Selepas setahun melahirkan anak sulung melalui pembedahan caesarean, pasti ada yang bercadang mahu hamil lagi. Tetapi, bilakah perancangan untuk hamil semula boleh dilakukan bagi mengelakkan sebarang risiko berkaitan pembedahan caesarean terdahulu?
Di abad yang lalu, secara amnya pesakit dinasihatkan supaya rehat dan tidak hamil selama dua tahun selepas melalui pembedahan caesarean. Namun, terdapat kajian ke atas luka pembedahan caesarean yang melaporkan, luka tersebut sembuh dengan baik selepas enam bulan. Kajian juga menunjukkan, ramai wanita boleh hamil semula dengan selamat selepas itu.
Selepas satu pembedahan caesarean, risiko luka terbuka adalah rendah, di antara 0.2% hingga 1%. Anda dinasihatkan supaya berbincang dengan doktor yang melahirkan anak sulung. Beliaulah doktor yang terbaik untuk memberi nasihat mengenai keselamatan bersalin secara normal bagi kehamilan kedua.
Ada juga kes di mana pembedahan pertama dilakukan akibat pesakit gagal melahirkan bayi kerana masalah cephalo-pelvic disproportion (CPD). Di sini, tulang pelvis ibu adalah kecil atau sempit, sehinggakan kepala janin dalam kandungan gagal melalui kelahiran normal. Kebanyakan pesakit CPD dinasihatkan untuk melahirkan bayi seterusnya melalui pembedahan caesarean juga. Walau bagaimanapun, pesakit masih boleh mencuba untuk melahirkan secara normal. Sebelum mencuba, doktor akan menasihati pesakit mengenai risiko-risiko dalam kes sebegini.
Pesakit yang ingin cuba bersalin secara normal selepas pembedahan caesarean, sebaik-baiknya dipantau di hospital. Pesakit juga akan diberi nasihat apakah cara yang sesuai serta risiko-risikonya bagi mengurangkan sakit ketika bersalin nanti. Misalnya, epidural merupakan cara efektif untuk mengurangkan sakit ketika bersalin. Tetapi, ia akan menyebabkan rasa kebas atau tidak ada rasa apa-apa di bahagian parut pembedahan yang sebelumnya. Ini menyukarkan doktor untuk memeriksa kerana tidak akan ada rasa sakit walaupun parut pembedahan caesarean terbuka!
Jika parut caesarean di rahim merupakan pembedahan klasik, risiko luka terbuka adalah lebih tinggi dan pesakit dinasihatkan supaya menjalani kelahiran secara pembedahan jika hamil sekali lagi. Oleh itu, eloklah dapatkan nasihat daripada doktor yang melakukan pembedahan untuk kelahiran anak sulung dalam hal ini.
Keadaan suami isteri sebelum hamil sekali lagi adalah topik yang lebih rumit untuk dibincangkan. Suami dan isteri hendaklah bersedia kerana bayi kedua dan seterusnya bererti ibu bapa berhadapan dengan beban kewangan, masa yang padat dengan aktiviti menjaga anak dan bayi, tidak ada masa untuk berdua apatah lagi masa untuk diri sendiri.
Walau bagaimanapun, jika berusia 30 tahun ke atas, adalah ideal untuk cuba hamil selepas setahun berehat. Tetapi jika masih dalam usia yang lebih muda, ada pilihan untuk berehat setahun lagi.