Proses untuk sendawakan bayi selepas menyusu sememangnya penting. Tidak kira pada bayi masih kecil ketika usia lima bulan ke bawah atau juga kurang daripada usia setahun, kedua-duanya harus disendawakan dengan sebaiknya.
Menurut Kaunselor Penyusuan, Puan Einn Fazrin Mohd Hairi, ibu wajib untuk sendawakan bayi sejurus selepas proses penyusuan samada menyusu dengan botol mahupun menyusu secara terus dari ibu, terutama bagi bayi seawal umur 3 bulan ke bawah.
American Academy of Paediatrics ( AAP ) juga mengesyorkan agar ibu berusaha untuk cuba sendawakan bayi setiap kali selepas menyusu walaupun bayi nampak tenang dan tidak meragam. Hal ini disebabkan kita tidak tahu berapa banyak udara yang terperangkap di dalam perut bayi.
Pun begitu, rata-rata bagi bayi yang sudah sedikit dewasa, tidak perlu lagi untuk disendawakan malah mereka boleh sendawa dengan sendirinya tanpa bantuan ibu.
Bila Bayi Perlu Disendawakan?
Antara tanda bayi perlu disendawakan adalah apabila bayi kelihatan meragam lepas menyusu malah rasa gelisah dan tidak selesa. Hal ini disebabkan udara yang turut sama tertelan dan masuk ketika menyusu. Ini akan menyebabkan bayi terasa penuh (gassy) dan tidak selesa.
3 Posisi Sendawakan Bayi
Berikut adalah antara posisi yang sesuai dan selalu diguna pakai untuk sendawakan bayi pada usia satu tahun ke bawah.
1) Posisi Dukung Bahu
Dukung bayi sebelah tangan dan letakkan kepala bayi pada bahu ibu atau ayah. Tepuk dan gosok belakang badan bayi perlahan-lahan dengan sebelah tangan lagi sehingga bayi sendawa. Posisi ini boleh dilakukan secara berdiri ataupun duduk.
Boleh juga dukung bayi dengan posisi ini sambil ibu atau ayah berjalan perlahan sekitar rumah. Bayi mungkin akan jeluak atau termuntah susu. Jadi jangan lupa alas bahu dengan kain atau lampin.
2) Posisi Duduk
Dudukkan bayi pada salah satu paha ibu atau ayah dengan membongkokkan sedikit badan bayi. Tahan seluruh dada bayi dengan tapak tangan. Namun hati-hati kerana ini mungkin membuatkan bayi termuntah jika tersalah tekan atau pegang. Gosok dan tepuk belakang badan bayi perlahan-lahan sehingga bayi sendawa.
3) Posisi Meniarap
Letakkan kain atau napkin sebagai alas di paha ibu ayah terlebih dahulu. Kemudian posisikan bayi di atas peha ibu atau ayah secara meniarap. Pastikan kedudukan kepala bayi sedikit tinggi dari badan dengan bahagian muka bayi menghadap lantai. Gosok dan tepukkan bahagian belakang bayi perlahan sehingga bayi sendawa.
Namun tidaklah menjadi masalah sekiranya bayi yang menyusu terus dari payudara ibu mendapat lekapan yang sempurna untuk tidak disendawakan.
Jika bayi mengambil masa yang lama untuk disendawakan, ibu atau ayah boleh mengiringkan bayi bagi mengelakkan sekiranya bayi termuntah susu atau terjeluak masuk ke hidung dan telinga.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI