Nak Rangsang Kepintaran Anak Bukan Tahu Membaca Aje Tetapi Biarkan Anak-Anak Melukis Dan Mewarna. Ini Sebabnya Ibu Ayah Mesti Tahu

Share

Jika anak itu, tidak minat membaca lagi, ibu ayah boleh rangsang kepintaran anak dengan cara melukis dan mewarna. Secara rawak ramai ibu bapa risau jika anak tidak tahu membaca dan menulis. Betulkan? Memang betul anak-anak perlu tahu semua ini sebelum melangkah ke sekolah rendah. Namun harus diingat anak-anak perkembangan setiap anak berbeza-beza. Jika anak itu, tidak minat membaca lagi, ibu ayah boleh rangsang kepintaran anak dengan cara melukis dan mewarna.

Ya betul! Hampir kebanyakan kanak-kanak suka melukis dan mewarna. Banyak kebaikan mewarna kepada kanak-kanak. Apabila kanak-kanak melukis, mereka belajar cara berkomunikasi menggunakan simbol. Kereta yang dilukis oleh anak kecil mungkin tidak menyerupai kereta sebenar jika dilihat dari sudut pandangan orang dewasa, tetapi sebenarnya mereka belajar cara berkomunikasi idea dan perasaannya.

Melakar dan mewarna halaman kertas  yang dilakukan oleh kanak-kanak melibatkan aktiviti penyelesaian masalah. Menerusi lakaran dapat membantu kanak-kanak menjadi lebih peka terhadap persekitaran fizikal. Mereka belajar tentang bentuk, saiz dan warna.

Ingat kanak-kanak melukis berdasarkan apa yang dilihat menerusi pemikirannya bukan berdasarkan pemerhatian tentang persekitarnya. Kanak-kanak tidak menitik beratkan sesuatu yang dilihatnya. Kanak-kanak kecil keupayaannya tidak sama seperti mana kanak-kanak yang lebih berusia atau orang dewasa melukis tentang sesuatu untuk kelihatan menyerupai objek sebenar.

Ibu bapa dan orang dewasa perlu memahami peringkat perkembangan lukisan kanak-kanak. Menerusi kefahaman tahap perkembangan kanak-kanak melukis dan melakar kita tidak akan merasa atau menilai lukisan atau lakaran yang dihasilkan itu tidak memberi makna atau keindahan. Sebaliknya kita akan memahami perkembangan anak dan maklumat yang ingin disampaikan menerusi idea spontan.

Lakaran Lukisan Mengikut Tahap Umur

Setiap apa yang anak-anak lukis itu ada maknanya mengikut tahap usianya. Bagi peringkat pertama semasa kanak-kanak berumur 2 hingga 3 tahun lakaran atau lukisan lebih kepada lakaran rawak yang merupakan tanda awal kanak-kanak secara universal. Tanpa mengira bangsa, budaya dan kelas kehidupan semua kanak-kanak melalui tahap lakaran rawak. Mereka mencuba menggunakan pelbagai alat untuk melakar dan meninggalkan kesan tanda pada kertas. Pada perkingkat ini kanak-kanak merasa seronok meneroka dan membuat penemuan. Jangka masa peringkat ini bergantung kepada galakkan dan dorongan orang dewasa, kesihatan kanak-kanak, pertumbuhan otot, koordinasi, intelegen dan kuantiti dan kekerapan peluang untuk melakukan lakaran rawak.

Peringkat kedua usia kanak-kanak antara 2 tahun hingga 4 tahun peringkat ini dikenali sebagai kawalan rawak yang lebih signifikan kepada bentuk-bentuk geometrik seperti bulat, bujur, empat segi, tiga segi dan palang pada lukisan kanak-kanak. Kanak-kanak dapat berupaya untuk mengawal otot dan mula untuk mencuba mengatur persekitarannya. Garisan beralun dan berombak dengan jalinan pelbagai corak bulat dihasilkan oleh kanak-kanak.

Pada peringkat ketiga usia kanak-kanak antara 3 tahun hingga 5 tahun, apabila kanak-kanak sudah mula mengenali objek, mereka melukis mengikut nama objek. Walau pun lakaran objek itu tidak dapat dikenalpasti oleh orang dewasa, hasil lakaran itu lebih kepada tingkah laku untuk menamakan objek yang mempunyai signifikan. Pada kanak-kanak objek yang mereka lukis mudah dikenalpasti.

Mesti Tahu

Sekiranya kanak-kanak berusia 5 tahun masih lagi di peringkat lakaran bukan bermakna lambat pembelajarannya atau kesan ketidakupayaan belajar. Mereka perlu menguasai kawalan otot untuk menghasilkan lakaran.

Peringkat simbol atau gambaran apabila kanak-kanak mengikut usia 5 tahun hingga 7 tahun. Pada peringkat ini kanak-kanak sudah mula menyedari pemikiran boleh dinyatakan menerusi perlambangan. Oleh itu, mereka akan melukis apa yang dirasa, bukan tentang perkara yang sebenarnya.

Contohnya jika kanak-kanak tadika disuruh melukis kucing. Kucing yang dilukis mungkin lebih besar daripada kanak-kanak sebab kucing itu lebih penting dalam kehidupannya. Kemungkinan juga kanak-kanak akan melukis kucing berwarna merah kerana merah adalah warna kegemarannya.

Ibu bapa perlu sedar bahawa setiap kanak-kanak perkembangan lukisannya adalah berbeza dan tidak sama sebagaimana perkembangan yang lain. Oleh yang demikian jangan mengabaikan lakaran kanak-kanak kerana peringkat ini adalah situasi penting sebagai sebahagian proses pembelajaran.

 

 

 

Published by
Nor Yusoff