Berkahwin, mempunyai anak dan membina keluarga bahagia semuanya impian setiap pasangan yang berkahwin. Namun demikian dalam bab perancangan keluarga juga, ia penting mendapat persetujuan bersama.
Ini untuk memastikan suami atau isteri sentiasa rasa berlapang dada dalam menjalani kehidupan bersama. Termasuklah merancang bilangan anak. Memang rezeki anak Allah yang tentukan, tapi jika kedua-dua bersetuju dan mampu untuk berikan yang terbaik tak mengapa.
Andai kata ekonomi keluarga pun sederhana dan suami fikirkan kesihatan isteri mintalah pendapat bersama. Ini untuk pastikan amanah yang diberikan Allah dijaga dan diberi pendidikan sebaiknya dunia akhirat.
Seperti perkongsian Nurul Hasna’ Hazni, bab kehamilan seharusnya memerlukan persetujuan suami isteri. Ini untuk memudahkan pasangan itu sendiri.
1 Januari lepas, ketika sedang mengalihkan perancangan-perancangan yang tertangguh dan yang masih perlu berlangsung untuk dibawa ke tahun baru, saya tersengih melihat perancangan di bulan Oktober 2020.
Sungguh jelas dan berwawasan perancangannya. Haha.
Walaupun Allah izin, kehamilan bermula lebih awal pada bulan Julai. We are surprised yet predictable. alhamdulillah haza min fadhli Rabbi.
Sejujurnya setiap anak kami adalah anak di bawah perancangan dan persetujuan bersama. Kami berbincang untuk dimulakan kehamilan pada waktu-waktu tertentu agar persiapan fizikal, mental dan emosi kami, suami isteri serta termasuk anak-anak sedia ada dapat dibina biiznillah.
Terutama kehamilan kali ini, kami mendapatkan juga persetujuan bersama anak-anak sedia ada, adakah mereka bersedia mendapat adik baby? Adalah Fayyadh bersedia menjadi abang kepada dua orang adik? Adalah Furqan bersedia menjadi abang?
Alhamdulillah kami bersyukur kerana respon mereka positif. Selepas diizinkan Allah memperolehi berita kehamilan, kami memaklumkan kepada anak-anak dan mereka sangat gembira bercampur teruja.
MENGAPA KEHAMILAN MEMERLUKAN PERSETUJUAN SUAMI DAN ISTERI?
Kerana itu adalah tanda saling menghormati dan saling memuliakan antara suami dengan isteri sebagai dua orang manusia yang menjalani kehidupan bersahabat dan berkomunikasi sihat.
Kawan,
Proses kehamilan dan penyusuan adalah proses yang memberi pekerjaan baru kepada isteri. Pekerjaan yang membataskan tenaga, masa dan kemampuan isteri untuk menjalankan tanggungjawab sedia ada sama ada sebagai seorang isteri, ibu, pekerja mahupun pelajar atau lain-lain.
Pengalaman kehamilan peribadi, di fasa terawal, saya akan bertukar menjadi kain buruk yang terlalu royok dan monyok. Semua perkara yang masuk akan dilonjak keluar oleh perut. Senyuman mati dan mata sentiasa menangis. Loya itu bukan sekadar apabila makanan atau minuman memasuki kerongkong, malah air liur sendiri meloyakan. Kain lap perlu sentiasa ada bagi mengelakkan air liur meleleh keluar kerana tekak memang tidak mampu menelannya.
Beberapa bulan berkondisi begitu. Solat tidak mampu sempurna kerana tidak boleh rukuk dan sujud dek sedikit bongkok sudah terasa bagai gelongsor yang meluncur keluarkan isi perut. Mulut hanya diam kerana pergerakan untuk bercakap umpama pam yang menggerakkan aliran dari bawah.
Suami?
Pandai-pandailah beliau hidup saat itu kerana untuk saya hidup pun sudah terlalu perit
Lalu bagaimana sekiranya ada suami yang mendakwa isteri kurang memberi layanan ketika isteri hamil sedangkan isteri sedang hampir ‘terbunuh’ oleh benih dirinya sendiri? Sungguh syaitan lelaki yang merungut sedemikian.
Jika tidak mahu terkurang walau seinci layanan bagai raja, jangan pernah terfikir untuk menghamilkan isteri.
Kemudian ditambah pula proses penyusuan selama dua tahun. Penyusuan badan menjadikan tubuh badan isteri sebagai hak mutlak bayi meski tanpa rela.
Anak akan melekat. Anak akan mencari. Anak akan membuatkan isteri lesu tidak tidur malam. Anak akan menyebabkan isteri terhalang dari menghabiskan sebahagian besar urusan rumahtangga.
Belum dicampur penambahan jadual pam susu ke dalam diari harian si ibu. Belum diselak rasa lapar ibu sepanjang tempoh penyusuan. Belum dilihat rasa ‘inferiority’ ibu terhadap perubahan tubuh badan selepas proses kehamilan, kelahiran dan penyusuan.
Lalu, bagaimanakah ada suami mampu berhati buta merungut rasa tersisih dek isteri perlu utamakan anak kecil yang melekat? Bagaimana tegarnya suami mempertikai isteri yang tidak sehangat dahulu dek dia buta melihat isteri lesu oleh hasil benih dirinya sendiri?
MENGAPA KEHAMILAN MEMERLUKAN PERSETUJUAN ANAK-ANAK?
Anak-anak adalah anugerah. Setiap seorang dari mereka. Setiap seorang.
Anak yang belum wujud bukan di dalam bidang tanggungjawab kita, namun anak sedia ada adalah amanah dan mesti menjadi fokus utama kita.
Kawan,
Anak-anak memerlukan kita secara fizikal, mental dan emosi. Mereka mahukan kita, ibu bapanya secara jelas keberadaannya bersama mereka (fizikal), mereka mahukan kita meletakkan mereka sebagai keutamaan atau prioriti dalam setiap perancangan dan keputusan kita (mental) serta mereka memerlukan kasih sayang kita yang mesti ditunjukkan agar mereka tahu bahawa kita menyayangi mereka sepenuh jiwa (emosi).
Sekiranya membesarkan anak dengan cuma memberi gadget untuk ditonton atau cuma untuk dikhabarkan pada dunia bahawa kita subur dan tidak mandul, celakalah kita yang sedang membinasakan jiwa makhluk yang bakal mendewasa mewarnai dunia.
Dan setiap proses kehamilan mengambil tempoh 9 bulan dari kehidupan normal antara ibu dengan anak-anak sedia ada. Belum dicampur fasa berpantang dan biasa di awal penyusuan.
Ibu yang sedang kelepek, muntah dan lemah, apakah punya waktu untuk bermain dengan anak? Anak sedia ada memerlukan ruang untuk menyesuaikan diri dengan kondisi baru ibu mereka. Mereka pasti berasa sedih, keliru dan kecewa apabila ibu tidak lagi seriang dahulu dan tidak lagi dapat bermain secergas dahulu.
Kemudian saat kandungan membesar, ibu semakin mudah sakit dan tidak lagi boleh diluru untuk dipeluk keras atau dipanjat. Pergerakan ibu terbatas. Anak semakin terasa jauh.
Sejujurnya pengalaman kehamilan kedua dan ketiga, rasa bersalah pada anak sedia ada sangat menebal. Terutama apabila anak meluahkan rasa sedih, “lama kita tak main dengan bonda”, walaupun kemudiannya dijawab sendiri oleh anak “yela kan dalam perut bonda ada baby” sambil diteruskan dengan gaya dan acara berebut untuk bercakap dengan baby
Saya tidak menulis hantaran kali ini dengan dalil agama, kerana asasnya hantaran ini adalah pandangan peribadi. Lagipun telah ditulis isu ini menurut hukum Syarak dalam hantaran-hantaran lepas.
Sungguh.
Ketahuilah bahawa Islam lebih dahulu membawa perjuangan memberi rahmah kepada setiap jiwa dalam urusan berumahtangga. Kerana hakikatnya sakinah, mawaddah warrahmah adalah matlamat membina syurga di dalam keluarga dalam rangka membina syurga di akhirat insyaAllah.
Seorang bonda yang terlalu banyak kelemahan,
Nurul Hasna’ Hazni
#tipsdarimakcik
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)