Nyawa Bagai Disentap, Balik Rumah Baru Tersedar Anak Tertinggal di R&R

Share

Hilang anak walau pun sekelip mata adalah memori yang pahit bagi seorang ibu. Apatah lagi jika berjam-jam lamanya & jauhnya berpuluh kilometer!

Perkongsian daripada ibu ini menceritakan situasi cemas tertinggal anak di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Aye Keroh amat mendebarkan. Mereka sekeluarga dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah mereka.

NYAWA IBU BAGAI DISENTAP

“Waktu sedar anak tiada dalam kereta, saya rasa nyawa bagai disentap, kebas dan lembik satu badan,” kata Iza, 36, yang kisah anak lelakinya berusia tiga tahun tertinggal di R&R Ayer Keroh, arah selatan tular sejak malam tadi, sebelum dijumpai semula tiga jam selepas itu.

Menurut suri rumah itu, apa yang berlaku benar-benar menjadi pengajaran walaupun dia dan suami sangat berhati-hati menjaga ketujuh-tujuh anaknya ketika berada di luar rumah.

Menceritakan semula kejadian itu, ibu tujuh anak berusia antara 11 bulan dan 13 tahun itu berkata, dia dan suami berhenti di R&R Ayer Keroh untuk solat Maghrib kira-kira 7.30 malam dan makan secara bergilir-gilir untuk memantau anak-anak.

SUASANA KELAM KABUT

“Waktu saya sedang makan, anak-anak dah berlari sana sini jadi saya minta suami bawa mereka ke taman permainan dan selesai sahaja makan saya terus ajak mereka balik.

“Pada masa sama anak ke empat dan kelima saya pula bergaduh, menangis dan berlari-lari menjadikan keadaan agak kelam kabut.

“Ketika inilah Allah menguji saya dan suami, apabila semua anak telah masuk ke dalam kereta dan tanpa sedar rupanya kami meninggalkan anak keenam, berusia tiga tahun, yang sedang duduk di dalam gelongsor tertutup taman permainan itu,” katanya.

PERJALANAN 30 KILOMETER TANPA ANAK KEENAM

Menurutnya, sepanjang perjalanan hampir 30 kilometer itu, dia menyangka anaknya berada di tempat duduk belakang kereta kerana seolah-olah mendengar suaranya sehinggalah mereka sampai di rumah di Ayer Molek, hampir jam 10 malam.

“Waktu sampai di rumah dan apabila melihat anak yang begitu manja dengan saya tiada dalam kereta saya rasa nyawa bagai disentap, kebas dan lembik satu badan.

“Mujurlah suami seorang yang sangat tenang dan segera menelefon rakannya untuk membantu mencari anak di R&R Ayer Keroh.

PATAH BALIK DALAM MASA 20 MINIT
“Ketika kami dalam perjalanan berpatah balik ke R&R 20 minit kemudian, rakan suami menelefon memberitahu anak keenam saya itu selamat dan kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

INSAN YANG SANGAT BAIK MENJAGA ANAK

“Ketika itu, hanya Allah yang tahu betapa sayunya hati saya dan sangat bersyukur atas pemberian-Nya kerana menghulurkan insan yang sangat baik untuk menjaga anak kami sementara menunggu ketibaan kami,” katanya yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 11 malam.

TERIMA KASIH KEPADA SEMUA YANG TERLBAT

Menurut Iza, dia sangat berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit menjaga anak-anaknya termasuk seorang pekerja India yang menjumpai anaknya di R&R berkenaaan.

“Terima kasih juga kepada pak cik yang tolong memujuk dan menemani anak saya, masyarakat, pekerja PLUS dan khususnya anggota polis IPD Alor Gajah yang tolong menjaga anak saya dengan baik.

“Insya-Allah saya akan turun semula ke IPD Alor Gajah dan R&R untuk bertemu dengan mereka yang telah sama-sama menjaga anak saya,” katanya.

Iza berkata, dia berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada masyarakat bahawa walaupun dalam keadaan berhati-hati, tiada siapa boleh menolak takdir Tuhan sekiranya telah menetapkan sesuatu untuk berlaku.

Sumber: Harian Metro

Published by
Azma Mohd Lazim