Apabila anak kecil mengalami demam, sudah pasti doktor akan membekalkan ubat untuk membantu mengurangkan jangkitan dan menurunkan suhu badannya. Masalah timbul apabila ada segelintir si kecil yang berasa takut setiap kali syringe atau sudu ubat disuakan ke mulutnya.
Adakah anda salah seorang yang mengalami masalah yang sama? Pasti timbul tekanan melayan karenah anak yang sedemikian rupa, bukan? Di sini dikongsikan beberapa panduan yang boleh anda guna pakai dalam usaha memberi anak makan ubat agar dia lekas sembuh dan kembali aktif seperti sedia kala.
1.Tembak ubat ke arah pipi menggunakan picagari
Tip ini sering dipraktikkan oleh jururawat di wad pediatrik. Dengan menggunakan cara sebegini, anak anda tetap mempunyai kemungkinan untuk memuntahkan kembali ubat yang masuk ke dalam mulutnya. Namun, amaun yang masuk ke dalam tekak adalah lebih banyak daripada yang dikeluarkan.
2. Beri ubat berperisa
Jika boleh, berikan ubat yang didatangkan dalam perisa yang digemari oleh anak. Jika anak suka rasa strawberi, dapatkan ubat yang berperisa buah itu dan beri dia makan. Cara ini sedikit sebanyak boleh membantu.
3. Puji selepas makan ubat
Apabila anak sukar makan ubat, jangan sesekali ucapkan kata-kata marah kepadanya. Tambahan lagi jika ketika itu dia baru sahaja memuntahkan ubat yang diberi.
Walaupun amaun ubat yang masuk ke dalam tekaknya mungkin sedikit, berikan pujian. Ia perlu kerana dia berjaya makan ubat walaupun tidak sepenuhnya. Selain itu, peluk dan ciumlah dia.
4. Jangan campur ubat ke dalam susu
Ini adalah satu kesilapan besar. Bimbang rasa pahit ubat yang dirasainya semasa minum susu menyebabkan dia menolak susu di kemudian hari walaupun di dalamnya tidak lagi mengandungi ubat.
5. Main doktor olok-olok
Jangan jadikan profesion kedoktoran yang bergelumang dengan jarum suntikan, hospital dan darah untuk menakutkan anak terhadap sesuatu perkara. Sebaliknya, jadikan doktor sebagai watak baik yang boleh membantu anak makan ubat dengan lancar.
Cara paling mudah ialah lakukan permainan doktor olok-olok bersama anak. Gunakan picagari kosong dan alat permainan doktor milik anak yang lainnya. Selitkan nasihat kepada anak bahawa dengan makan ubat, ia dapat membantu dia kembali sihat.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI