Tertidur dengan anak mungkin sudah terbiasa bagi kita. Namun hakikatnya, ada waktunya hal sebegini boleh mengundang bahaya pada anak kita, lebih-lebih pada bayi yang baru dilahirkan. Ada waktunya dek kerana keletihan kita tidak sedar kita telah merisikokan bayi kita. Ini bahaya.
Adakah tidur bersama bayi selamat?
Tidak dapat dinafikan, berbanding negara Barat, kebanyakan ibu bapa di Malaysia, khususnya, lebih banyak mengamalkan tabiat untuk tidur sekatil dengan bayi. Tetapi perbuatan tidur bersama si manja melibatkan perkongsian tempat tidur sama sekali tidak disokong oleh pakar.
Berdasarkan kajian, berkongsi katil dengan bayi menunjukkan peningkatan kadar SIDS lebih tinggi. Malahan risiko SIDS lebih mendadak jika anda seorang perokok, mengambil sebarang ubatan yang menyukarkan anda untuk bangun mahupun meminum alkohol sebelum waktu tidur.
Tindakan tidur bersama bayi pramatang atau bayi kurang berat lahir mahupun bayi berusia 4 bulan ke bawah juga adalah lebih berisiko.
Walau bagaimanapun, ada pakar yang tidak bersetuju dengan perkara ini. Berdasarkan penyelidikan, Profesor di University of Notre Dame, Dr James McKenna berpendapat perkongsian tempat tidur adalah selamat jika tiada faktor berbahaya.
Kajian melibatkan bayi berusia lebih 3 bulan mendapati tidur sekatil mungkin dapat melindungi mereka. Namun, AAP tetap menegaskan risiko bayi berkongsi katil dengan ibu bapa tetap berbahaya tidak kira apa jua keadaannya.
Manfaat tidur bersama bayi
Bagi sesetengah keluarga, amalan tidur bersama dengan si manja mungkin tidak sesuai. Tetapi ia mempunyai banyak kelebihan. Antaranya:
* Ibu bapa akan dapat tidur yang lebih lama dan berkualiti.
* Bayi yang tidur bersama ibu bapa akan lena lebih cepat dan lama. Biasanya bayi akan merengek apabila mahu menyusu. Tetapi jika berada berdekatan dengan ibu, proses penyusuan dapat dilakukan segera tanpa sempat bayi terjaga dengan sepenuhnya.
* Ibu dapat melakukan penyusuan dengan lebih mudah memandangkan si manja berhampiran.
* Penyusuan badan pada waktu malam dapat membantu mengekalkan kuantiti bekalan susu ibu.
* Tidur di bilik yang sama dengan bayi mengurangkan risiko SIDS sebanyak 50%.
* Ada kajian menunjukkan bayi yang tidur bersama ibu bapa akan mempunyai hubungan emosi lebih kuat.
* Bayi yang terjaga malam akan menyebabkan tempoh penyusuan menjadi lama.
* Tidak ada kebimbangan perpisahan waktu malam (nighttime separation anxiety).
* Kurang masalah semasa waktu tidur.
* Rasa bahagia apabila bangun di sebelah bayi yang sedang tersenyum!
Panduan aspek keselamatan ketika co-sleeping
Sekiranya anda masih mahu co-sleeping dengan si kecil, walau atas alasan apa sekali pun, berikut adalah cadangan bagi mengurangkan risiko bahaya. Ibu bapa harus ingat perkongsian katil atau sofa dengan bayi, akan masih meletakkan mereka pada risiko kematian berkaitan tidur.
Membiarkan bayi tidur di katilnya sendiri atau tempat yang terpisah dengan anda adalah cara paling selamat. Ini panduan tidur bersama bayi melibatkan aspek keselamatan:
1. Elakkan daripada tidur pada permukaan yang sama dengan bayi jika anda mengambil sebarang ubatan atau ubat penenang, meminum alkohol atau sekiranya anda terlalu letih.
2. Jangan tidur dengan bayi di katil yang sama jika anda seorang perokok.
Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) menyatakan bayi yang terdedah kepada asap rokok selepas kelahiran mempunyai risiko lebih tinggi untuk SIDS.
3. Jangan tidur di katil yang sama dengan bayi jika anda merokok semasa tempoh kehamilan.
Kajian pada tahun 2019 menunjukkan risiko SIDS menjadi 2x ganda apabila ibu merokok semasa mengandung.
4. Andai berkongsi tempat tidur, sebagai aspek keselamatan, sebaiknya letakkan bayi di sisi sebelah anda dan bukannya di antara anda dan pasangan.
5. Bayi yang berusia kurang daripada setahun tidak boleh dibiarkan berkongsi katil dengan adik-beradiknya atau bayi lain.
6. Jangan tidur di atas sofa atau kerusi sambil menggendong si kecil.
7. Sekiranya ingin meletakkan bayi yang tidur, pastikan posisi tidur mereka dalam keadaan berbaring dan bukan meniarap. Ini terutamanya jika bayi yang dibedung dengan selimut.
8. Jika rambut anda panjang, ikat rambut agar tidak melilit leher si manja tanpa disedari.
9. Ibu bapa yang mempunyai masalah obesiti mungkin akan berdepan kesukaran untuk menentukan jarak rapat mereka dengan bayi.
Jadi, dicadangkan untuk tidur pada katil yang berbeza dengan si manja.
10. Pastikan tiada bantal, selimut atau cadar longgar yang boleh menutupi wajah, kepala atau leher bayi.
11. Pastikan tiada ruang antara bayi dan katil yang boleh menyebabkan mereka terperangkap tanpa anda sedari.
Nak macam-macam info? Jom join telegram Pa&Ma D Parents https://t.me/pamadparents
Sumber: hellodoktor.com