“Ni Rahsia Awet Muda Saya”. Umur 35 Tahun, Rezeki Dapat 10 Anak, Rumah Meriah!

Share

Anak pembawa rezeki dalam keluarga. Zaman mak ayah kita dulu-dulu jika anak ramai orang tak akan bercakap tetapi sebaliknya akan rasa meriah dalam rumah. Namun hari ini, bila suami isteri mempunyai anak ramai, mulalah ada yang cakap di belakang.

Walau apa pun pendapat, hanya pasangan suami isteri itu saja yang tahu. Hormati setiap pendapat orang lain. Apa yang penting amanah yang diberikan ini perlulah dijaga dan dibesarkan sebaik mungkin agar semua anak-anak menjadi soleh dan solehah. Bagaimana kita nak mencorakkan anak-anak semuanya dari acuan ibu bapa sendiri.

Melalui perkongsian Puan Wan Nurul Melissa, 35, yang mempunyai 10 orang anak dan masih berpantang anak yang ke 10 selepas dilahirkan 22 Julai lalu, kehadiran anak-anak ini dianggap rezeki buatnya dan suami.

“Sebenarnya ramai tak sangka saya ibu kepada 10 orang anak (7 lelaki dan 3 perempuan). Di usia yang masih muda dan dengan keadaan sekarang ini, pergi mana-mana pun bila orang lihat saya bawa anak-anak yang masih kecil ada yang tanya anak sendiri atau anak buah.

“Bila jawab anak sendiri mereka tak percaya tapi bila terangkan baru mereka faham,” katanya.

Kahwin usia 20 tahun

Wan Nurul Melissa berkongsi, dia berkahwin ketika usia 20 tahun manakala suami 21 tahun. Dapat anak setahun kemudiannya.

“Asalnya kami tak plan nak berapa anak kerana suami seorang saja yang bekerja dan saya pula suri rumah saja.

“Namun betullah orang kata, bila kita melahirkan anak ni setiap dari mereka pembawa rezeki yang tak disangka. Dari saya tak bekerja lepas kehadiran anak-anak saya dapat buat bisnes online dan kini sepenuh masa buat bersama suami.

“Sekarang usia anak-anak 14, 11, 9, 8, 6, kembar (4 tahun), 2 tahun lebih, 1 tahun lebih dan yang ke-10 dalam pantang.

“Sebenarnya saya juga pernah keguguran sebanyak 3 kali. Kalau semua ada sekarang dah 13 orang anak,” katanya.

Bersama anak ke-10 yang dilahirkan 22 Julai lalu.

Seronok anak ramai

Wan Melisa menyatakan memandangkan dia pun mempunyai 9 beradik dan dari keluarga besar, bila anak ramai lagi seronok. Manakala suami pula ada 4 beradik dan mempunyai kembar.

“Masa mula-mula nak jaga anak ramai memang rasa susah, tapi alhamdulillah Allah sangat mempermudahkan urusan saya dan suami. Anak-anak seolah faham dan mereka jarang nak buat perangai.

“Saya bersyukur dengan membuat bisnes online ni dalam masa sama dapat tengok dan pantau anak-anak. Kami suami isteri bergilir jaga dan pembantu pun akan datang pagi, petang balik,” katanya.

Sentiasa ada jadual harian 

Tak dinafikan anak ramai dan masih kecil memang penat. Jadi sebagai ibu saya memang dah tahu nak urus masa. Mula dari bangun pagi hingga nak tidur malam semua dah ada jadual.

“Kadang-kadang suara terkuat tu biasa. Tapi anak akan faham sendiri sebelum saya marah. Bagi saya juga ada anak ramai ni mak akan jadi awet muda. Sebabnya sentiasa melayan karenah anak-anak dari pagi sampai malam.

“Buat masa ini, kami akan fokus dan besarkan dulu 10 orang anak. Jika ada rezeki lagi Allah nak bagi kami tak menolaknya,” katanya.

Fasa mengandung mudah, bersalin normal 

Wan Melissa menambah, dia bersyukur sepanjang mengandung tiada alahan teruk. Cuma dalam trimester pertama saja alahan. Selepas itu dia kembali cergas dan boleh urus anak macam biasa.

Begitu juga melahirkan anak, semua 10 anak saya lahirkan secara normal dan mudah. Macam anak yang ke-10 ini saya lahirkan ketika usia kandungan 38 minggu dan hanya mengalami kontraksi ringan sahaja.

Bayi ke-10 yang dilahirkan 2 minggu awal dari tarikh jangkaan bersalin

Syukur anak-anak sentiasa menyenangkan 

Tambah Wan Nurul Melissa lagi, anak-anak yang dah besar seolah faham dan akan sama-sama melakukan kerja rumah dan menjaga adik-adik.

“Saya juga sangat bersyukur mempunyai anak yang senang dan dengar cakap. Masing-masing dah faham apa perlu buat. Contoh lepas main, makan semua kena kemas. Anak-anak ni bila dah terbiasa dengan disiplin automatik mereka akan faham dan ingat sampai bila-bila.

“Lagi satu, ikatan kekeluargaan antara kami sangat kuat kerana suami sentiasa ingatkan walau apa pun berlaku, masing-masing kena sayang dan sentiasa bertolak ansur satu sama lain.

“Percayalah bila kita yakin dengan perancangan Allah, rajin mencari rezeki dengan niat untuk membahagiakan keluarga, semua itu dipermudahkan,” kongsinya.

Kredit: Wan Nurul Melissa

(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)

Published by
Wan Amy