Ibu bapa mana yang tak pernah marahkan anak. Kalau boleh sebenarnya semua ibu bapa tidak mahu marahkan anak tetapi kadang kala bila sudah hilang kesabaran termarah juga si anak.

Lepas marah anak, anda mesti rasa menyesal dan kasihan dengan si kecil apatah lagi jika dia terus tertidur dalam linangan air mata dan kesedihan akibat dimarahi.

Bagaimana agaknya hendak mengelakkan daripada asyik marahkan anak? Ini kerana anak-anak yang sering dimarah akan menjadi keliru dengan ibu bapa mereka. Bayangkan kanak-kanak berusia tiga tahun yang kerap dimarahi oleh orang yang paling rapat dengannya tidak dapat mengagak bila dia akan disayangi dan bila akan dimarahi.

Tanpa disedari mereka membesar sebagai individu yang keliru, suka memberontak dan menyalahkan dirinya sendiri. Reaksi pertama mereka apabila dimarah adalah merajuk.

Sekiranya anak asyik dimarahi sepanjang masa, jangan terperanjat jika mereka membesar sebagai anak yang tidak yakin dengan diri sendiri, tidak berani mencuba perkara yang baru dan sentiasa keliru apakah dirinya disayangi oleh ibu dan ayah atau tidak.

Bukan bermakna kita tidak boleh marahkan anak. Anak perlu ditegur dan dimarahi atas kesalahan yang mereka lakukan dan bukan kerana kita sedang penat, tertekan dan sebagainya yang tiada kaitan dengan diri anak itu.

Sekiranya kita mendisiplinkan anak semasa diri sedang marah, kita akan menjadi lebih beremosi atau lagi teruk cenderung menyakitkan anak-anak seperti memukul dan sebagainya. Jadi, cuba kawal diri supaya tidak marahkan anak atas perkara yang tidak sepatutnya. Beberapa perkara tersebut boleh dicuba oleh anda:

1. Tarik nafas dan bertenang

IKLAN

Anda yang mengawal diri sendiri. Sekiranya dalam keadaan tertekan atau penat, anda cenderung cepat marah. Ingatkan diri sendiri supaya tidak melepaskan kemarahan kepada anak terutama sekiranya mereka sedang bermain dan menyepahkan rumah, banyak bertanya kepada anda, meminta itu dan ini. Bertenang dan bersabar serta tanya pada diri sendiri “Apa salah anak saya sampai perlu memarahinya?”

2. Keluar dari zon marah

Anda sedang marah? Cuba keluarkan diri anda daripada zon marah. Misalnya, jauhkan diri daripada anak-anak sekejap dengan masuk ke dalam bilik seketika atau jika sedang duduk cuba bangun dan pergi ke dapur.  Setelah kembali tenang, barulah kembali melayan anak-anak.

Nak Jadi Ibu Ayah Tak Marah Anak? Ini 5 Perkara Anda Mesti Lakukan

IKLAN

3. Beristigfar

Rasulullah s.a.w mengajar umatnya agar  jangan cepat marah. Jika berasa marah segerlah meminta perlindungan kepada Allah SWT daripada syaitan.  Sebagai seorang muslim, jika berasa marah segeralah beristighfar atau mengambil wuduk dan mengerjakan solat sunat.

Suatu ketika, Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullah s.a.w lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang banyaknya berperang (selalu menumpaskan orang lain); Sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal dirinya ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
.
Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya kita menahan diri daripada  sifat marah. Banyak insiden yang tidak diingini boleh dielakkan sekiranya kita berjaya menahan marah.

4. Sertai kumpulan sokongan

IKLAN

Kadang kala kita perlu bergaul dengan komuniti yang sama pengalaman dengan kita. Kini ada banyak komuniti atau forum di media sosial yang berkongsi pelbagai tip dan panduan berguna menjadi ibu bapa yang cemerlang. Tak salah anda menyertai mereka untuk sama-sama bertukar fikiran dan pengalaman.

5. Beri penjelasan

Nak Jadi Ibu Ayah Tak Marah Anak? Ini 5 Perkara Anda Mesti Lakukan

Walaupun anak membuat kesalahan tetapi ibu bapa mesti menerangkan kenapa dia perlu dimarah dan menerima denda di atas kesalahan tersebut. Bukannya hanya marah terjerit-jerit kepada anak tanpa menjelaskan sebabnya. Anak kecil tentu keliru dan tidak faham kenapa dia perlu dimarah dengan begitu teruk sekali oleh ibu bapa.

Kadang kala jika kita terlalu kerap menggunakan kuasa veto dan meninggikan suara kepada anak-anak, ia hanya akan membuatkan anak-anak secara diam berdendam dan tidak menghormati orang tuanya. Bahkan mereka juga sudah tidak hairan dengan jeritan kemarahan ibu ayah kerana sudah terlalu biasa dimarahi.

Ketahuilah yang anak-anak anda juga mempunyai perasaan. Jika terlalu kerap dimarahi, sudah tentu ia melukakan hati dan emosinya dan mungkin dia tidak akan pernah melupakan sampai bila-bila kata-kata negatif yang terlontar dari mulut ibu ayah yang sedang naik angin.

Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI