Negara Lain Cuti Bersalin 120 Hari, Ada Juga Sampai 6 Bulan! 60 Hari Cuti Tak Cukup Untuk Mama

Share

“Bila akak bersalin?”, tanya Imah kepada rakan sekerjanya, Rozita. “Ikut ‘due’, in shaa Allah, hujung bulan ni,” jawab Rozita. “Wah, ‘bestlah’ cuti lama lepas ni,” balas Imah selepas mendengarkan jawapan daripada Rozita. ‘Best’ cuti lama, tetapi kenapa cuti bersalin perlu lama? Adakah ia penting?

Baca: Cuti Bersalin 90 Hari. Bakal Dilaksanakan Mulai 2021 Untuk Sektor Swasta

Pentingkah cuti bersalin?

Adakah cuti bersalin atau maternity leave adalah waktu untuk bersuka ria? Adakah cuti yang diberikan itu membolehkan wanita yang bersalin itu berehat sepuas-puasnya seperti andaian kebanyakan individu?

Tidak! Tidak sama sekali. Jika itu adalah dakwaan dan andaian yang bermain di fikiran anda berkaitan dengan cuti yang diberikan kepada kaum wanita yang bersalin, anda adalah dalam kalangan individu yang tidak memahami keperluan berpantang dan penjagaan diri selepas bersalin bagi wanita.

Tahu ‘tak’ cuti untuk wanita bersalin di Malaysia ini; 60 hari bagi kakitangan swasta dan 90 hari bagi pekerja kerajaan adalah cuti bersalin yang paling singkat berbanding luar negara?

Perbezaan cuti

Daripada pembacaan penulis, kebanyakan negara seperti Singapura dan United Kingdom memperuntukkan purata maternity leave sekurang-kurangnya 120 hari. Wah…banyak bukan?

Itu baru ‘sikit’, dekat negara Vietnam maternity leave diberikan sebanyak enam bulan. ‘Giler’ lama, kan? Haa…sebelum ini ibu yang bersalin dekat sana dapat cuti empat bulan. Empat bulan pun dah kira banyak, apatah lagi enam bulan.

Kalau duduk di Eropah pula, diperuntukkan cuti untuk individu yang bersalin ini sebanyak 14 minggu atau bersamaan 98 hari. Keluar topik sikit, menariknya dekat Eropah, ada peraturan yang membolehkan ibu bapa mengambil parental leave sekurang-kurangnya 18 minggu untuk setiap anak. Baguskan?

Sebab perlunya cuti panjang

Seperti yang dikatakan awal tadi, cuti bersalin paling lama pun adalah sebanyak 90 hari, itu kalau ibu yang bersalin itu adalah kakitangan kerajaan. Adakah tempoh itu mencukupi? Sebenarnya tidak.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri ketika melahirkan anak 4 tahun lepas yang ketika itu bekerja di salah sebuah syarikat penerbitan akhbar, dengan cuti bergaji sebanyak 60 hari adalah tidak mencukupi.

Tempoh 60 hari yang bersamaan dua bulan itu belum cukup sesuai dirasakan penulis untuk menghantar anak; yang masih kecil dan lembut lagi kepalanya kepada pengasuh. Jadi atas sebab itu penulis mengambil cuti tanpa gaji selama sebulan. Inilah dikatakan pengorbanan seorang ibu (puji diri sendiri).

Maternity leave bukan untuk kaum ibu yang baru bersalin berehat seperti anggapan kebanyakan individu. Tetapi cuti bersalin yang panjang itu adalah untuk memastikan bayi dilahirkan bersedia sebelum dihantar untuk jagaan pengasuh.

Mengeratkan hubungan

Tahukah anda terdapat risiko wujudnya masalah berkaitan kesihatan semasa tempoh kehamilan? Antara masalah yang sering berlaku adalah seperti kemurungan, postnatal blue melibatkan tekanan, diabetes melitus gestational, asma dan hipotiroidisme.

Malah, selepas melahirkan, hampir 50 peratus wanita akan berdepan dengan masalah kemurungan dan ia boleh bertukar menjadi situasi yang serius seperti post-partum depression (PPD). Antara simptom PPD adalah:

-Insomnia
-Menangis tanpa sebab
-Ketidakupayaan untuk menguruskan tugasan harian
-Wujud keinginan untuk mencederakan bayi atau diri
-Rasa tidak bernilai dan putus asa
-Kehilangan tenaga dan kelesuan
-Hilang selera atau penurunan berat badan
-Kepentingan maternity leave yang panjang bukanlah semata-mata untuk memberikan rehat kepada ibu yang baru melahirkan anak kerana sesungguhnya tidak wujud istilah rehat selepas melahirkan anak. Ini terutama bagi individu yang terpaksa menjaga anak sendirian tanpa bantuan pihak lain.

Tetapi dengan cuti bersalin yang lebih panjang, ia sekurang-kurangnya dapat memberikan manfaat terhadap kualiti kesihatan wanita. Ini kerana mereka boleh menumpukan sepenuh perhatian bagi memulihkan kesihatan ibu sebelum memulakan tugas dan mengelakkan tekanan kerja yang boleh memberi impak kepada bayi dan diri sendiri.

Maternity leave juga adalah untuk membolehkan ibu memberikan penyusuan yang eksklusif kepada anak dengan sebaiknya dan dalam masa yang sama dapat membantu mengeratkan lagi ikatan kasih sayang antara ibu dan anak.

Sumber: Health Group

Published by
NuFa