Ingin berkongsi rasa bahagia mempunyai zuriat sendiri, pasangan selebriti Indonesia Irwansyah dan isteri, Zaskia Sungkar yang sedang menanti saat bergelar ibu dan ayah meluahkan hasrat untuk membantu pasangan yang sudah lama ingin memiliki zuriat.
Niat murni pasangan ini dimaklumkan melalui akaun Instagram Irwansyah baru-baru ini apabila penyanyi lagu Pencinta Wanita itu berkongsi dengan pengikutnya tentang program ‘Bayi Tabung Bersama Syahki’. Ia juga adalah hasil usahasama pasangan ini dengan klinik Morula Jakarta & Bandung.
Menerusi program tersebut, dua pasangan terpilih akan ditaja untuk menjalani rawatan kesuburan iaitu In-Vitro Fertilization atau IVF.
Menurut Zaskia pula kepada Fimela dalam satu sidang media virtual pada Rabu yang lalu, dia dan suaminya mahu berkongsi rasa bahagia memiliki cahaya mata sendiri.
“Kami tidak mahu bahagia sendiri, semoga bayi tabung bersama Syahki ini, kami dapat membantu cita-cita calon ibu dan bapa mendapatkan anak secara IVF dan ia percuma,”
Memetik laporan Fimela, Irwansyah dan Zaskia turut berasa bersyukur apabila diberi rezeki dari segi kewangan untuk menjalani rawatan IVF tersebut.
Mencari satu pasangan dari Jakarta dan satu lagi dari Bandung, pasangan ini cukup memahami jika ada ibu dan bapa yang mengidamkan cahaya mata tetapi tidak mampu untuk menjalani rawatan IVF yang berkos tinggi.
Program ini turut menetapkan beberapa syarat untuk dipatuhi antaranya pasangan mestilah tidak melebihi 33 tahun, belum memiliki zuriat dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.
“Keinginan kami untuk sama-sama berkongsi kebahagiaan dengan membantu pasangan memperoleh anak. Kami berharap program ini memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar berkeinginan mempunyai zuriat,” ujar Irwansyah.
September lalu, penantian cahaya mata pasangan ini selama 10 tahun berakhir apabila Zaskia disahkan hamil selepas menjalani rawatan IVF. Usia kandungannya kini memasuki bulan kelima.
Sekadar info, Irwansyah dan Zaskia telah mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2011.
Sumber: Gempak, IG Irwansyah & Zaskia Sungkar
Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents