Berfikiran positif dan terima kurniaan Allah dengan hati yang terbuka, Lan Solo dan isterinya Nur Sheila Hassim dipuji ramai peminat apabila berkongsikan wajah anak keempatnya, Nur Amna Quxandra yang dilahirkan kelmarin.
Walaupun Nur Amna bayi istimewa kerana mengalami cleft lip atau sumbing, ternyata Lan dan Sheila cukup kuat.
Pasangan ini ternyata gembira dengan kehadiran bayi perempuannya dan tidak lokek untuk berkongsi gambar kepada semua peminat.
Malah rata-rata peminat pun turut sama mendoakan yang terbaik buat Nur Amna. Daripada komen yang diberikan netizen ada yang menyatakan Nur Amna adalah bayi bertuah dan anugerah terindah buat Lan sekeluarga.
Terdahulu Lan dan isterinya mengetahui keadaan bayinya sumbing semasa kandungan berusia 30 minggu.
Selepas itu, Sheila meminta pandangan daripada ibu bapa yang mempunyai anak sumbing untuk berkongsi pengalaman.
Walaupun bayi ini dianggap istimewa dalam keluarga Lan dan isteri, sikap keterbukaan pasangan ini wajar dipuji dan langsung tidak menunjukkan mereka sedih sebaliknya begitu kuat.
Apa yang membuatkan netizen cukup tersentuh hati, Lan dan Sheila bertekad untuk membesarkan dan memberi sepenuh kasih sayang pada Nur Amna.
Daripada komen di instagram Lan juga, ada netizen yang berkongsikan masalah anak mereka yang senasib dengan anak Lan dan rata-ratanya menyatakan boleh dirawat dengan membuat pembedahan.
Sekali lagi diucapkan tahniah kepada Lan dan Sheila atas kelahiran cahaya mata keempat mereka.
Sumber: lansolo_official & sheilarazlan
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kalau Nak Tahu Inilah Perkembangan Emosi Bayi Umur Setahun Ke Bawah
Sungguh pantas perkembangan seorang bayi. Ibu ayah kena ambil tahu bagaimana perkembangan emosi bayi umur setahun ke bawah supaya mudah memahami si kecil yang membesar.
Sepanjang setahun pertama kelahirannya, seorang bayi berkembang dari hanya tidur sepanjang hari menjadi kanak-kanak yang semakin aktif. Perkembangan si kecil tidak terbatas pada perkembangan fizikal sahaja tetapi juga termasuk perkembangan emosinya yang semakin kompleks.
Jom kita fahamkan bagaimana tahap perkembangan emosi si kecil selama setahun pertama mengikut usiannya bulan demi bulan.
Sebulan
* Membuat hubungan mata
* Menangis bila memerlukan sesuatu
* Memberi tindak balas pada suara dan senyuman ibu ayah
2 bulan
* Seronok bila orang lain bermain dengannya dan menangis bila masa bermain selesai
* Memerhatikan wajah orang lain
* Mengeluarkan bunyi suara untuk memberi tindak balas pada suara di sekelilingnya
* Mulai menunjukkan ekspresi marah
3 bulan
* Memulakan ‘perbualan’ dengan tersenyum pada ibu dan mengeluarkan suara untuk menarik perhatian
* Membalas balik senyuman bila ibu tersenyum kepadanya
* Boleh meniru balik beberapa gerakan dan ekspresi wajah orang lain
4 bulan
* Tertarik pada golongan kanak-kanak dan akan berpaling pada suara mereka
* Ketawa ketika digeletek dan ketika berinteraksi dengan orang lain
* Menangis bila diganggu ketika bermain
5 bulan
* Menjadi lebih tegas
* Boleh membezakan antara keluarga (ibu ayah) dengan orang luar
* Suka bermain ketika waktu makan
6 bulan
* Karektornya semakin menyerlah. Ibu boleh melihat adakah si kecil bersikap relaks atau mudah marah, aktif atau lemah lembut
* Mengenali namanya sendiri
* Boleh mengeluarkan suara dengan mulut dan lidahnya
7 bulan
* Mula faham perkataan “jangan”
* Suka bersosial
* Cuba meniru suara orang dewasa
8 bulan
* Berasa kekok dengan orang yang tak dikenali
* Menangis bila tidak dapat melakukan sesuatu hal, contohnya tidak boleh mengambil mainan kesayangannya
9 bulan
* Meniru pergerakan yang dilakukan orang lain
* Tersenyum pada bayang sendiri di cermin
* Suka bermain berhampiran ibu ayah, contohnya bermain di dapur ketika ibu sedang memasak
10 bulan
* Mulai merasa cemas bila terpisah dari ibu ayah
* Mengembangkan rasa keyakinan diri
* Bertindak balas pada pujian seperti bertepuk tangan
* Berhati-hati dengan ketinggian
* Menunjukkan perasaan seperti sedih, gembira, dan marah
11 bulan
* Mula pandai melawan atau tidak mahu menurut arahan ibu ayah
12 bulan
* Mula pandai menunjukkan temper tantrum
* Mula bijak berjenaka
* Mula bergantung pada ibu bapa atau salah seorang sama ada ibu atau ayah
Perkembangan tersebut adalah garis panduan perkembangan normal yang dilalui oleh bayi secara umum. Namun setiap bayi mempunyai perkembangan berbeza antara satu sama lain.
Tak perlu rasa panik bila perkembangan si manja anda tidak sama seperti berikut.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Yang Cakap Bahasa “Jerman” Sebenarnya Dia Nak Tiru Kita, Sebab Tu Elak Cakap Panjang-Panjang
Bahasa ‘jerman’ yang dihasilkan oleh kanak-kanak atau secara istilahnya dikenali sebagai JARGON, kita perlu tahu apakah kemahiran yang menyebabkan kanak-kanak melakukannya terlebih dahulu.
Untuk kanak-kanak belajar bercakap, banyak kemahiran yang perlu mereka pelajari. Salah satunya adalah kemahiran kefahaman apa yang disebut oleh orang dewasa dan meniru sebutan orang dewasa.
Kemahiran meniru ada 2 iaitu meniru AKSI dan meniru sebutan VERBAL. Sebagai contoh:
Meniru Aksi
Kemahiran yang perlu kanak-kanak pelajari sebelum usia 1 tahun
Contoh : Kanak-kanak menggoncang rattle selepas orang dewasa melakukannya
Meniru sebutan verbal
Kanak-kanak mula mengeluarkan bunyi-bunyi yang disebut oleh orang dewasa seperti meniru bunyi haiwan “meow” dan lain-lain
Semasa kecil di bawah umur setahun, kanak-kanak ada kalanya hanya meniru apa yang disebut oleh orang dewasa tanpa memahaminya terlebih dahulu.
Mereka mendengar dan menyebutnya sahaja. Setelah beberapa kali mereka mendengarnya barulah mereka mula faham maksud perkataan tersebut dan barulah mereka akan menggunakannya pada situasi yang betul. Pada usia ini juga, kanak-kanak mempunyai kebolehan memori yang sedikit dan kebolehan mereka untuk memahami ayat panjang adalah terhad.
Sebab itulah kita biasanya bercakap dalam bahasa yang ringkas dan pendek-pendek sahaja dengan kanak-kanak.
Contohnya:
Ayat 1: Tengok, kucing……. meow….. kucing
Ayat 2: Tengok tu ada kucing, besarnya kucing tu dia tengah makan nasi dengan ikan
Apabila kita menghasilkan ayat 1 pada kanak-kanak, biasanya kanak-kanak akan tiru perkataan meow atau kucing sahaja. Mereka tidak akan meniru keseluruhan ayat. Bayangkan jika kita menggunakan ayat yang panjang seperti ayat 2, agak-agaknya apa yang kanak-kanak cuba untuk tiru. Ia mungkin akan jadi “hdbbf msmkhd shsd kucing mjdg dybd kdhb”. Itulah bahasa jermannya.
Jadi sebenarnya, kanak-kanak menghasilkan cakap “jerman” adalah disebabkan oleh mereka cuba untuk meniru pertuturan orang dewasa tetapi kebolehan kefahaman kosa kata dan memori mereka adalah sangat terhad. Kita bercakap menggunakan ayat panjang, mereka cuba untuk tiru tapi mereka tidak faham ayat tersebut.
Cakap jerman ini sebenarnya normal bagi kanak-kanak, tetapi ianya akan berkurang apabila kanak-kanak mula menguasai kefahaman bahasa mereka. Tetapi jika selepas 3 tahun masih ada cakap jerman, ianya sudah TIDAK NORMAL.
Bagaimana mengatasi masalah ini? Apa yang boleh ibu bapa lakukan adalah:
-Tingkatkan kefahaman kanak-kanak bermula dengan kefahaman perkataan, frasa pendek dan barulah kepada kefahaman ayat
-Bercakap atau berbual dengan kanak-kanak dengan menggunakan bahasa yang pendek, ringkas dan berintonasi
-Reka perkataan atau ayat apabila kanak-kanak mengeluarkan bahasa jerman. Contohnya kanak-kanak bercakap jerman sambil menunjuk pada bola. Reka apa jua perkataan atau ayat yang berkaitan dengan bola seperti “waaa besarnya bola” atau sebagainya yang sesuai pada situasi tersebut.
Jika situasi ini berterusan, rujuklah pada terapis pertuturan-bahasa untuk khidmat nasihat.
Selamat mencuba.
Sumber: Aishah Kassim
Pakar Pertuturan Bahasa
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Anak Menangis Sampai Tak Bersuara, Namanya Raungan Senyap. Jangan Biarkan, Bahaya!
Ibu bapa mana yang tidak risau apabila melihat anak tiba-tiba kebiruan akibat tahan nafas. Lebih teruk lagi jika perkara ini sering menjadi punca anak pengsan.
Mungkin ada ibu bapa yang beranggapan bahawa anak mereka sengaja tahan nafas, maka reaksi pertama adalah memarahi mereka.
Namun, apa yang anda perlu tahu adalah perbuatan ini bukannya sengaja dilakukan. Fenomena ini dikenali sebagai breath holding spells atau raungan senyap kebiruan.
Ia merupakan satu refleks di luar kawalan badan. Ini bermakna, anak anda tidak boleh mengawalnya namun ia akan kembali normal dalam tempoh kurang daripada seminit selepas itu.
Dalam kebanyakan situasi, fenomena ini boleh diramal dan selepas faktor pencetusnya dikenal pasti, ia boleh dihindari.
Baca artikel ini yang dikongsi oleh Hello Doktor untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Ketahui jenis raungan senyap kebiruan
Dalam situasi anak menahan nafas sehingga nampak kebiruan, bukan semuanya akan menjurus mereka untuk pengsan.
Ia boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia di antara 6 bulan hingga 6 tahun namun lazimnya dialami oleh mereka yang berusia 2 tahun.
Jika terdapat sejarah masalah kesihatan ini dalam kalangan ahli keluarga, kanak-kanak tersebut lebih berisiko untuk mengalaminya.
Terdapat dua jenis raungan senyap kebiruan yang mempunyai punca berbeza:
- Raungan senyap kebiruan sianotik – keadaan ini boleh berlaku apabila kanak-kanak berhenti bernafas dan wajah mereka bertukar menjadi biru. Ia sering berpunca daripada perkara yang membuatkan mereka sedih seperti dimarahi. Semasa anak anda sedang menangis, mereka hanya menghembus nafas dan tidak menarik nafas. Ia boleh menyebabkan wajah mereka bertukar menjadi warna biru atau ungu (lebih serius).
- Raungan senyap kebiruan pallid (tak bermaya) – keadaan ini lebih jarang berlaku dan lebih sukar untuk dijangka berbanding dengan fenomena sianotik. Berbeza dengan jenis sebelum ini, ia berlaku apabila kanak-kanak sedang dalam ketakutan atau mereka terkejut. Wajah mereka akan menjadi pucat lesi dan bertukar putih semasa ia sedang berlaku.
Kedua-dua jenis raungan senyap kebiruan boleh menyebabkan kanak-kanak berhenti bernafas dan kadangkala mereka boleh pengsan.
Jika keadaan ini terlalu ekstrem, ia boleh menyebabkan masalah sawan.
Apa yang ibu bapa perlu lakukan jika anak menahan nafas hingga biru?
Perkara penting yang anda perlu faham adalah ia bukannya sesuatu yang disengajakan.
Ramai ibu bapa yang akan panik dan mula memarahi anak mereka walhal ia di luar kawalan badan mereka.
Antara tanda yang boleh dialami oleh anak anda semasa episod kebiruan adalah:
- Tangisan berhenti secara tiba-tiba
- Kulit dan bibir menjadi kebiruan
- Berhenti bernafas semasa ia sedang berlaku
- Tubuh menjadi kaku dan mereka tidak bergerak
Dalam kebanyakan situasi, anak anda akan kembali normal beberapa saat selepas kebiruan.
Namun, ada juga yang kekal biru walaupun sudah lama mereka berada dalam keadaan begitu.
Keadaan ini boleh berlaku terutamanya jika ibu bapa kerap memarahi anak ketika mereka berada dalam episod tersebut.
Apa yang anda perlu lakukan adalah:
- Anda perlu bertenang, jangan panik, berhenti daripada membuatkan anak anda sedih seperti marah dan cuba untuk menenangkan mereka.
- Jangan goncang tubuh anak anda dan ketika badan mereka menjadi kaku, baringkan mereka dalam posisi mengiring.
- Pastikan tiada makanan atau objek lain di dalam mulut anak anda untuk mengelakkan daripada tercekik.
- Pastikan tiada perabot atau objek berbahaya berdekatan dengan anak jika mereka mula mengalami simptom sawan.
- Jika anak masih tidak bernafas melebihi 1 minit, lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR). Ia merupakan satu prosedur kecemasan yang dilakukan dengan cara memberi tekanan pantas dan berterusan di kawasan dada mangsa dengan/tanpa memberi bantuan pernafasan secara berkala.
- Bawa anak ke hospital dengan kadar segera jika keadaan menjadi lebih serius.
Cara menghindarkan episod berhenti bernafas
Bagi kebanyakan kanak-kanak, fenomena kebiruan akan hilang apabila usia mereka meningkat.
Apa yang lebih mencabar bagi ibu bapa adalah mencari jalan untuk mendisiplinkan anak mereka tanpa mencetuskan kebiruan semasa mereka sedih.
Dalam banyak keadaan, perkara ini memerlukan rujukan doktor bagi mengenal pasti jalan terbaik bagi anda dan anak anda.
Fenomena anak tidak bernafas ini tidak boleh menjadi alasan untuk ibu bapa menuruti kehendak dan melayan segala kerenah anak-anak tanpa batasan.
Mereka memerlukan tunjuk ajar dan cara untuk beradaptasi dengan perubahan emosi yang berlaku.
Fenomena kebiruan mungkin nampak berbahaya namun dalam kebanyakan masa, ia hanya memerlukan kesabaran dan teknik yang betul dalam menguruskan episod kebiruan.
Konklusi
Episod kebiruan yang melibatkan anak tahan nafas di luar kawalan boleh membuatkan ibu bapa panik.
Walau bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, ia akan beransur pulih dengan sendiri dalam tempoh kurang daripada 1 minit.
Jika keadaan berlarutan, rujukan kepada doktor boleh membantu mengenal pasti punca yang menyebabkan ia menjadi serius.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI