Ibu pertama kali hamil pasti tertanya-tanya apakah ada cara untuk membantu diri melancarkan proses bersalin. Rata-rata yang tiada pengalaman, pasti rasa gusar dengan kesakitan kontraksi yang bakal ditanggung sebelum berjaya melahirkan bayi.
Sememangnya ada cara yang boleh mempermudahkan proses bersalin. Namun anda perlu ingat bahawa setiap proses kelahiran adalah berbeza antara satu sama lain walaupun anak-anak itu datang daripada ibu yang sama.
Telur ayam kampung
Telur ayam kampung sememangnya sinonim sebagai makanan yang membantu dalam pemulihan tenaga. Jika mengikut pesanan orang tua-tua, telur ayam kampung yang diambil bersama minuman coklat sangat membantu semasa proses bersalin. Hal ini terutamanya semasa anda meneran.
Mengikut petua, anda perlu ambil sebutir telur ayam kampung mentah dan pecahkan ia ke dalam secawan minuman coklat panas. Kacau dan kemudiannya minum sebaik mendapat tanda-tanda awal bersalin.
Selain daripada itu, anda juga digalakkan untuk mengamalkan makan telur ayam kampung separuh masak sepanjang tempoh kehamilan bagi membantu diri kekal bertenaga.
Kurma
Makanan sememangnya kaya dengan pelbagai khasiat dan baik diamalkan sepanjang usia kehamilan. Ia juga adalah sejenis buah boleh membekalkan tenaga segera. Pakar perubatan pun yakin dengan manfaat amalan pemakanan kurma di kalangan ibu hamil kerana ia dapat memudahkan proses bersalin dan mengurangkan pengaliran darah semasa bersalin. Malah ia juga dapat mempercepatkan proses pengecutan rahim.
Oleh itu, bawa bekal beberapa biji buah kurma ke dalam bilik bersalin dan jadikan ia sebagai makanan pembekal tenaga sebelum anda memasuki fasa akhir kelahiran.
Minyak kelapa dara
Pengambilan minyak kelapa dara atau lebih dikenali sebagai VCO (virgin coconut oil) sepanjang kehamilan dipercayai berupaya memberi kesan yang positif. Ia sememangnya sering digunakan untuk membantu proses bersalin.
Ia boleh diminum atau diambil dalam bentuk kapsul. Malah ada di kalangan wanita hamil yang mengambil langkah dengan menyapu minyak kelapa dara di bahagian perineum dengan tujuan mahu mengelakkan risiko koyakan semasa bersalin.
Bendi
Sayur yang mempunyai lendir ini dipercayai boleh membantu dalam proses bersalin. Malah ia juga boleh menjadi penawar kepada masalah sembelit, diabetis dan jaundis. Bendi boleh dimakan dalam pelbagai cara termasuklah sebagai ulam rebus, dimasukkan ke dalam masakan berkuah atau ditumis sebagai hidangan sayur.
Bagi anda yang mungkin mengalami masalah buasir semasa hamil, sangat digalakkan untuk mengamalkan pengambilan bendi supaya tiada masalah yang timbul semasa bersalin nanti.
Air kelapa
Sebaik sahaja usia kandungan masuk tujuh bulan, banyakkan minum air kelapa agar bayi mudah dilahirkan. Pengambilan air kelapa sepanjang tempoh kehamilan baik kerana dapat membantu menjaga kesihatan anda dan bayi dalam kandungan.