Bayi yang tidur nyenyak pada tempoh yang agak lama pastinya melegakan hati ibu. Ketika inilah ibu dapat merehatkan diri seketika dan melakukan perkara-perkara lain seperti memasak, mengemas rumah dan sebagainya.
Pun begitu, bukan semua bayi tidur nyenyak dan lama tempohnya. Ada juga bayi yang mempunyai waktu tidur yang pendek iaitu hanya 15 hingga 30 minit namun tidur dengan kerap. Ini semua bergantung kepada keadaan bayi itu sendiri.
Bagi Puan Uswatun Hasanah Mohd Habib, Konsultan Tangisan Bayi Malaysia, bayi yang tidur sekejap bukanlah menjadi masalah yang besar. Jika tepat cara dan tekniknya, bayi akan lebih mudah tidur malah tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan.
1. TEKNIK BEDUNG
Membedung bukan hanya mampu mententeramkan bayi malah ia merupakan langkah awal untuk menidurkan bayi. Penggunaan bedung juga sebenarnya dapat memanjangkan tidur bayi anda hingga satu, dua malah tiga jam dari kebiasaannya. Ini kerana membedung dapat meminimumkan kesan dua gangguan tidur utama bayi kecil iaitu:
Moro Reflek (Reflek Terkejut-terkejut/Tersentak-sentak).
Moro refleks aktif dikalangan bayi kecil terutamanya di bawah usia 4 bulan kerana kencangnya maklumat yang mahu di hantar ke antara jutaan neuron di dalam otak bayi terutama sekali ketika tidur. Oleh kerana neuron-neuron ini belum sepenuhnya di ‘tebat’, maka ia ibarat wayar yang akan memercik api bila maklumat yang ingin merentas itu terlalu banyak dan cepat. Disebabkan hal inilah bayi menerima gangguan dan seakan tersentak dan terkejut ketika tidur.
Mengerang
Bayi kecil mengerang dengan sangat banyak sebagai salah satu usaha untuk menguatkan otot-otot bagi proses pertumbuhan dan pembesaran. Bukan itu sahaja malah ia juga, sebagai persiapan untuk memudahkan penguasaan kemahiran-kemahiran motor di masa hadapan.
Kedua-dua reflek ini sangat bagus untuk perkembangan bayi namun ‘tidak bagus’ untuk tidur bayi. Ini kerana bayi akan terkejut dan terganggu tidurnya dan keadaan ini membuatkan ibu terpaksa menidurkan semula bayi.
Menggeliat
Bayi mempunyai 370 tulang temulang. Aktiviti menggeliat ini bagus untuk bayi kerana ia merupakan satu tindakan reflek untuk bayi. Pun begitu menggeliat pada kadar melampau amat mengganggu bayi untuk tidur lebih nyenyak.
2. BUNYIAN MENTENTERAMKAN (WHITE NOISE)
Hampir kesemua bayi tidur lebih lena bila ditemani bunyi-bunyian. Hal ini kerana bayi manusia telah terbiasa tidur di dalam rahim yang mempunyai persekitaran bunyi bising 70db.
Bukan itu sahaja malah bunyi-bunyian yang menenangkan ini dapat menepis gangguan tidur yang kecil, juga datang dalam bentuk bunyian, cahaya atau pergerakan terutamanya yang datang semasa fasa tidur ringan bayi. Ini kerana white noise mempunyai kesan memegun gelombang otak bayi agar kekal fokus pada gelombang bunyi white noise ini dan mengabaikan bunyi-bunyi di sekelilingnya. Hasilnya? Bayi tidur lebih lena dan nyenyak.
3. HAYUNAN
Bayi manusia telah terapung dan berhayun setiap kali ibu bergerak ketika mengandungkannya dahulu. Maka, hayunan dalam apa bentuk pun bakal menenangkan bayi dan membantu bayi untuk tidur lebih lena.
Ramai bayi perlu di bantu untuk tidur dengan hayunan samada dari tepukan di punggung atau belakangnya. Namun, untuk kekal lena, hanya sekitar 20 % sahaja bayi yang perlukan hayunan sepanjang tidur beserta dengan bedung dan white noise. Untuk 20% bayi ini, buaian boleh laras penuh sahaja yang boleh digunakan kerana ini satu-satunya jenis buaian yang mematuhi piawaian antarabangsa.
Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents