Berita

Nuraina Humaira Ditemui Tidak Bernyawa, Dilaporkan Hilang Sejak Jumaat

Share

Nuraina Humaira ditemui tidak bernyawa, dilaporkan hilang sejak Jumaat. Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ditemui telah meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu.

Nuraina Humaira Ditemui Tidak Bernyawa, Dilaporkan Hilang Sejak Jumaat

Mayat Nuraina Humaira Rosli, 10, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan sekitar jam 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, mangsa dijumpai dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya berhampiran perkampungan itu dengan jarak antara 50 hingga 100 meter dari rumah terakhir di perkampungan terbabit.

“Pemeriksaan awal tidak menemukan sebarang kecederaan ke atas tubuh badan mangsa yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Bagaimanapun kita masih menunggu laporan hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Beliau berkata, maklumat kehilangan mangsa diterima daripada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kira-kira jam 1.20 pagi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudiannya digerakkan dalam radius 2 kilometer dengan bantuan unit anjing pengesan K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Orang awam yang turut menyertai operasi ini berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan itu.

“Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dibawa ke Hospital Sungai Siput bagi proses bedah siasat,” katanya.

Mohd Khaizam berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa telah pergi ke kedai seorang diri kira-kira jam 3 petang pada hari kehilangannya bagi membeli ayam.

Mangsa bagaimanapun pulang dengan tangan kosong kerana kehabisan ayam di kedai, sebelum bapa saudara menyuruhnya menunggu seketika untuk mengajaknya ke kedai lain.

“Bapa saudara kanak-kanak itu memintanya menunggu sekejap sementara dia menghabiskan kerja.

“Sepanjang temopoh menunggu itu, mangsa didapati sedang bermain buaian di kawasan itu, namun bila bapa saudara keluar dari rumah didapati mangsa sudah tiada,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Baca artikel lain juga: Kanak-Kanak 10 Tahun Meninggal Dunia Kerana Keracunan Makanan, Ada Sejarah Disyaki Makan Tart Keju!

Saya Dapat Rasakan Anak Menahan Kesakitan, Bibirnya Biru  Kanak-Kanak Meninggal Dunia Ditinggalkan Dalam Kereta

 

Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) sekarang!

Dapatkan lebih ilmu keibubapaan di Tik Tok Pa&Ma @pama.my

 

 

IKLAN