Tak disangka-sangka aktiviti bermain basikal bagi seorang kanak-kanak berakhir dengan tragedi menyayat hati apabila mangsa ditemui lemas bersama basikal selepas terjatuh dalam tali air.
Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dikenali sebagai Muhammad Firash Darwisy Azlan ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam tali air di Jalan Permatang Sungai Dua, Kampung Pokok Simpor, Kepala Batas.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Kepala Batas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian didapati terdapat seorang mangsa kanak-kanak lelaki Melayu berumur 6 tahun telah terjatuh di dalam tali air.
“Mangsa telah berjaya dinaikan ke darat oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian,” katanya.
Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Hospital Kepala Batas yang berada di lokasi berkenaan.
Temui sepasang selipar terapung
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kehilangan Muhammad Firash disedari kakak mangsa yang keluar mencari selepas mangsa tidak pulang ke rumah.
Kakak mangsa kemudian keluar mencari adiknya dan telah terlihat sepasang kasut kanak-kanak terapung di dalam tali air berkenaan.
Dia kemudian meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian turun ke dalam tali air itu untuk mencari mangsa sebelum menemui basikal milik mangsa dan seterusnya jasad kanak-kanak malang itu.
Terjatuh bersama basikal
Siasatan mendapati, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam tali air yang mempunyai kedalaman dua meter bersama basikalnya.
Mayat mangsa ditemui di dasar tali air bersama basikalnya pada jam 6.30 petang.
Menurut Noorzainy, penduduk turut memberi bantuan pernafasan sebelum pegawai perubatan tiba.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk tindakan lanjut.
Sumber: Astro Awani