Bagi ibu bapa yang baru menimang anak kecil, pasti anda sering risau dan peka akan setiap pergerakan dan tingkah laku si manja anda. Kadangkala, anda semestinya bingung melihat bayi menggigil, tersentak ketika tidur dan sebagainya.
Usah bingung lagi, artikel ini akan merungkai perbezaan di antara pergerakan normal dan abnormal bayi anda, serta punca di sebalik setiap pergerakan mereka.
Ia bergantung kepada situasi yang dialami oleh bayi pada masa tersebut dan juga tempoh menggigil.
Sesetengah bayi menggigil atau menggeletar ketika tidur, dan kembali normal sesudah bangun tidur. Ada juga yang menggigil ketika menukar lampin, bermain, menyusu dan sebagainya.
Bayi tidak menggigil kerana berasa sejuk ya! Bayi hanya berupaya untuk bertindak balas ketika sejuk selepas berumur enam bulan.
Sebelum itu, bayi mempunyai sejenis tisu lemak perang di dalam badan mereka yang membantu untuk mengawal suhu badan.
Terdapat beberapa penjelasan normal mengenai pergerakan bayi menggigil atau menggeletar.
Dr Evan Lewis, Pakar Neurologi Pediatrik dan Pengarah Institut Neurologi Toronto mendedahkan semasa dua tahun pertama kehidupan bayi, sistem saraf dan otak bayi masih pramatang dan sedang berkembang.
Beliau juga menyatakan dua bulan pertama bayi sangat dipengaruhi oleh perubahan ini kerana refleks normalnya belum matang sehingga menyebabkan refleks tubuh bayi terlalu aktif.
Refleks yang terlalu aktif boleh menyebabkan dagu dan bibir bayi bergetar, sekali gus seluruh badan menggigil berkali-kali dalam sehari.
Semasa sistem saraf berkembang dan lebih matang, pergerakan menggigil dan menggeletar ini akan hilang sepenuhnya.
Bayi sepatutnya tidak menggigil selepas tempoh masa ini. Jika masih menggigil lagi, anda perlu mendapatkan rundingan selanjutnya.
Refleks Moro ialah sejenis refleks yang normal dilihat dalam kalangan bayi sehingga tempoh 3-6 bulan. Ia bermula semasa kehamilan, di antara 28-32 minggu dan hilang sepenuhnya selepas enam bulan kelahiran.
Ia merupakan tindak balas perlindungan motor bayi terhadap ketidakseimbangan badan atau rangsangan secara mendadak.
Di Malaysia, refleks Moro selalunya diperiksa oleh doktor selepas kelahiran bayi. Bayi yang normal akan mempunyai refleks Moro yang lengkap.
Namun, bayi pramatang atau yang mempunyai kecederaan semasa kelahiran tidak akan mempunyai refleks Moro yang lengkap.
Jika refleks Moro masih dilihat pada bayi anda selepas tempoh enam bulan, sila berjumpa dengan doktor.
Semasa lahir, bayi mempunyai jumlah norepinephrine yang lebih tinggi. Fungsi hormon ini adalah lebih kurang sama dengan adrenalin. Ia membantu bayi dalam pengawalan haba untuk tubuh mereka.
Ia dihasilkan oleh badan sebagai tindak balas terhadap persekitaran baru semasa lahir. Norepinephrine mempunyai daya rangsangan terhadap anggota badan dan itulah yang menyebabkan bayi menggigil.
Seiring waktu, tahap hormon ini akan berkurangan dalam badan, dan pergerakan tersebut akan berhenti.
Selain itu, hormon ini juga membantu metabolisme tisu lemak perang dalam bayi jika perubahan suhu mendadak dikesan oleh tubuh.
Eh, takkan bayi pun boleh mendapat hipoglisemia? Sudah tentu boleh ya!
Hipoglisemia ialah keadaan di mana paras gula dalam darah bayi lebih rendah daripada normal.
Ia selalunya berlaku jika ibu mempunyai kencing manis ketika hamil, bayi ada jangkitan kuman atau enggan menyusu.
Salah satu tanda hipoglisemia ialah bayi akan menggigil atau menggeletar. Terdapat juga simptom lain seperti tangisan bernada tinggi, masalah menyusu, lemah, dan sebagainya.
Bayi yang mengalami hipoglisemia seharusnya diberikan rawatan secepatnya.
Hati-hatilah jika bayi anda kerap menggigil dan sukar untuk dileraikan kerana kemungkinan dia mengalami sawan.
Lagi-lagi jika terdapat simptom lain seperti kekejangan otot yang keterlaluan, demam, mata terbeliak ke atas, mulut berbuih dan sebagainya.
Selalunya sawan akan terhenti sendiri kurang daripada tiga minit, tetapi jika lebih sila dapatkan rawatan selanjutnya.
Menggigil ialah reaksi normal bagi si manja anda. Namun, jika anda was-was akan pergerakannya, sila rakamkan pergerakan mereka sebelum membawa bayi anda ke hospital.
Ini akan membantu para doktor untuk membuat diagnosis dan memberikan rawatan yang lebih lanjut.
Kredit: Hello Doktor
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)