Uncategorized

Nak Jadi Wanita Sihat, Kena Ikut 22 Tip Dr Hamid Arshat. Nasihatnya Sangat Berguna!

Share

Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Begitulah yang patut dilakukan oleh setiap individu. Hal ini turut disarankan oleh doktor pakar sakit puan terkemuka, Dr. Hamid Arshat.

Di dalam laman Facebook, beliau telah
berkongsi 22 tip kesihatan penting untuk semua wanita amalkan. Ia melibatkan gaya hidup, cara pemakanan dan minuman sihat.

Tip gaya hidup

1. Dapatkan pemeriksaan doktor bertauliah sebelum mencuba kaedah alternatif

Anda patut bertemu doktor perubatan untuk mengubati penyakit. Kaedah tradisional sepatutnya digabungkan hanya setelah mendapatkan nasihat doktor.

2. Banyakkan berdoa

Mohonlah setiap hari kepada Tuhan supaya dikurniakan kesihatan yang baik.

3. Berfikiran positif dan mengamalkan gaya hidup sihat

Fikiran yang positif dapat mengubah minda. Amalan hidup sihat dapat mengurangkan kebergantungan diri kepada ubat-ubatan.

4. Kurangkan pendedahan diri kepada toksin

Ada pelbagai jenis pencemaran radiasi dan bau bahan kimia di persekitaran. Penggunaan minyak wangi kimia serta pewangi kereta dan rumah tidak digalakkan.

5. Kawal stres

Stres membuka ruang kepada pelbagai penyakit. Jadi, kawal stres dengan melakukan aktiviti yang digemari. Dapatkan juga rehat yang mencukupi.

6. Bersenam setiap hari

Anda perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari untuk melakukan senaman. Pilih jenis senaman yang bersesuaian dengan anda. Pastikan peluh keluar! Ia dapat membantu mengawal penyakit kronik seperti angin ahmar, darah tinggi, diabetes dan serangan jantung.

7. Periksa payudara

Semasa mandi, periksa payudara dan bahagian bawah lengan bagi memastikan tiada ketulan di bahagia berkenaan. Picit puting payudara untuk memeriksa sama ada terdapat sebarang jenis lendir atau darah.

8. Pantau berat badan

Jangan biarkan berat badan melebihi 60kg. Senaman dan kawalan pengambilan karbohidrat serta gula dapat membantu anda mendapatkan berat badan yang ideal.

9. Lakukan pemeriksaan rahim

Jika selalu mengalami senggugut, haid tidak teratur dan pendarahan yang berpanjangan, anda perlu membuat ujian imbasan rahim. Tujuannya ialah bagi mengesan punca kepada masalah tersebut.

Tip pemakanan

10. Amalkan pemakanan seimbang

Kebanyakan penyakit adalah diakibatkan oleh gangguan jiwa dan pemakanan tanpa zat. Jadi, kurangkanlah memakan makanan segera, makanan diawet, makanan dalam tin dan makanan yang diproses.

11. Kurangkan gula dan karbohidrat

Orang Malaysia memang gemar makan nasi dan minuman manis seperti teh tarik dan sebagainya. Anda dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat.

12. Makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang

Untuk mengelakkan makan secara berlebihan, anda digalakkan untuk makan hanya apabila lapar. Jika satu hidangan tidak mencukupi, anda boleh tambah. Namun, pastikan ia terdiri daripada lauk dan sayuran sahaja, tanpa nasi.

13. 70% hidangan adalah sayur dan buahan

Perbanyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pemakanan seharian. Semuanya perlu segar dan bukan yang diproses. Jika dimasak, sayur tidak sepatutnya dimasak terlalu lama (overcooked).

14. Makan dengan cara yang betul

Kunyah 15 hingga 20 kali sebelum menelan makanan. Mulakan juga sesi makan dengan mengambil buah. 15 ke 20 minit kemudian, barulah makan nasi atau hidangan berat lain.

15. Kurangkan snek segera di antara hidangan utama

Gantikan snek segera dengan mengambil lebih banyak kismis, walnut, gajus, buah beri, badam, labu dan kuaci.

16. Ulam sebagai antikanser

Ambil ulam-ulaman semasa makan. Kacang botol, misai kucing, sambung nyawa dan tujuh jarum amat berkhasiat. Ulam ini dapat membantu mengawal darah tinggi, kencing manis, kanser serta bagus untuk otak dan jantung.

17. Ambil suplemen

Selepas bersalin atau semasa menyusu badan, anda menentukan banyak vitamin. Malah, ketika didatangi haid pun anda kehilangan banyak zat besi. Jadi, ambil suplemen zat besi, antioksida, serat, kolagen, peptida, vitamin C dan kalsium setiap hari.

18. Makanan tambahan

Ambil minyak ikan, biji anggur, habbatus sauda, dan royal jelly bagi membekalkan mineral dan vitamin kepada badan

19. Ambil madu dan minyak zaitun

Ambil sesudu madu dan minyak zaitun setiap hari, pagi dan petang. Ia baik untuk jantung dan otak anda.

Tip minuman

20. Ambil minuman berkhasiat

Hadkan minuman kopi kepada hanya secawan atau dua cawan sehari. Selebihnya, banyakkan meminum air kosong atau air teh hijau.

21. Cadangan minuman sihat lain

Selain air mineral dan teh hijau, air kelapa (tanpa gula) dan jus buah juga bagus untuk wanita. Ia kaya dengan zat, vitamin dan logam.

22. Minuman masam atasi keputihan

Jika selalu mengalami masalah keputihan atau gangguan air kencing, cuba amalkan minuman seperti jus kranberi, limau nipis, limau kasturi dan lemon.

Published by
Intan Jastina