibu tatkala anak kecil masih bayi terperangkap di dalam kereta.
Dalam kejadian yang berlaku di Kudat ini, seorang ibu berhadapan situasi cemas apabila si kecil menekan tombol pintu semasa enjin kereta dipanaskan.
Ibu hendak panaskan enjin kereta
Menurut laporan Harian Metro, dalam kejadian 8.30 pagi itu, ibu kanak-kanak berkenaan dikatakan sedang memanaskan enjin kereta Perodua Kancil di rumahnya.
Anak masuk kereta & tertekan tombol kunci
Bagaimanapun tidak disangka-sangka sebaik keluar dari kereta berkenaan, tanpa disedari anaknya masuk dalam kereta lalu bermain dengan kunci kereta dan tertekan tombol kunci pintu.
Pujuk tak berjaya, ibu hubungi bomba
Ibu yang kemudiannya menyedari si kecil terkunci dalam kereta mula memujuk anaknya untuk menarik tombol kunci berkenaan. Selepas gagal memujuk anaknya untuk membuka pintu kereta hampir 20 minit, ibu ini kemudian menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.46 pagi dan menghantar enam anggota dengan sebuah jentera ke lokasi kejadian.
Tingkap kereta bertutup & pintu berkunci
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa terperangkap dalam kenderaan dalam keadaan tingkap bertutup dan pintu berkunci.
Pintu diumpil kerana hampir 20 minit terperangkap
“Pasukan bomba bertindak mengumpil pintu kereta menggunakan peralatan khas memandangkan ia sudah berlaku hampir 20 minit sebelum berjaya membawa mangsa keluar,” katanya Ishak. Katanya lagi, kanak-kanak berkenaan dalam keadaan stabil dan operasi berkenaan ditamatkan pada jam 8.56 pagi.
Sumber: Harian Metro
Foto: Berita Harian