Memang payah bila bayi yang asyik nak berkepit dan berdukung sahaja 24 jam. Sudahnya segala kerja ibu di rumah terpaksa dilakukan sambil mendukung anak. Kerja jadi tak sempurna dek tidak fokus pada satu-satu kerja.
Menurut Pn Maryam Jamadi, Pediatric Occupational Therapist, BEYOND Home Therapy Selayang, Selangor, sememangnya bayi akan merasa lebih selesa dan selamat kala didukung oleh ibunya. Namun apabila asyik berdukung hingga mengganggu pelbagai urusan pastinya ibu perlu lakukan sesuatu. Ini penyebab dan trik yang dikongsikan oleh beliau.
ANAK NAK BERDUKUNG 24 JAM
Baru-baru ini ramai mak ayah yang bertanya macam mana nak mengatasi masalah anak yang suka berdukung setiap masa, dan akan menangis setiap kali letak bawah. Adakah nak biar sahaja anak menangis atau ikut kehendak anak?
1. Keperluan Sensori
Pertama, kena faham kenapa bayi suka kena dukung. Ok macam ini, bayi secara fitrahnya memang suka kena dukung. Sebabnya apabila didukung, secara tak langsung dia akan dipeluk, terasa dibuai dan didodoi seperti duduk di dalam rahim ibu lagi.
Perkara ini saya suka kaitkan dengan Pyramid of Learning (Williams & Shellenberger), ada 3 core sensory yang menjadi asas dalam pyramid ini iaitu
1. Tactile (deria sentuhan)
2. Vestibular (deria keseimbangan/balance)
3. Propioception (deria sendi/joint senses)
Sejak dari lahir, bayi memerlukan semua deria ini dalam proses perkembangan otak yang sihat. Ramai mak ayah ingat keperluan bayi hanya minum susu, cukup tidur dan tak sakit perut sahaja. Sebenarnya peluk bayi atau dukup bayi juga salah satu keperluan bayi.
Disebabkan inilah bayi nampak lebih bahagia apabila kerap dibelai (deria sentuhan), dipeluk (deria sendi) dan didukung (deria keseimbangan). Tiga deria penting ini memang sangat diperlukan untuk perkembangan otak bayi. Setiap bayi berbeza keperluannya.
Maka, jangan bandingkan anak kita dengan anak orang lain. Tugas kita ialah memenuhi semua keperluan deria ini dan caranya bukan hanya dengan berdukung. Ada banyak cara utk memenuhi keperluan sensori bayi, tak perlu beli apa-apa pun cuma pakai apa yang ada sahaja. Contohnya:
Tactile (Deria sentuhan)
1. Pakaikan losyen pada bayi sambil belai-belai seluruh badan bayi.
Ads
2. Sambil minum susu digalakkan usap-usap kepala anak sekali.
3. Baringkan bayi dekat atas baju yang belum lipat, lagi banyak jenis material kain lagi bagus.
4. Beri bayi gengam jari kita.
5. Usap tangan dan jari jemari bayi.
6. Beri bayi main dengan pelbagai jenis tekstur dan bentuk.
Vestibular (Deria keseimbangan)
1. Letak dalam buaian ataupun bouncer semasa bayi sedar. (Penerangan dalam post lain)
Proprioception (Deria sendi/ Joint sense)
1. Urut lepas mandi, sangat penting and tolong jangan skip untuk bayi yang baru lahir.
2. Pakaikan bedung untuk bayi yang baru lahir. (Nanti saya cuba post tentang amalan nenek moyang kita dan sensori bayi, panjang sangat penjelasannya)
3. Selalu buat “tummy time” seawal baru lahir.
Ads
4. Peluk bayi.
Cara diatas ini boleh dilakukan untuk bayi baru lahir untuk memenuhi keperluan sensori mereka.
2. Separation Anxiety
Kedua, kenapa bayi suka berdukung adalah disebabkan Separation Anxiety (resah bila berpisah). Ini adalah normal dalam proses perkembangan emosi bayi. Bila kita hilang dari pandangan, bayi akan rasa macam kita akan hilang selamanya. Sebab itulah, bila kita letak ke bawah bayi risau kita “hilang”.
Biasanya akan bermula bila bayi dah kenal orang sekeliling, lagi teruk bila pergi rumah orang taknak lepas nak melekat sahaja. Biasanya bermula seawal 6-7 bulan dan waktu genting sekitar 10-18 bulan dan mungkin akan berterusan sampai umur 2 tahun.
Jangan risau, ini semua akan hilang ikut masa. Kena ingat setiap bayi berbeza. Enjoylah masa anak nak berkepit dengan kita, tanamkan dalam fikiran yang kita nombor satu dalam carta hati.
Tapi, berdukung/melekat 24 jam ini mungkin akan timbul masalah lain sekiranya bayi kurang “tummy time”, meniarap atau merangkak. Jadi mak ayah kena jugak buat sesuatu, supaya bayi belajar yang kita tak “hilang” pun. Caranya
1. Ajar konsep “bye- bye”.
Bila kita ke mana-mana, cakap “bye, ibu pergi toilet/dapur ni”. Kalau baru-baru memang dia akan menangis, jadi kita pergi sekejap je main cak-cak dengan dia 🤣. Bila dah selalu buat, dia dah faham konsep “bye” baru boleh pergi lama sikit.
2. Kena selalu bercakap dengan bayi walaupun dia tak faham.
Bagitahu nak pergi toilet, nak pergi makan nak kemana-mana kena report bigboss. Nanti lama-lama dia faham, makan dekat dapur, toilet dekat mana dan sebagainya.
3. Kalau pergi mana-mana, bawa mainan yang dia biasa main untuk dia rasa selamat macam rumah. Boleh kurangkan ini bila anak dah boleh sesuaikan diri dengan tempat baru.
Ads
4. Kalau punca berdukung sebab bosan, bagi dia pegang apa-apa barang baru yang selamat. Contoh ke dapur, bagi main senduk, tupperware, bekas bekas yang selamat untuk alihkan perasaan nak berdukung.
5. Untuk yang dah pandai merangkak atau berjalan, selalu main kejar kejar dengan dia. Bila dia datang dekat nak dukung, kita lari sambil gelak-gelak.
6. Cara terakhir, kalau bayi minta dukung tapi kita cakap ada kerja nak buat. Biarkan dia menangis. Jangan pandang langsung, muka senyum relaks je. Lepas dah siap kerja, cakap “ok dah siap” sambil pandang anak.
Masa ini baru boleh pergi ke anak. Semakin lama, boleh cuba makin jarakkan masa pergi pada anak. Lama-lama anak akan percaya yang kita tak abaikan pun dia, cuma ada kerja sekejap.
Yang penting dalam semua diatas adalah emosi kita masa menangani masalah anak nak berdukung. Kena relaks, muka pun tak boleh berkerut kena senyum sahaja masa letak dekat bawah. Jangan ada sikit pun rasa bersalah sebab bayi boleh kesan emosi dan reaksi kita berkerut yang kelam kabut itu.
*Ada yang sedang mengalaminya tak?
Selamat mencuba!
Terima kasih, silakan share sekiranya bermanfaat untuk diri dan orang lain.
Shiera Ijoy menangis dengar ucapan dari anak-anaknya baru-baru ni di rancangan realiti “oh mummy “ di tv3 yang berkisarkan tentang keluarga Sharifah Shahirah (shiera ijoy) dan ijoy dalam membesarkan 5 orang anak yang pelbagai kerenah. Sering melihat Shiera dengan personalitinya yang riuh dan happy-go-lucky tapi bila dia menangis terharu membuatkan warganet tersentuh hati.
“Boleh tak kalau kita luangkan masa lebih banyak bersama berdua? main dalam hujan ke, main bola ke apa..”
“Mama.. thank you for teaching me how to be selfless like you..”
Pelakon dan penyampai radio Sharifah Shahirah, digemari oleh penonton dan warganet kerana walaupun dia seorang ibu yang tegas dalam mendidik anak namun dalam masa yang sama sentiasa menyokong minat dan memahami kehendak anak.
Pasangan selebiriti ini telah mendirikan rumahtangga selama 20 tahun dan membesarkan 5 orang anak iaitu Alisya, Airel, Aira, Aura dan Adeena.
Rata-rata warganet meninggalkan komen pujian kepada pasangan suami isteri ini kerana memaparkan sisi keibubapaan yang baik sehingga dapat membesarkan anak-anak yang terbuka dalam memaparkan emosi, matang dan jujur.
Antara komen-komen yang ditinggalkan oleh warganet:
Semoga keluarga Shiera Ijoy bahagia selalu dan anak-anak dapat membesar dengan baik dan berjaya dunia akhirat. Terima kasih Shiera Ijoy berkongsi realiti sebenar beliau membesarkan 5 orang anak.
Lubuk konten untuk papa dan mama paling lengkap di seeNI. Pa&Ma kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Dengan pelbagai berita kematian kanak-kanak ketika dihantar kepada pengasuh yang dilaporkan media, pastinya timbul kebimbangan di hati ibu bapa yang perlu menghantar anak-anak untuk rumah jagaan ketika mereka perlu bekerja. Antara persoalan yang sering timbul adalah, manakah pilihan yang terbaik, sama ada menghantar anak ke taska atau ke rumah pengasuh? Ikuti artikel ini untuk lebih membantu anda membuat pilihan dan keputusan.
Tip memilih pengasuh
Jika ingin menggunakan khidmat pengasuh, pastikan anda menjalankan semua prosedur penyelidikan dan keselamatan sebelum meninggalkan bayi anda bersamanya. Langkah pertama adalah membiarkan bayi baru lahir dengan pengasuh dalam tempoh tertentu di hadapan anda. Walaupun pengasuh itu mahir dalam penjagaan bayi, sekiranya bayi anda tidak ingin berada di sekelilingnya, jangan sesekali memaksa si manja. Anda perlu memastikan persekitaran kekal tenang dan mesra antara pengasuh dan anak kecil anda.
Ahli keluarga atau saudara-mara
Sekiranya anda bernasib baik dan tinggal berdekatan dengan saudara-mara, ini boleh menjadi pilihan yang terbaik. Walau bagaimanapun, hanya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan anda, tidak semestinya mereka akan menjaga anak anda seperti yang anda mahukan. Tetapi sekurang-kurangnya anda berasa percaya dan yakin kerana mengenali individu yang menjaga anak anda.
Namun, tidak menjadi kesalahan untuk anda menyenaraikan keperluan harian anak anda seperti kuantiti pemberian susu sebagai panduan yang boleh membantu mereka. Malah, senarai ini berguna untuk semua pengasuh bukan hanya untuk saudara-mara sahaja.
Cara kehidupan
Untuk ibu bapa yang beragama Islam, sudah tentu anda mahukan pengasuh anak anda seorang Islam. Ini adalah amat penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaknya.
Memilih pengasuh
Tahu tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak
Ilmu Pendidikan Awal Kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia perlu tahu tentang cara untuk menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh, mengendalikan anak yang menggigit atau menenangkan anak yang sedang menangis.
Lakukan penyelidikan
Tanya ibu bapa, jiran dan rakan sekerja untuk cadangan pengasuh bayi. Ini mungkin cara terbaik jika anda tidak mempunyai saudara yang tinggal berdekatan anda. Kebiasaannya rujukan daripada kenalan atau orang yang berpengalaman untuk mendapatkan perkhidmatan pengasuh daripada individu yang sama boleh membantu anda.
Anak anda selesa
Ini mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Sebagai seorang ibu, anda perlu sentiasa ingat bahawa walaupun anda mungkin mendapat pengasuh yang terbaik, ia bagaimana sekalipun tidak akan dapat menggantikan tempat seorang ibu. Selepas beberapa hari anak anda bersama pengasuhnya, anda mesti dapat mengesan adakah anak anda selesa dan mesra bersama pengasuh ataupun tidak. Jika anak masih tidak mahu dengan pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh yang tidak sesuai dengan si manja.
Rasa gembira
Sebagai ibu bapa, pasti anda akan dapat melihat sekiranya pengasuh anak anda benar-benar gembira menjaga dan mengasuh si kecil anda dan anak anda juga dapat merasakannya. Kasih sayang dan kemesraan akan terserlah ketika mereka bersama-sama.
Lakukan pemeriksaan latar belakang yang diperlukan
Sebaik sahaja mendapati seorang pengasuh yang anda fikir mungkin baik untuk penjagaan bayi anda yang baru lahir, lakukan juga pemeriksaan latar belakang terhadapnya. Anda boleh melakukan temuduga melalui telefon atau tinjauan ke rumah pengasuh berkenaan. Simpan salinan pengenalan diri pengasuh sebagai keperluan rujukan semasa dan akan datang.
Komunikasi
Anda sudah pasti mahu pengasuh menjaga bayi anda sama seperti yang anda lakukan, iaitu dengan cara yang terbaik. Pastikan anda menjaga hubungan anda dengan pengasuh dan ambil masa untuk berbual dengan mereka mengenai anak anda supaya wujud keselesaan antara anda dengan pengasuh. Apabila wujud hubungan komunikasi dua hala yang baik, pengasuh tidak teragak-agak untuk memaklumkan keadaan semasa anak asuhannya kepada ibu bapa.
Menghormati
Seorang pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau akan memaklumkan kepada anda jika terdapat sebarang kemungkinan seperti jika dia perlu bercuti seawal yang mungkin.
Bersih dan selamat
Kebersihan merupakan satu petanda yang baik kepada pengasuh. Sebagaimana anda menghantar anak dalam keadaan yang bersih, seharusnya anda akan mengambil anak anda dalam keadaan yang bersih juga. Dalam soal keselamatan, kemalangan kecil seperti terjatuh atau pergaduhan kecil dengan anak jagaan yang lain pasti akan berlaku dan tidak dapat dielakkan. Tetapi seorang pengasuh yang baik akan sentiasa memastikan keselamatan anak anda menjadi keutamaannya.
Tanda perlu menukar pengasuh
Menyerahkan anak kepada jagaan orang yang baru anda kenali bukanlah suatu yang menggembirakan. Apatah lagi, saban hari media memaparkan lambakan berita tentang kekejaman pengasuh yang mendera bayi dan kanak-kanak. Sudah tentu setiap ibu bapa akan berasa risau akan keselamatan anak mereka.
Bagi memastikan anak anda berada di bawah jagaan pengasuh yang betul, anda mungkin perlu melakukan ‘pengintipan’. Anak anda mungkin berada pada pengasuh yang salah jika:
Dia takut setiap kali anda ingin menghantarnya ke rumah pengasuh. Kanak-kanak akan menangis atau menunjukkan tantrum setiap kali anda ingin menghantar mereka ke sana.
Pengasuh kelihatan berahsia tentang rutin harian anak anda. Sepatutnya, rutin anak di rumah pengasuh bukanlah perkara rahsia untuk ibu. Selepas pulang berkerja, sudah tentu anda ingin tahu apa yang dilalui oleh anak anda di rumah pengasuh. Jika pengasuh anak anda tidak memberitahu anda tentang perkara tersebut, sama ada dia kurang dalam berkomunikasi ataupun ada sesuatu yang dirahsiakannya.
Tugas seorang pengasuh adalah untuk menjaga anak anda, bermakna pengasuh perlu memerhatikan dan memantau keselamatan anak anda sepanjang kanak-kanak berada dalam jagaannya. Jika anak anda banyak kali mengalami kemalangan atau kecederaan di rumah pengasuh, ini adalah sesuatu yang perlu anda awasi.
Pengasuh tidak mengikut permintaan anda. Sudah tentu anda ada cara sendiri untuk mendidik anak anda seperti dari segi pemakanan, tidur dan keselamatan anak. Jika pengasuh bertindak seperti dia yang lebih tahu untuk membesarkan anak anda, jadi ini mungkin alasan untuk anda tukar pengasuh anak.
Anak anda kelihatan tidak terurus dan kotor. Kanak-kanak memang gemar main kotor. Namun, jika setiap kali anda mengambil anak dalam keadaan kotor dengan lampin tidak ditukar, ini mungkin tanda-tanda anda perlu mencari pengasuh lain untuk anak anda.
Anak anda kerap lapar dan letih setiap kali anda mengambilnya balik. Ini mungkin petanda pengasuh tidak mengikut rutin makan dan tidur siang anak anda.
Naluri anda mengatakan ada sesuatu yang tidak kena pada pengasuh. Jika anda mempunyai perasaan yang buruk tentang pengasuh, lebih baik anda ikut naluri anda. Lebih baik jika anda menukar pengasuh anak dan mencari orang yang lebih sesuai untuk menjaga anak anda.
Ciri taska yang baik
Jika anda sebagai ibu bapa memutuskan untuk menghantar anak anda ke taska, pastinya anda perlu mengetahui dan memastikan tentang beberapa perkara sebelum menghantar anak anda. Antaranya adalah:
Berdaftar
Taska yang anda pilih haruslah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini adalah penting untuk memastikan bahawa taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.
Kawasan persekitaran
Perkara lain yang harus menjadi keutamaan pemilihan taska sebelum membuat sebarang keputusan adalah anda harus memastikan kawasan taska dan sekitarnya adalah selamat. Ini adalah faktor yang amat penting. Cuba lihat dan perhatikan kawasan persekitarannya, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Bagaimana pula dengan keadaan jalan, adakah terdapat jalan raya yang berhampiran dengan taska? Apakah ia boleh mengundang bahaya? Itu adalah antara perkara yang harus diambil kira.
Aspek keselamatan
Sekiranya taska yang anda pilih itu merupakan rumah sama ada setingkat atau dua tingkat yang dijadikan premis pusat jagaan, beberapa perkara yang perlu anda lihat adalah; adakah terdapat tangga keselamatan, pintu kecemasan dan juga alat pemadam kebakaran? Ini antara perkara yang sangat penting untuk dititik beratkan. Pihak taska harus mendapatkan kelulusan pihak tertentu bagi menentukan sama ada jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, pihak taska berkenaan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Kebersihan
Selain faktor keselamatan, aspek lain yang harus menjadi keutamaan adalah soal kebersihan. Ini kerana, taska yang bersih adalah memainkan peranan yang penting dalam menjamin tahap kesihatan yang baik untuk anak-anak anda. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) adalah antara penyakit yang mudah menjangkiti dalam kalangan kanak-kanak. Ia mudah merebak dan dijangkiti jika kawasan dan tempat anak-anak anda tinggal tidak berada dalam keadaan baik dan tidak dijaga kebersihannya.
Penyediaan menghantar anak ke taska atau pengasuh
Sekiranya anda sudah mendapat dan memilih taska atau pengasuh untuk anak anda, terdapat satu lagi perkara yang perlu anda lakukan iaitu persediaan untuk menghantar anak anda ke taska atau rumah pengasuh. Terdapat beberapa perkara yang mungkin akan berlaku, seperti anak anda mungkin akan menangis ketakutan sebelum pergi ke taska atau rumah pengasuh. Ia adalah satu perkara normal kerana ia melibatkan pengalaman baru dan perubahan besar kepada si manja, lebih-lebih lagi jika sebelum ini anda menghantarnya kepada pengasuh lain atau anda sendiri yang menjaganya. Adalah penting untuk menjaga emosi dan perasaan anak anda.
Memilih untuk menghantar anak ke taska atau pengasuh adalah cara terbaik untuk menjadikan anak anda lebih berdikari dan belajar bersosial bersama kanak-kanak lain seusianya. Berikut adalah beberapa tip persediaan untuk menghadapi cabaran bagi menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh:
Berbual
Dalam beberapa minggu sebelum anda mula menghantarnya ke taska atau rumah pengasuh, katakan kepada anak anda mengenai kanak-kanak lain yang sebaya dengannya yang pergi ke sekolah, contohnya seperti, kakak ataupun abang yang lebih tua. Atau anda boleh beri contoh individu dewasa yang pergi ke tempat yang berlainan pada waktu pagi.
Contohnya ibu dan ayah yang pergi bekerja, kemudian pulang ke rumah untuk makan malam dan kita semua tidur di rumah yang sama. Inilah juga cara yang sama untuk kanak-kanak pergi ke taska, rumah pengasuh, sekolah atau tadika dan kemudian balik semula ke rumah.
Penjelasan
Sebaiknya berikan penjelasan pada anak anda mengapa mereka perlu pergi taska atau rumah pengasuh. Katakan kepada anak anda bahawa anda dan pasangan, sebagai ibu bapa perlu bekerja untuk mendapatkan wang bagi menampung dan menyara keluarga.
Kemudian, dengan cara yang baik, perjelaskan kepadanya mengapa kanak-kanak perlu pergi ke sekolah, taska atau rumah pengasuh; untuk belajar, berseronok, bermain dan berjumpa dengan rakan-rakan sebaya.
Sekiranya pada hari anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, dan anak anda menangis, ini tidak bermaksud bahawa anak anda tidak faham. Jangan memandang rendah keupayaan anak anda untuk memahami penjelasan yang diberikan oleh ibu bapa. Ini kerana kanak-kanak mempunyai minda dan pemikiran yang aktif dan boleh menyerap apa yang dikatakan oleh ibu bapanya jika bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas serta penggunaan nada yang lembut. Tetapi mereka mungkin menangis disebabkan perkara lain.
Melawat
Jika anda mempunyai kelapangan, adalah sebaiknya anda mengambil peluang untuk membawa anak anda melawat taska atau rumah pengasuhnya. Ini adalah untuk memberikan peluang kepada anak anda melihat dan mencuba untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain. Ini mungkin dapat menarik minat anak anda dan memudahkan anda menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh apabila dia telah mendapat rakan yang baru. Namun sekiranya ia tidak berjaya menarik minat anak anda, malah anak anda mungkin menangis setiap kali anda menghantarnya ke taska dan rumah pengasuh, anda sebagai ibu bapa tidak perlu berasa bimbang. Anak anda pasti akan dapat membiasakan diri selepas beberapa hari ataupun minggu.
Kenali pengasuh
Sebagai ibu bapa, anda tidak harus melepaskan tanggungjawab kepada pengasuh atau penjaga taska sebaik sahaja anda menghantar anak anda. Sebaiknya anda perlu mengambil peluang untuk saling mengenali dengan individu yang akan mengambil tanggungjawab dan peranan menjaga anak anda. Mungkin terdapat perkara yang boleh dibincangkan seperti cara didikan dan keperluan anak anda. Cara terbaik adalah untuk berkongsi dengan penjaga anak anda tentang perangai anak anda di rumah, ia pasti dapat membantu pengasuh atau pihak taska dalam menjaga anak anda.
Yang mana lebih baik?
Sebenarnya, apa yang boleh disimpulkan, keputusan sama ada untuk menghantar anak ke taska atau rumah pengasuh, kedua-duanya tidak mendatangkan sebarang masalah sekiranya anda dapat menghantar anak-anak anda ke rumah pengasuh atau taska yang boleh dipercayai. Namun, mungkin sebaiknya, bagi anda yang mempunyai anak kecil atau bayi, sebagai permulaan, anda boleh menghantarnya ke rumah pengasuh yang berdaftar dan hanya mempunyai anak jagaan dalam jumlah yang kecil. Ini membolehkan anak kecil atau bayi anda mendapat perhatian dan jagaan yang lebih baik, berbanding menghantarnya ke taska yang kebiasaannya mempunyai bilangan anak jagaan yang lebih ramai.
Namun, apabila anak anda sudah boleh berjalan, berdikari seperti makan dan minum sendiri, sekitar usia 3 tahun dan ke atas, anda mungkin boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan atau taska. Ini kerana apabila menghantar anak anda ke taska, ia sekali gus membolehkan anak anda untuk belajar bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak yang seusia dengannya. Walau bagaimanapun, pastikan taska yang anda pilih itu telah berdaftar untuk aspek keselamatan.
Jadi walau apa pun keputusan yang anda dan pasangan ambil, sama ada memilih taska ataupun menghantarnya ke rumah pengasuh, pastikan anda tetap mengambil kira tentang faktor dan aspek penting seperti yang dinyatakan di atas.
Setiap kali berjalan naik kereta, bas atau apa sahaja kenderaan, mesti si kecil akan alami mabuk kereta. Tentu susah hati mommies untuk merancang sebarang percutian keluarga sebab si kecil ada masalah mabuk perjalanan.
Mabuk perjalanan, normal untuk kanak-kanak
Mesti ada yang tertanya-tanya, apakah yang dimaksudkan dengan mabuk perjalanan, bukan?
Umumnya mabuk yang dialami adalah satu perkara biasa dan bukanlah didasari oleh sebarang masalah kesihatan.
Mabuk perjalanan atau motion sickness adalah satu tindak balas normal yang berlaku disebabkan pergerakan yang luar biasa tinggi dan mengambil tempoh masa yang lama. Keadaan ini juga adakalanya dipanggil sebagai mabuk kereta atau mabuk laut.
Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanya mengira peringkat usia, bahkan si kecil juga mungkin cenderung untuk mengalaminya. Walau bagaimanapun, masalah mabuk kereta kurang berlaku kepada bayi.
Berbeza pula untuk golongan kanak-kanak berusia 2 hingga 12 tahun, mereka adalah lebih terdedah untuk mengalaminya.
Tetapi bagaimana mabuk kereta boleh berlaku?
Percampuran maklumat
Mabuk perjalanan yang melibatkan mabuk kereta atau mabuk laut berlaku apabila otak menerima maklumat bertentangan daripada telinga, mata dan saraf dalam sendi dan otot.
Sebagai contoh, bayangkan anak sedang duduk di dalam kerusi keselamatn kanak-kanak di tempat duduk belakang kenderaan. Si manja anda tidak dapat melihat keadaan di luar tingkap atau anak anda sedang leka membaca buku.
Ketika itu, bahagian telinga dalaman mereka mengesan pergerakan, tetapi tidak pada mata mahupun badan. Situasi tersebut boleh menyebabkan ketidakselesaan pada perut, terhasilnya peluh sejuk, kelesuan, hilang selera makan atau muntah.
Faktor lain yang boleh menyumbang kepada keadaan mabuk kereta atau mabuk laut turut bergantung kepada keadaan lain seperti laluan yang anda ambil, jarak perjalanan dan juga kedudukan anak anda ketika perjalanan berlaku.
Antara punca klasik motion sickness adalah:
kerap menukar laluan
memandu laju
melalui jalan raya berliku-liku seperti lereng bukit
memandu dalam keadaan lalu lintas yang sesak dengan terlalu banyak lampu isyarat
Tip atasi mabuk perjalanan
Apabila mengetahui kesayangan anda mengalami mabuk kereta, pastinya anda cuba mengelak daripada membawanya menaiki kereta, bukan? Sudah tentu agak menyedihkan.
Tetapi jangan risau, ada 5 tip yang boleh anda cuba untuk membantu mengurangkan masalah yang dihadapi si manja.
Menukar kedudukan
Jika sebelum ini kedudukan kerusi kesealamatn anak anda mungkin berada di belakang kerusi penumpang atau pemandu, anda boleh cuba mengubah posisi kerusi tersebut bagi mengurangkan mabuk kereta.
Penolong Profesor Perubatan Dalaman dan Pediatrik di Le Bonheur Children’s Hospital, di Memphis, Amerika Syarikat, Dr. Elisha McCoy mencadangkan untuk meletakkan kerusi keselamatan kanak-kanak pada bahagian tengah kerusi penumpang belakang.
Ia membolehkan anak untuk dapat melihat pandangan luar cermin hadapan. Pastikan si kecil menyandarkan kepala ke bahagian penyandar kepala. Manakala jika si kecil mengalami mabuk laut ketika perjalanan atas kapal atau feri, minta anak untuk memfokuskan pandangannya terus ke hadapan.
Apa yang boleh dibuat sewaktu perjalanan
Masalah mabuk perjalanan yang dialami si anak mungkin tidak akan berlaku jika mereka dapat tidur sepanjang perjalanan. Ia adalah kerana isyarat visual tidak dihantar ke otak apabila dia melelapkan mata.
Jadi antara cara yang boleh membantu untuk mengurangkan mabuk pada si kecil adalah dengan mengatur waktu perjalanan. Sebaiknya, aturkan perjalanan pada waktu tidur anak anda.
Anda boleh memilih memulakan perjalanan pada waktu malam atau pun pada awal pagi. Secara tidak langsung kedua-dua tempoh perjalanan ini dapat membantu anda mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Tidak perlu makan
Mesti ada di antara mommies yang terfikir kalau tidak memberi si manja makan, pastinya dia tidak akan muntah. Namun ia ada 1 tanggapan yang SALAH sama sekali.
“Tidak makan akan membuatkan perut anak anda lebih terdedah kepada irama yang tidak normal yang dikaitkan dengan mual.” – Pakar Psikologi daripada Siena College, di Loudonville, New York, Profesor Max Levine
Anda tidak perlu mengisi perut si kecil dengan makanan yang terlalu berat sehingga dia kenyang. Tetapi sekurang-kurangnya berikan makanan mudah dihadam dan snek sihat seperti roti disapu dengan krim coklat atau sandwic.
Pastikan juga si manja minum air dengan secukupnya bagi mengelakkan dehidrasi yang boleh meningkatkan rasa loya.
Menghindari gajet
Tidak dinafikan penggunaan gajrt sememangnya dapat membantu mengurangkan kebosanan si manja, terutama ketika perjalanan jauh. Namun menurut pakar, No-No-No!
Ini kerana imej daripada filem, permainan video atau animasi – biasanya melibatkan grafik yang bergerak laju – akan menyebabkan wujudnya rangsangan visual berlebihan yang boleh mengelirukan persepsi pergerakan anak dan menyebabkan berlakunya simptom mabuk.
Manakala membaca pula boleh menyebabkan kecelaruan pada deria anak. Ini kerana mata anak ditetapkan pada buku, manakala telinga mengesan pergerakan. Jadi mungkin untuk menghilangkan kebosanan, biarkan anak mendengar sebarang audio kegemarannya.
Perhatikan simptom
Jika anda melihat anak mula berasa mabuk, cadangkan kepadanya untuk melihat ke luar tingkap. Tindakan ini dipercayai dapat mengurangkan rasa mabuk tersebut.
Namun, andai keadaannya semakin teruk, dicadangkan untuk anda memberhentikan perjalanan seketika sehingga simptomnya beransur hilang. Berikan peluang kepada anak anda untuk berehat.
Sentiasa ambil peduli tentang mabuk perjalanan
Mabuk perjalanan mungkin bukan satu masalah yang serius sehingga boleh menjejaskan keadaan kesihatan seseorang individu.
Namun mengalami masalah mabuk pastinya akan mengganggu dan merosakkan mood individu, terutamanya si kecil.
Sumber: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Seorang guru di laman Facebook meluahkan rasa kecewanya apabila masalah murid sekarang yang bersikap malas di sekolah malah semakin menjadi-jadi dan membimbangkan.