Amalan penyusuan susu ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, ia tidak juga susah! Asalkan anda tahu teknik yang betul, amalan ini dapat dilaksanakan dengan tenang dan dan lancar.
Artikel Menarik: [Nak Ajar Anak Mewarna Dan Tarik Minat Ada Caranya, Perlu Tepat Pilih Pensil Warna]
Bagi anda yang berazam mahu menyusukan bayi dengan susu ibu sehingga umurnya dua tahun, berikut adalah panduan penting yang perlu diambil peduli. Kalau nak berjaya lengkapkan penyusuan susu ibu, tip ini anda kena buat ya.
Sepanjang tempoh dua tahun ini, pasti akan ada cabaran-cabaran yang perlu ditempuh sehingga boleh menyebabkan anda jadi putus asa. Sistem sokongan di sekeliling anda banyak mempengaruhi kejayaan penyusuan susu ibu. Diri anda sendiri perlu siap secukupnya daripada sudut mental dan fizikal. Oleh itu, kena ada tekad dan kekalkan semangat.
Anda dan suami perlu merancang dari awal. Sejak sebelum kelahiran bayi. Tanamkan niat hanya mahu susukan bayi dengan susu ibu sebaik sahaja dia dilahirkan dan diteruskan sehingga umurnya dua tahun.
Kalau sudah pasang niat tetapi tidak tahu cara-caranya, susah juga. Jadi, anda perlu cari dan tambah ilmu tentang penyusuan susu ibu. Baca artikel-artikel di internet, rujuk di blog-blog ibu menyusu, tanya kawan-kawan dan sertai forum penyusuan susu ibu.
Buku dan majalah yang mempunyai informasi tentang penyusuan susu ibu pun perlu dibaca. Bila ada ilmu, sudah pasti anda lebih faham dan yakin apabila berdepan dengan apa-papa pun masalah yang berkaitan.
Apabila tekad menyusukan bayi dengan susu ibu, jangan malu untuk berkongsi niat kepada suami, keluarga dan orang terdekat. Sokongan mereka penting!
Mungkin ada di antara mereka yang tidak begitu memahami tentang konsep penyusuan susu ibu. Tidak mengapa. Anda perlu teguh dengan pendirian dan ilmu yang telah anda kumpulkan. Dalam masa sama, kongsi ilmu yang ada pada anda.
Antara kelengkapan penting yang perlu ada apabila mahu menyusukan bayi ialah pam payudara, pad payudara, bantal menyusu, coli menyusu dan macam-macam lagi.
Artikel Menarik: [Ada Cara Nak Marah Anak. Jangan Asyik Pukul, Takut Anak Dendam Dalam Diam]
Apabila kelengkapan ini ada, proses penyusuan akan jadi lebih selesa dan mudah. Barulah seronok menyusukan anak. Walaupun begitu, tidak perlu membazir wang membeli yang bukan-bukan. Utamakan keperluan asas terlebih dahulu.
Semasa mengandung, sentiasalah berdoa semoga Tuhan permudahkan urusan mennyusukan anak. Bagi Muslim, boleh amalkan zikir Ya Matin. Caranya ambil segelas air dan baca Bismillah sama ada tiga, sepuluh atau 100 kali. Kemudian baca zikir Ya Matin 70 kali. Akhiri dengan selawat. Minum air itu dengan niat mahu menyusukan anak.
Selain daripada itu, amalkan juga surah Al-Hujurat. Ia adalah ikhtiar memperbanyakkan susu ibu.
Ibu menyusu perlu menjaga kesihatan fizikal. Jika tidak sihat mahupun badan penat, proses penyusuan akan jadi mencabar. Untuk itu, jaga pemakanan, rehat secukupnya, selalu rasa gembira dan bersikap positif.
Pastikan setiap kali waktu makan mesti ada buah, sayur, protein, karbohidrat dan air yang mencukupi. Ada baiknya, anda kurangkan ataupun elakkan makanan proses dan tidak berkhasiat.
Setiap hari, anda digalakkan untuk minum lebih kurang tiga liter air di samping mengamalkan makanan yang boleh menggalakkan penghasilan susu ibu.
Tertekan itu perkara biasa. Namun, penting untuk anda mengurus tekanan yang dialami. Jangan terlalu ikutkan hati. Ia boleh ganggu penghasilan susu ibu. Ada baiknya anda bertenang setiap kali berdepan masalah atau apa-apa jua jenis tekanan.