Kebanyakan ibu bapa dan guru yang selalu mengeluh kerana anak-anak kecil sukar untuk memberi fokus kepada apa yang sedang dilakukan. Daya fokus kanak kanak sebenarnya adalah agak singkat iaitu antara 10 hingga 15 minit sahaja.
Jadi sebagai ibubapa atau pendidik, jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi pada anak anak kecil untuk memberi fokus atau perhatian pada sesuatu aktiviti yang sedang dijalankan. Bagaimanapun daya fokus ini boleh dirangsang atau dipupuk supaya ia berlaku lebih lama dari biasa.
Menurut pakar psikologi klinikal, Dr Jamie Howard memberi tumpuan atau fokus seumpama otot yang memerlukan senaman untuk menguatkannya. Berikut adalah Antara perkara perkara yang boleh dilakukan oleh ibubapa atau pendidik bagi merangsang atau meningkatkan daya fokus kanak-kanak yang dikongsi oleh Pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Mahani Razali.
Artikel Menarik: [Ciuman Mak Ayah Buat Anak Mudah Dengar Kata. Jika Setiap Hari, Lagi Hebat Auranya]
Kebanyakan kanak-kanak boleh fokus pada aktiviti yang seronok dan gembira. Apabila tiba aktiviti yang membosankan, kanak-kanak berasa kurang berminat dan mereka akan hilang fokus. Sebagai ibubapa dan guru pastikan aktiviti yang dilakukan adalah aktiviti yang menyeronokkan dan menarik minat kanak kanak.
Bagi memastikan aktiviti tersebut adalah menyeronokkan, ibubapa dan pendidik boleh berbincang dengan kanak-kanak apakah jenis aktiviti yang akan dilakukan. Minta pendapat kanak kanak juga dalam menyediakan bahan dan perancangan aktiviti.
-Pastikan aktiviti tersebut dilakukan dalam suasana yang kondusif atau selesa serta wujud perasaan selamat pada kanak-kanak.
– Pastikan ruang tempat melakukan aktiviti adalah bersih selesa dan pada suhu yang bersesuaian. Ruang yang panas akan menyebakan kanak-kanak cepat hilang fokus.
-Berikan arahan dengan menggunakan ayat-ayat yang mesra dan bukan berbentuk ugutan. Selain dari itu sentiasa memberi masa kepada kanak kanak untuk menyiapkan sesuatu aktiviti.
Kanak-kanak belajar melalui sensori atau pancaindera. Dalam merangcang sesuatu aktiviti pembelajaran, pastikan aktiviti tersebut melibatkan penggunaan pancaindera kanak-kanak seperti mata, telinga, deria sentuh dan juga rasa. Penggunaan deria mampu meningkatkan daya fokus atau tumpuan kanak-kanak.
Ibu bapa dan guru juga boleh membantu kanak-kanak memberikan fokus dengan menyebut ganjaran yang bakal diperolehi apabila mereka menyiapkan sesuatu kerja atau aktiviti. Berikan pelbagai bentuk ganjaran seperti pujian, dapat menonton video kegemaran, dapat membaca buku cerita yang disukai, dapat melukis dan sebagainya. Pemberi ganjaran dapat membantu merangsang kanak kanak memberikan tumpuan kepada aktiviti yang sedang dilakukannya.
Selain dari itu pastikan tahap kesihatan kanak-kanak adalah baik sebelum memulakan sesuatu aktiviti. Kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan biasa akan lesu dan hilang fokus. Pastikan juga kanak-kanak bebas dari tekanan dan sekiranya kanak-kanak tersebut mempunyai tanda-tanda mengalami tekanan, pastikan masalah tekanan tersebut di atasi terlebih dahulu sebelum mengajak dia melakukan aktiviti pembelajaran.
Kanak-kanak juga akan cepat hilang fokus jika berada dalam keadaan lapar atau dahaga. Pastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selesa fizikal, sosial, emosi dan kognitif sebelum memulakan sesuatu aktiviti pembelajaran.
Artikel Menarik: [Usia 5 Tahun Pertama Selalu Dibiarkan Menangis & Sedih, Otak Anak Kurang Cerdas]
Apabila melakukan aktiviti dengan kanak-kanak, pasti jarak antara ibu bapa atau pendidik dengan kanak-kanak tidak terlalu jauh. Jarak yang agak jauh menyebabkan kanak kanak mudah hilang fokus. Sebaliknya jarak yang dekat akan membuatkan anak merasakan dirinya diperhatikan atau diambil peduli dan menyebabkan dia terangsang untuk lebih memberikan perhatian atau fokus.
Sentiasa menyebut nama kanak kanak dan sentiasa menarik perhatiannya dengan bertanyakan soalan-soalan yang berkaitan dengan aktiviti yang sedang dijalankan juga dapat membantu meningkatkan daya fokus kanak-kanak. Melalui cara ini kanak-kanak akan merasakan dirinya sentiasa diberi perhatian dan di sayangi dan secara tidak langsung memotivasikan dirinya untuk lebih memberikan tumpuan.