Misi nak turun berat badan akan berjaya kalau anda elak 6 jenis makanan terutama kalau anda nak langsing balik lepas bersalin. Walaupun menyusukan bayi tak bermakna ibu tak boleh jaga pemakanan. Bahkan masa menyusukan bayilah paling bagus untuk berdiet sebab kena makan makanan yang berkhasiat sahaja.
Jadi pastikan ibu-ibu ikut nasihat pemakanan oleh Pakar Dietetik, Ruqayyah Muhd ini. Ada beberapa makanan yang mesti dielakkan terus kalau nak turun berat badan dan ia juga tak bagus untuk kualitit susu ibu yang dihasilkan.
MAKANAN YANG DINASIHATKAN UNTUK DIELAKKAN JIKA MAHU TURUN BERAT BADAN.
Kita sering ber’diet’ dengan matlamat ingin menurunkan berat badan kita. Namun kadangkala kita tidak sedari makanan/minuman di bawah ini meningkatkan pengambilan kalori melebihi keperluan tubuh.
1. MINUMAN MANIS
Minuman manis biasanya tinggi dengan gula. Samada air soda atau minuman kordial atau minuman berkotak pasti mengandungi gula. Gula apabila diambil dalam jumlah yang sedikit tidak memberi kesan kepada kenaikan berat badan. Namun, apabila diambil berlebihan akan memberikan kesan yang besar kepada pengawalan berat badan.
1 sudu besar gula memberikan 15g karbohidrat dan 60 kcal.
Bayangkan jika sekiranya setiap hari sebanyak 8sudu besar gula diambil sehari sudah memberikan hampir 500kalori sehari. 500kalori yang berlebihan setiap hari secara konsisten mampu menaikkan berat badan sehingga 2kg sebulan.
Air manis dikategorikan sebagai makanan yang mempunyai nutrien yang rendah. Ia hanya mempunyai kalori daripada gula, namun kandungan mineral dan vitaminnya tersangat rendah dan tidak memenuhi keperluan tubuh.
Saranan WHO untuk menghadkan pengambilan gula sebanyak 10% daripada jumlah pengambilan kalori sehari. Sekiranya keperluan tubuh hanyalah 1800kcal sehari, hanya sebanyak tiga sudu besar gula daripada minuman dan makanan sahaja dibenarkan.
2. JUS BUAH
Buah mengandungi gula ringkas glukosa dan fruktosa. Apabila buah diambil secara asli, serat yang terkandung di dalam buah memperlahankan kenaikan gula darah. Glukosa daripada buah digunakan sebagai sumber tenaga. Fruktosa pula dibawa ke hati dan ditukarkan menjadi asid lemak yang akan disimpan di bahagian perut, punggung, dada dan pinggang.
Namun begitu, apabila buah-buahan dijadikan jus, seratnya dibuang. Menyebabkan kandungan glukosa fruktosa tadi menjadi lebih pekat. Jus mengandungi kandungan gula yang tinggi. Namun kandungan serat yang rendah. Apabila diambil dengan kerap dan dalam jumlah yang banyak, ia akan menyebabkan lebih banyak asid lemak disimpan di dalam tisu tubuh. Secara tak langsung, kenaikan berat badan akan terjadi.
Hadkan pengambilan jus buah segar sebanyak 120ml sehari sahaja. Atau ambil buah 2-3 hidangan sehari.
Elakkan jus buah terproses kerana kandungan seratnya yang rendah dan telah ditambahkan gula menyebabkan ia mempunyai kalori yang tinggi.
3. MINUMAN ISOTONIK
Minuman isotonik adalah antara minuman yang kaya dengan elektrolit dan gula. Ia diformulasikan untuk menggantikan garam mineral yang hilang semasa bersukan atau berlaku perpeluhan yang banyak seperti membuat kerja berat.
Minuman isotonik ini tinggi kandungan gula dengan tujuan membekalkan tenaga dan mengekalkan hidrasi dan elektrolit kepada atlit semasa sesi latihan atau sukan yang mengambil masa yang lama seperti maraton.
Pengambilan minuman ini tanpa menjalani latihan sukan yang panjang menyebabkan tenaga yang diambil tidak digunakan dengan baik dan dikaitkan dengan masalah obesiti dan penyakit kronik.
Untuk satu hidangan 240ml minuman ini membekalkan 3-4sudu teh gula. Manakala minuman tenaga membekalkan sebanyak 11sudu teh gula.
Hadkan pengambilan minuman ini mengikut keperluan. Ambil air kosong atau mineral sekiranya bersenam.
4. YOGURT BERPERISA dan MINUMAN YOGURT
Yogurt adalah antara hasil tenusu yang bagus untuk tubuh. Selain ia kaya dengan protein, ia juga merupakan sumber kalsium yang baik untuk tubuh. Probiotik yang terkandung di dalamnya juga membantu proses penghadaman makanan.
Namun begitu, kebanyakan yogurt yang terdapat di pasaran mempunyai kandungan lemak yang rendah atau 0 lemak. Apabila dilihat kembali pada label makanan, kandungan gulanya adalah tinggi. Tambahan buah-buahan juga turut menaikkan kandungan gulanya.
Ambil yogurt asli atau Greek Yogurt tanpa tambahan gula di dalam diet.
Tambah potongan buah asli ke dalam yogurt bagi meningkatkan rasanya.
Hadkan pengambilan minuman berkultur 1-2 botol kecil, seminggu.
5.KRIMER PEKAT MANIS
Krimer pekat manis atau dikenali dengan susu pekat manis atau susu tin sering ditukar ganti dengan susu tepung atau susu segar. Hakikatnya, krimer pekat manis dihasilkan daripada campuran gula, pepejal susu dan minyak kelapa sawit. Ia tinggi kandungan kalori, gula dan lemaknya namun rendah protein.
Untuk satu hidangan 20g krimer pekat manis (1 sudu besar) ini boleh menyumbangkan sebanyak 60-70kalori, 2-3g lemak dan 12-15g gula. Namun begitu protein yang disumbangkan hanyala lebih kurang 1-2g sahaja. Untuk satu hidangan protein yang baik ia perlulah menyumbang 7-8g protein untuk satu hidangan iaitu 4kali ganda hidangan krimer pekat manis.
1 gelas susu penuh krim memberikan 150kalori, 15g gula, 8gram protein dan 5gram lemak.
Namun 4 hidangan krimer pekat manis memberikan 240kalori, 48g gula, 8 gram protein dan 8gram lemak.
Bandingkan perbezaan nutriennya.
Mengambil krimer pekat manis umpama menambah minyak dan gula sahaja ke dalam minuman.
6. SNEK TERPROSES
Kerepek dan keropok segera biasanya tinggi kandungan garam dan lemaknya. Ini adalah kerana ia telah diproses dan ditambahkan pengawet bagi memastikan ia tahan lama dan sedap dimakan. Namun begitu, kandungan vitamin dan mineralnya rendah dan tidak berkualiti untuk keperluan tubuh badan. Sesetengah snek yang disira gula atau madu pula akan meningkatkan kalori dan kandungan gulanya.
Mengambil dalam jumlah yang sedikit tidak mengapa, satu ke dua minggu. Namun, menjadikan ia sebagai snek harian mnggalakkan budaya ‘mindless eating’ di mana kita makan sambil menontkn TV, memandu atau membaca tanpa mengambilkira jumlah yang diambil. Sedar tidak sedar satu pek sudah habis dimakan dan hampir 400kalori sudah diambil. Secara tak langsung pengambilan kalori sehari telah melebihi keperluan tubuh.
Amalkan makanan yang sihat dan seimbang.
Bersenam secara konsisten.
Kongsikan jika bermanfaat.
Sumber: Ruqayyah Muhd
Dietitian