Kehamilan

Nora Danish Sedia Bagi Adik Pada Ney Ney Tahun Depan. Kali Ini Impikan Bayi Perempuan

Share

Pelakon, Nora Danish tanpa berselindung memaklumkan, dia sedia hamil lagi tahun depan kerana mengimpikan cahaya mata perempuan.

Katanya, keinginan menimang bayi perempuan tetap membara, walaupun kehidupannya kini lengkap dengan kehadiran dua cahaya mata lelaki.

“Anak kedua saya, Ney Ney atau Mohamed Neqayl Nedim masih terlalu kecil, baru sembilan bulan.

“Rasanya tahun depan masa yang sesuai untuk menambah ahli keluarga, seorang lagi sudah memadai.

“Seronok melihat anak membesar kerana masing-masing mempunyai karakter tersendiri. Ney Ney umpamanya, semakin tembam kerana begitu berselera makan,” katanya.

Pelakon yang popular menerusi drama rantaian Puteri itu menyifatkan dirinya bertuah kerana suaminya, Nedim Nazri ringan tulang dan sentiasa membantunya menguruskan anak.

“Nedim pandai melayan kerenah anak dan jika kami dikurniakan bayi perempuan, pasti rumah akan lebih meriah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Oh Most Wanted.

Selain Ney Ney, Nora turut dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 9, hasil perkahwinan pertama.

Menyentuh mengenai kelibatnya yang kebelakangan ini agak jarang muncul di kaca TV atau layar perak, Nora berkata, dia lebih banyak menumpukan perhatian terhadap keluarga selain bisnes.

Akui Nora, dia juga semakin selektif dan mencari watak yang mencabar diri kerana inginkan kelainan dalam kerjaya lakonannya.

Sumber: BH Online

Published by
Wan Amy