“Nanti Oklah, Ada Adik Mesti Boleh Bercakap”. Jangan Sedapkan Hati Jika Anak Lambat Cakap

Share

Terlebih dahulu, ingin saya memohon maaf kerana saya bukanlah seorang pakar terapi pertuturan (SLP) akan tetapi anakanda saya adalah salah seorang yang pernah menghadapi masalah lambat dalam pertuturan. Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar.

Terima kasih tidak terhingga buat Puan Aishah Binti Kassim, pakar terapi pertuturan. Sokongan dan bengkel yang berterusan dari beliau membuatkan saya sentiasa bersemangat dan tidak berputus asa. Saya akui, kadangkala saya juga hampir terkandas di tengah jalan.

Ingatlah wahai Ibu bapa, JANGAN BERPUTUS ASA ! Jangan sesekali anda berada di zon selesa dan menganggap anak anda tidak mempunyai masalah pertuturan. Ibu bapa yang berkata :

  • Lama2 ok lah tu !
  • Anak saya baru seorang, ada adik nanti mesti boleh bercakap !
  • Anak saya tiada sepupu dan tidak pergi ke nurseri/montessori sebab itu dia lambat bercakap !
  • Semua orang cakap anak saya seorang yang bijak. Nanti masuk sekolah, dia mesti boleh bercakap !
  • Saya kerap ke luar negara dan berpindah randah. Mungkin sebab itu dia lambat bercakap !
  • Tunggulah dia 3 tahun. Banyak masa lagi !
  • Anak saya semua video kat youtube dia tahu. Abc semua dia ingat. Cuma tak nak bercakap je (kes saya)

Kesemua kenyataan di atas adalah kenyataan ibu bapa yang takut/tidak mahu menerima hakikat atau kenyataan bahawa anak mereka bermasalah. Saya juga pernah menjadi seperti itu. Untuk para bonda di luar sana, Tuhan telah mengurniakan kita dengan gerak hati yang sangat kuat terhadap anak. Selalulah percaya akan naluri keibuan anda. Seorang pakar kanak-kanak juga sering mengingatkan saya perkara yang sama.

“Anda sangat bertuah kerana Tuhan telah mengangkat darjat anda menjadi seorang Ibu” – Dr Ong, Klinik Ong, Ampang, Selangor.

Carilah pakar terapi pertuturan yang anda selesa dan serasi dengan anak. Dari utara hingga ke selatan saya telah mencari pakar terapi pertuturan sebelum membuat keputusan pakar mana yang menjadi pilihan hati.

Orang kata, biarlah berhabis duit tapi mana nak cari anakku sayang seorang. Ingin saya tegaskan di sini, jika sehingga kini anak anda masih melayan kotak magis (TV), masih memegang gadget, masih mencari tab untuk melihat rancangan kegemaran dan apa jua jenis hiburan yang boleh menghalang mereka dari berkomunikasi secara dua hala, SILA HENTIKAN dengan segera, secepat mungkin. Jangan pernah kita terlupa, anak kita mempunyai kuasa paling hebat di dunia untuk memanipulasikan kita. Kenapa saya menggelarnya kotak magis? Kerana pada saya, kotak magis itu mampu mengalihkan perhatian anak, membuatkan mata mereka melekat seperti gam, sanggup menahan lapar dan dahaga, ketawa seorang diri dan mampu meniru segala aksi yang tertera di kotak magis. Sungguh hebat penangan kotak magis itu !

Saya akui, kesilapan saya adalah memberi anak saya bermain ipad dan membuka kotak magis itu ketika saya dan suami sedang sibuk membuat kerja masing-masing. Kita terlupa bahawa ada seorang manusia kecil yang sedang melihat dan meniru setiap pergerakan kita di rumah. Remember – children see, children do  ! Melihat anak-anak orang lain yang kerap bermain tab dan menonton TV tetapi masih petah berkata-kata membuatkan saya selalu berada di zon selesa (in denial). Sedangkan anak saya juga sangat jarang bermain ipad dan menonton TV. Jadi, di mana silapnya kami sebagai Ibu bapa?

Berbekalkan ilmu yang saya pelajari dari Puan Aishah Kassim, sedikit pengalaman serta perkongsian dari ibu bapa yang lain, Dr Sofiah Ali (SDMC), pinterest dan Google, akhirnya saya dan suami telah mengambil tindakan yang sangat drastik dengan menghentikan sebarang jenis unsur hiburan yang ada di dalam rumah, menyimpan semua remote TV, menjual ipad dan tab serta melarang penggunaan telefon pintar di hadapan anak.

Cabaran lebih tertumpu kepada saya kerana saya adalah suri rumah dan sibuk mengajar pada sebelah malam. Its all about distractions ! Ya, itulah yang paling mujarab dan berkesan buat anakanda tersayang. Alihkan perhatian mereka. Apa yang anda perlu buat adalah kerap bermain bersama anak. Main ! Main ! Main ! Main ! Usia 0 – 6 tahun merupakan usia emas mereka (Golden Age). Sedangkan Rasulullah SAW sendiri menganjurkan kepada kita untuk sentiasa berlemah lembut  terhadap anak dan mendidik anak selaras dengan zaman mereka. Saya faham itu bukan perkara yang mudah lebih-lebih lagi kepada Ibubapa yang mempunyai anak-anak kecil yang lain. Perhatian perlu diberikan sama rata kepada anak-anak yang lain. Untuk Ibu bapa seperti ini, You have my respect !

Sehingga saya menulis ini, anak saya masih di sebelah sedang menganggu bondanya sambil berceloteh. Alhamdulillah, Maha Suci Allah Yang Maha Memberi, celoteh beliau bukan lagi di dalam bahasa german (jargon/gibberish/baby talk). Seperti yang saya katakan tadi, saya bukanlah pakar terapi pertuturan. Tetapi saya adalah pakar terapi pertuturan untuk anak saya sendiri. Pengalaman dan cabaran dari Ibubapa lain yang telah sudi berkongsi sangat membantu dan saya hargai selama ini. Pedulikan kata-kata/aura negatif dari persekitaran, anak kita peraturan kita. Bantulah anak anda dengan segera jika mereka memerlukan bantuan. Jangan terlambat atau menyesal di kemudian hari. Selalulah melihat yang terbaik di dalam diri anak kita, kerana jika bukan kita sebagai Ibubapa, siapa lagi yang mereka harapkan.

Jujur saya katakan, saya menangis ketika pertama kali mendengar lirik lagu ‘Arjuna Beta nyanyian Fynn Jamal‘. Mempunyai maksud yang tersendiri lebih-lebih lagi jika mempunyai anak syurga seperti beliau. Memetik kata-kata arwah tokwan saya ‘Biar anak yang menangis, jangan pula kamu yang menangis. Tak guna keluar airmata darah sekali pun di kemudian hari dan menyesal sebab tak pandai menjaga anak’.

Rabbi yassir wala tu ‘assir, Rabbi tammim bil khair. Ya Allah Kau permudahkan jangan Kau susahkan, Ya Allah Kau akhirkan dengan kebaikan. Amin.

Ikhlas – Bukan guru bahasa dan bukan pakar terapi pertuturan. 

Sumber: momethodology.wordpress.com

 

Published by
Wan Amy