Nampak Remeh Tapi Ajar Anak Pakai Kasut Ikut Adab Beri Impak Besar Pembentukan Akhlaknya

Share

Nampak remeh sahaja cara ajar anak pakai kasut mengikut adab yang dianjurkan oleh Islam, tapi ia mempunyai impak yang besar terhadap pembentukan akhlak sesorang.

Perkongsian ilmu daripada Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud seorang pendakwah ini patut dijadikan amalan oleh ibu bapa semasa mendidik si kecil.

Ya, benar. Mahu memakai kasut pun ada adab-adabnya. Islam ini agama syumul. Ia lengkap. Daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara, ada panduan untuk kita ikut.
Antara adab memakai kasut seperti yang disebutkan oleh ulama’ seperti berikut:

1. Jaga Niat. Niat Kerana Allah
Bila niat kerana Allah, ia akan dikira sebagai amal ibadah. Segala benda baik yang kita buat ia akan dikira sebagai pahala. Jadi, kita mesti ambil peluang ini. Bila memakai kasut, kita niatkan kerana Allah. Kita memakai kasut untuk menjaga keselamatan kaki selain menjaga kebersihan. Kita memakai kasut bukanlah untuk bermegah-megah, sombong dan menunjuk-menunjuk. Dibimbangi dengan “niat buruk” seperti itu akan membenihkan dosa dan penyakit hati dalam jiwa kita.

“Eh Ustaz, takkan pakai kasut pun boleh dapat pahala…” , mungkin itu soal hati kita bertanya.. Jawapannya memang betul, kita boleh jadikan ia berpahala. Baginda Nabi SAW kan pernah berpesan dalam satu hadis yang direkodkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim mafhumnya;

“Sungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan bagi setiap orang dikira apa yang diniatkannya”

2. Membaca “Bismillah”

Membaca Bismillah ketika hendak mula memakai pakaian adalah sesuatu amalan yang amat baik. Imam al-Nawawi telah berkata bahawa membaca Bismillah adalah digalakkan ketika hendak memulakan sesuatu amalan. Mudah-mudahan apabila kita selalu menyebut nama Allah ia akan dikira sebagai zikir dan hendaknya segala perbuatan kita diberikan keberkatan oleh Allah SWT.

Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Adalah Rasulullah SAW apabila memakai pakaian baru, Baginda akan menyebut nama pakaian baru itu sama ada serban, baju atau selendangnya, kemudian Baginda membaca;

Maksudnya; “Ya Allah! Untukmu segala pujian. Engkaulah yang memakaikanku pakaian ini. Aku memohon kepadaMu kebaikan pakaian ini dan kebaikan tujuan ia dibuat. Aku berlindung dari kejahatan pakaian ini dan kejahatan tujuan ia dibuat”.

3. Pakai kasut dengan kaki kanan. Tanggal kasut dengan kaki kiri

Siapa yang anjurkan perkara ini? Tentulah Baginda Rasulullah SAW mengajar kita supaya apabila mahu mula memakai kasut, maka mulakanlah dengan kaki kanan terlebih dahulu. Apabila mahu menanggalkan kasut, mulakan dengan kaki kiri. Sabda Rasulullah yang direkodkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim, mafhumnya :

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu memakai kasut, maka mulakan dengan kaki kanan, dan apabila menanggalkan kasut, mulakan dengan kaki kiri dan hendaklah kamu memakai kedua-dua belah kasut atau menanggalkan kedua-duanya (kasut)”

Ini juga dikira mengikuti sunnah Baginda Nabi SAW. Walaupun ia nampak kecil. Moga kita beroleh pahala dan ini adalah bukti kasih sayang kita kepada Baginda Nabi SAW.

4. Memakai kedua-dua belah kasut

Baginda Nabi SAW mengajar kita apabila mahu memakai kasut, pakailah kedua-dua belah kasut. Jika mahu menanggalkannya, maka tanggalkan kedua-duanya sekali. Jangan pula kita memakai hanya sebelah kasut sahaja.

Tentu sekali bila kita memakai hanya sebelah kasut sahaja, sebelah kaki lagi tidak berkasut, nampak sangat tidak elok bukan? Inilah yang dinasihatkan oleh Baginda Nabi SAW dalam hadith berikut, mafhumnya:

Daripada Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “ Apabila seseorang kamu memakai kasut, maka mulakan dengan kaki kanan, dan apabila menanggalkan kasut, mulakan dengan kaki kiri dan hendaklah kamu memakai kedua-dua belah kasut atau menanggalkan kedua-duanya (kasut)” –Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

5. Tidak memakai kasut yang bertulis nama Allah dan perkara yang mulia dalam Islam

Janganlah kita memakai kasut yang bertulis nama Allah ataupun nama-nama Nabi ataupun kalimah yang dimuliakan dalam ajaran Islam seperti kalimah syahadah dan sebagainya.

6. Sentiasa menjaga kekemasan kasut

Kita perlu menjaga kekemasan kasut dengan sentiasa menjaga rapi kasut. Sekiranya kasut kita bertali, maka ikatlah tali kasut tersebut mengikut kaedahnya. Supaya imej umat Islam benar-benar nampak kemas dan sopan. Kemas, bersih dan cantik itu adalah identiti umat Islam.

7. Sentiasa bersyukur atas nikmat pemberian Allah

Kita perlu sentiasa beryukur kepada Allah SWT atas semua nikmat pemberian Allah kepada kita. Termasuklah dapat memakai kasut yang elok dan cantik. Itu adalah satu nikmat. Ada orang yang tidak berkemampuan dan mereka tidak dapat memakai kasut yang elok. Bahkan ada yang tidak mampu membeli kasut kerana kesempitan hidup. Sebaliknya kita dapat memakai kasut yang elok bahkan berjenama pula. Maka, ucap dan perbanyakkan kalimah syukur kepada Allah.

Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 7, mafhumnya :
“Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu, ‘Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu, tetapi demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabku amatlah keras.”

Bersyukurlah. Itu pagar dalam hidup kita. Semua perkara ini nampak kecil, tetapi inilah akhlak. Ia perlu diceritakan kepada anak-anak ejak mereka kecil lagi. Proses membina akhlak itu memakan masa dan amat penting. Melentur buluh biarlah dari rebungnya!

Published by
Hasnita Sawal