Semasa menyusukan bayi baru lahir, anda mungkin berhadapan dengan pelbagai masalah yang boleh menyebabkan anda stres dan kadangkala mengalami kemurungan. Sesetengah ibu bimbang jika hal ini akan mengurangkan penghasilan susu badan mereka. Namun, adakah benar stres boleh menjejaskan penghasilan susu ibu? Apa pendapat sains mengenai perkara ini?
Adakah stres mengurangkan susu badan saya?
Jawapannya adalah tidak. Stres tidak akan mengurangkan penghasilan susu badan atau sebagainya. Bagaimanapun, penghasilan susu badan anda pada sesetengah waktu akan berkurangan, contohnya seperti apabila anda bersalin secara pembedahan, atau bayi anda lahir pramatang. Pun begitu, susu badan anda masih mencukupi untuk bayi. Cuma, keadaan ini memerlukan masa dan usaha anda bagi melancarkan penyusuan susu ibu.
Apa yang boleh saya lakukan untuk mengurangkan stres?
Berikut terdapat beberapa cara untuk membantu anda relaks:
Pertama, cari tempat yang membuatkan anda rasa selesa untuk menyusukan bayi (atau memerah susu). Sebaik-baiknya, carilah tempat yang bebas daripada gangguan. Cuba untuk berehat semaksima mungkin sebelum menyusukan bayi atau memerah susu.
Semasa melakukan proses ini, anda boleh mendengar lagu kegemaran anda, menarik nafas dalam-dalam, berzikir, atau anda boleh meletakkan bauan yang menenangkan dan melakukan perkara yang anda sukai. Sebelum menyusukan bayi, anda boleh membongkokkan pinggang supaya payudara anda dalam keadaan tergantung, dan berada dalam posisi ini beberapa ketika. Ataupun, anda boleh menggerakkan bahu ke belakang dan ke hadapan bagi menggoncangkan payudara anda. Posisi sebegini amat membantu para ibu melegakan tekanan pada leher dan bahu, sekali gus membantu melancarkan penghasilan susu.
Di samping itu, cubalah untuk selalu bersama dengan bayi anda supaya kedua-dua anda dan bayi ‘berasa dekat’ dan berkongsi hubungan emosi. Jika anda tidak bersama dengan bayi (seperti ibu berkerjaya), anda boleh melihat gambar atau video si manja anda semasa memerah susu. Cara ini dapat membantu anda menghasilkan susu badan dengan lancar. Semasa menyusukan bayi pula, sesetengah ibu akan menghirup air bagi melegakan tekanan. Ini salah satu tindak balas lazim yang ibu sering lakukan semasa penyusuan.
Sesetengah ibu juga lebih gemar menyusukan bayi mereka semasa mereka mandi bersama. Cara ini dikatakan dapat membantu melegakan tekanan pada otot anda, sekali gus, merangsang aliran susu badan.
Kesimpulannya, stres tidak mempengaruhi penghasilan susu ibu, seperti yang dinyatakan dalam artikel ini. Walau bagaimanapun, pastikan anda sentiasa positif dan bebas-stres bagi mencipta persekitaran yang sihat untuk anda dan bayi. Jika anda berasa murung, cara terbaik adalah bercakap dengan ahli terapi atau doktor.
.
(Pa&Ma D Parents adalah komuniti yang menghimpunkan semua yang bergelar ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka sepanjang membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti or event dianjurkan oleh Pa&Ma. Join channel Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Ini Kongsi Tip Guna Sudu Untuk Kesan Hidung Anak Yang Tersumbat Akibat Selesema
Ibu sangat risau kalau anak kecil kena selesema kerana kalau tak dirawat boleh menyebabkan hidung tersumbat dan susah hendak bernafas. Nampak macam masalah biasa dan kecil tapi kalau dibiarkan hidung si kecil tersumbat akibat selesema ia boleh mengakibatkan masalah sukar bernafas, kebiruan dan tercekik.
Ia pernah dilalui oleh seorang ibu, Yatie Eimra yang berpengalaman melaluinya ketika anaknya baru berusia beberapa bulan sehinggakan doktor berkongsi tip mudah dan penting untuk mengesan masalah anak tersumbat hidung.
Nasal Aspirator & Tip Selesema
Nasal aspirator, mucus extractor, bulb syringe, oral suction aspirator .. Tak kisahlah apa namanya, mak² confirm dah tau fungsinya untuk sedut hingus dari hidung.
Masa awal² dulu, memang tak beli pun nasal aspirator ni. Tapi lepas alami sendiri pengalaman anak kecik sesak nafas (sebab hidung tersumbat, hingus lak banyak/pekat sangat & dah block saluran pernafasan) barulah standby nasal aspirator ni kat rumah.
Saya tak ingat tarikh yang tepat, tapi masa tu umur Fydh dalam 3-4 bulan.. Dah 2 hari Fydh batuk & selesema teruk sangat. Bila malam je mesti batuk & selesema menjadi². Agaknya dah penat menangis sepanjang malam, pagi hari ke-3 tu Fydh tertidur gak. Saya pun dah 2 malam berturut² bersengkang mata sepanjang malam, tertidurlah gak sebelah baby. Tak sampai 30 minit tidur, rasa muka ditepuk².. Dalam keadaan mamai tu bukak mata, punyalah terkejut tengok muka si kecik ni dah pucat kebiruan, tangan & kaki terkapai² tapi suara tak keluar langsung (sampai tak boleh menangis sebab dah choke). Punyalah terkejut & takut.. Allah je tahu perasaannya masa tu.
Suami kerja, tapi syukur gak sebab masa tu masih duduk rumah mak saya. Cepat² saya dukung Fydh & jerit panggil mak. Bila nampak saya yang tengah panik, mak dengan pantas ambil si kecik ni. Dia bukakkan & tahan mulut Fydh, dukung dengan cara terbalikkan badan (macam posisi tiarap – belakang badan menghala ke atas) & rendahkan bahagian kepala. Lepas tu tepuk² & urut belakang. Kali ke-3 mak tepuk Fydh terus termuntah dengan lendiran hijau kekuningan yang pekat sangat. Alhamdulillah, lepas muntah tu baru dia start menangis.. Masa tu lega & syukur sangat..
Bila dah mandi & bersih, barulah si kecik ni nak menyusu. Sepanjang malam masa anak meragam tu 2 oz susu pun tak habis. Masa ni jugak la pertama kali saya buat minyak bawang putih untuk anak. Patutnya nak bawa ke klinik, tapi lepas sapukan minyak pada batang hidung, dada, belakang & tapak kaki.. nampak anak dah lega & tidur lena.. Petang tu jugak saya beli nasal aspirator.
Doktor Kongsi Tip Anak Hidung Tersumbat
Kebetulan pagi esoknya (hari ke-4) si kecik ni memang ada follow up kat hospital. Dapat surat reference bahagian ENT..Sebabkan masih baby, dapatlah tarikh appointment hari yang sama, slot petang.. Sementara nak tunggu petang tu, sempat jugakla guna nasal aspirator. Sapu & urut dengan minyak bawang putih pun 3-4 round paling kurang..
Bila dah sampai giliran, doktor check Fydh dah kurang selesema/hidung tersumbat. Tapi sempat juga doktor berikan tip untuk saya. Mak² boleh guna cara ni ye kalau anak² kecik yang selesema & hidung tersumbat. Bahaya kalau 2-2 belah lubang hidung tersumbat ni..
Untuk kenalpasti hidung mana yang tersumbat/lebih teruk, boleh gunakan batang sudu besi (jenis plain) & letakkan bawah hidung anak. Condongkan sikit kedudukan sudu tu, supaya mudah nampak. Perhatikan dengan teliti wap yang terbentuk pada batang sudu ketika anak hembus nafas. Contohnya malam tadi saya buat kat Fydh, lubang hidung sebelah kanan tu sikit je wap terhasil berbanding sebelah kiri. So lubang hidung sebelah kanan tu yang tersumbat.
Pengalaman saya ni jadikanlah sebagai pengajaran. Syukur masa tu mak saya ada untuk membantu. Walaupun dia hanya guna cara ‘mak dulu²’ jer, tapi tindakan pantas dia dah selamatkan nyawa Fydh ni.. Saya ni walaupun pernah belajar CPR & rawatan kecemasan, buat amali.. tapi bila jadik kecemasan macam tu, panik, takut, terkejut, semua ada.. Tak ingat dah teknik² & apa yang belajar sebelum ni..
Sebab tu lah saya kata pentingnya & kenapa mak² wajib ada nasal aspirator ni.. Sebelum keadaan anak jadik lebih teruk, boleh sedut hingus anak untuk pastikan saluran pernafasan tak kena block dengan hingus.
Tip tambahan:
*nasal aspirator yang jenis sedut gunakan tiub khas (oral suction aspirator) lebih berkesan. Kalau guna jenis pam dengan tangan ni, tangan kena kuat & kena pam dengan cepat (sebab anak meronta²). Cara guna pn kena betul. Kalau tak, hingus yang disedut tak banyak
*mak² boleh beli nasal drops/spray kat farmasi untuk kurangkan hidung tersumbat. Nasal drops ni banyak jenis. Cari yang normal saline drops untuk baby & kanak².
*selalunya saya gunakan teknik sudu besi tu untuk kenalpasti hidung mana yang tersumbat. Lepas tu gunakan saline drops (saya lebihkan 1-2 titik untuk hidung yang tersumbat). Biasanya lepas guna anak akan terbersin. Lepas tu baru gunakan nasal aspirator.
*mak² rajin²kanlah diri cari info, belajar cara² CPR & rawatan kecemasan lain. Bila dah belajar pun, kadangkala perlu revise balik supaya tak lupa
*bila dalam keadaan kecemasan, paling penting kena BERTENANG TAPI KENA BERTINDAK PANTAS. Masa dah duduk sendiri, pernah juga sekali dak Fydh ni choke masa belajar makan sendiri. Alhamdulillah masa tu walaupun dengan anak je kat rumah, saya berjaya gak tenangkan diri & buat apa yang patut walaupun tangan tetap lah shaking tak berhenti
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Tak Mampu Ambil Pakej Berpantang Mahal, Bidan Kongsikan Makanan Dan Apa Perlu Buat Masa Pantang
Apa yang anda makan semasa tempoh berpantang akan mencerminkan kesihatan anda kemudian hari. Oleh itu, anda perlu mengetahui amalan pemakanan yang betul semasa menjalani tempoh berpantang.
Melalui perkongsian dari Kak Engku Bidan Bersalin, pemakanan antara aspek yang amat penting dalam rawatan semasa pantang bersalin. Keperluan ini perlu diutamakan kerana proses kehamilan telah mengganggu keseimbangan hormon dalam badan anda. Jika tidak dikawal dan dijaga pemakanan dalam tempoh berpantang, anda akan mengalami pelbagai masalah kesihatan yang akan mengganggu penyembuhan dalaman dan luaran anda.
Lazimnya pada awal minggu pertama, digalakkan makan makanan yang kering untuk tujuan mengecutkan rahim. Pastikan waktu makan anda tepat untuk mengelak perut masuk angin. Jika anda mengambil nasi, makan semasa nasi masih panas dan ambil dalam kadar yang sederhana.
Jangan mengambil makanan dalam jumlah yang banyak dalam satu masa. Jika masih lapar, anda boleh makan secara kerap. Untuk minum petang pula, anda boleh makan biskut tinggi serat (elakkan mengambil roti kerana kandungan yis yang tidak elok untuk proses pengecutan rahim).
Apabila memasuki minggu kedua dan seterusnya, anda sudah boleh mulai makan makanan yang berkuah seperti sup ikan, sup sayur dan buah-buahan supaya anda mendapat khasiat yang seimbang dalam pemakanan anda.
Semasa dalam pantang juga makanan yang dilarang makanan adalah bersifat sejuk, berangin, gatal dan berbisa. Minuman berais tidak dibenarkan. Ini adalah antara amalan pantang larang yang mesti dilakukan semasa berpantang untuk menyembuhkan dan menyegarkan kembali badan selepas menjalani proses bersalin.
Elakkan Makanan Berlemak
Semasa berpantang kuantiti dan kualiti makanan yang diambil akan memberi impak besar terhadap berat badan dan kesihatan anda. Jadi, anda dilarang untuk mengambil makanan yang boleh menggemukkan sewaktu berpantang. Anda disyorkan mengambil lebih banyak sayur-sayuran dan ulam-ulaman di samping masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah ratus yang terbukti dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan masalah berat badan yang anda alami ketika ini.
Melancarkan Proses Penghadaman
Halia dipercayai memiliki sifat panas dan kering. Sekiranya anda kerap mengambil makanan yang mengandungi banyak halia sepanjang berpantang, anda sebenarnya telah membantu diri untuk memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.
Atasi Masalah Kemurungan
Salah satu jenis ulam-ulaman yang terkenal di kalangan ibu berpantang ialah daun pegaga. Daun ini disifatkan sebagai tonik saraf kerana fungsinya yang membantu merehatkan dan menambahkan ingatan. Antara kelabihan lain yang ada pada daun pegaga ialah ia dapat mengatasi kemurungan yang mungkin timbul disebabkan oleh masalah fizikal selepas bersalin.
Pembuang Angin
Bagi masyarakat india, sayur sawi menjadi keutamaan bagi wanita india yang berpantang. Ini kerana pengambilan sayur sawi bertujuan untuk membuang angin. Sebaik-baiknya sayur ini dicelur terlebih dahulu dan dimakan bersama nasi panas.
Penambah Pengeluaran Susu
Pengambilan peria, pegaga, lobak putih dan cekur manis oleh ibu berpantang dapat mengatasi masalah kesukaran membuang air besar dan menambah penghasilan susu ibu. Sekiranya kerap diamalkan ia dapat membersihkan dan melancarkan peredaran darah dalam tubuh.
Kecantikan Wajah
Dalam usaha mengekalkan kesegaran tubuh, makanlah ikan haruan dan tenggiri sebagai makanan tambahan (boleh dibuat sup). Selain dapat melicinkan dan menegangkan kulit tubuh, ia membantu menyembuhkan luka dalaman dan luaran tubuh. Ia terjadi hasil daripada kandungan asid amino dan lemak yang ada pada kedua-dua jenis ikan ini. Apa yang lebih menarik ialah daging ikan-ikan ini yang bebas kolesterol akan membuatkan wajah kelihatan lebih berseri.
Lawas Buang Air Besar
Dengan mencampurkan perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan ibu berpantang, ia dapat memudahkan anda untuk membuang air besar selain daripada menyegarkan tubuh anda.
Hindari Kembung
Seelok-eloknya setiap hidangan dimakan bersama nasi putih yang baru sahaja dimasak. Tujuannya ialah untuk memastikan khasiat dan kesegarannya berkekalan. Oleh itu, elakkan daripada memakan nasi sejuk kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kembung perut.
Minuman Penambah Tenaga
Bagi mengembalikan semula tenaga tubuh, anda digalakkan untuk minum air rebusan serai (dititik), halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Dengan meminum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan anda akan kembali menjadi ringan dan tambah bertenaga.
Caesarean : Kurangkan Lada Hitam
Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah untuk memanaskan badan. Namun yang demikian, bagi ibu berpantang yang melahirkan anak secara ceaserean, anda kurang digalakkan untuk mengambil lada hitam dalam kuantiti yang banyak.
Anti Oksidan
Terdapat pelbagai jenis ulaman berkhasiat yang sesuai dimakan semasa berpantang antaranya daun pegaga, cekur, pucuk mengkudu, ulam raja, kunyit hidup, daum kesum seta halia. Ulam-ulaman ini mengandungi fiber, zat galian (mineral) dan pelbagai vitamin, termasuklah A, C dan E, bersifat anti oksidan untuk menyegarkan dan membuang toksin dalam badan.
Pengambilan Cecair
Wanita selepas bersalin tidak dibenarkan mengambil air dalam jumlah yang banyak bagi mengelakkan perut menjadi buncit, peranakan kembang, melambatkan pengecutan rahim, faraj mudah longgar serta berair terutama jika minum air sejuk atau air batu. Pengambilan air dibenarkan secara kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit dalam satu masa. Air penting untuk proses penyembuhan dan mengalakkan pengeluaran susu ibu.
Pemakanan Ikan
Makan ikan segar dan tidak gatal seperti haruan dan ikan sardin yang segar (bukan dalam tin). Ikan haruan juga dipercayai dapat memulihkan luka luaran dan dalaman (bersalin caesarean). Elakkan juga ikan berbisa dan gatal seperti ikan kembung, cencaru, tongkol, bawal hitam, terubuk dan parang. Kesannya menyebabkan kegatalan, timbulnya reaksi alahan dan boleh menyebabkan bisa atau bentan pada pintu rahim.
Pengambilan Sayuran Dan Buahan
Setiap buah-buahan pula, ia mempunyai khasiat tersendiri antaranya buah oren yang mengandungi banyak vitamin C yang membantu pemyembuhan luka disamping fiber untuk melawaskan air besar. Manakala elakkan makan sayuran menjalar, sejuk dan berangin. Antaranya ialah kangkung, timun, sayur keladi, pucuk ubi, bayam, kacang panjang, petola, petai, jering dan terung.
Minuman seperti tebu, cincau, kelapa muda serta buah-buahan seperti nenas, jambu, belimbing, nangka, cempedak dan pisang nangka, antara minuman jenis yang sejuk dan tajam. Makanan tersebut dilarang kerana dapat mengakibatkan sakit tulang dan sejuk otot serta lemah sendi.
Kecutkan Rahim
Kunyit yang sering diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu yang berpantang berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, jika kunyit dimakan bersama nasi selama 40 hari, anda mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.
Sumber: Kak Engku Bidan Bersalin
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kegagalan Jantung, Bayi Jadi Biru Antara Tanda-Tanda Ada Kecacatan Jantung Sejak Lahir
Kecacatan jantung yang wujud sejak lahir (kongenital) terjadi dalam 8 per 1000 kelahiran. Tanda dan gejala yang ditunjukkan oleh bayi-bayi ini berbeza antara satu sama lain mengikut kecacatan masing-masing. Jantung mempunyai 4 ruang, 2 atrium dan 2 ventrikel yang berfungsi sebagai jantung sebelah kanan dan jantung sebelah kiri.
Darah yang beroksigen rendah (deoxyhaemoglobin) yang kembali dari tubuh masuk ke dalam jantung sebelah kanan dan dipam melalui injap pulmonari ke paru-paru untuk mendapatkan oksigen. Darah beroksigen tinggi dari paru-paru ini kemudian kembali masuk ke dalam jantung sebelah kiri dan dipam ke seluruh tubuh melalui aorta. Tekanan sistemik adalah lebih tinggi dari tekanan pulmonary.
Apakah tanda-tanda kecacatan jantung pada anak?
Bayi yang mempunyai kecacatan jantung biasanya menunjukkan tanda-tanda berikut:
Mempunyai deruan jantung (murmur) : bunyi ini dihasilkan oleh gangguan atau tubulasi aliran darah contohnya apabila terdapat lubang pada jantung atau laluan injap yang sempit. Bunyi murmur ini tidak begitu ketara semasa lahir malah hanya dikesan apabila anak sudah agak besar dan kelihatan sihat dalam aliran sistemik.
Kebiruan (cyanosis) : bayi mungkin kelihatan kebiruan sejak lahir. Ini disebabkan oleh kandungan darah tanpa oksigen yang tinggi dalam darah.
Kegagalan jantung : bayi mungkin bernafas secara kencang atau sesak nafas ketika rehat atau semasa menyusu.
Tumbesaran terganggu disebabkan oleh kegagalan jantung atau kekurangan oksigen disebabkan oleh sakit jantung jenis biru.
Diagnosa jenis kecacatan jantung. Doktor akan melakukan pemeriksaan lanjut seperti:
Elektrokardiografi (ECG) untuk menilai aktiviti elektrik pada jantung yang tidak normal.
X-ray dada untuk menilai bentuk dan saiz jantung serta pembuluh darah.
Echokardiografi : imbasan organ jantung membantu untuk membuat diagnosa
Jika perlu bayi akan dirujuk kepada pakar jantung untuk membuat penilaian dan rawatan lanjut.
Rawatan
Perkara yang harus diingat:
Diagnosa yang tepat sangat penting bagi menentukan tindakan dan rawatan selanjut pesakit.
Keadaan jantung bayi adalah dinamik dan kemerosotan fungsi jantung boleh berlaku secara tidak disedari.
Kebersihan gigi adalah penting. Antibiotik perlu diberikan sebelum melalui pembedahan atau prosedur pergigian. Ini dapat mencegah pembiakan bakteria di dalam jantung.
Sebahagian bayi tidak memerlukan rawatan pembedahan seperti ASD dan VSD yang kecil yang tidak memberi apa-apa impak negative pada jantung atau badan.
Kecacatan jantung yang menyebabkan kebiruan harus dinilai sebaik mungkin bagi menentukan samada pembedahan diperlukan atau sebaliknya.
Jenis-jenis kecacatan jantung:
Jantung berlubang tanpa kebiruan:
Ventricular septal defect (VSD) : terdapat lubang diantara dinding ventrikel kiri dan kanan yang menyebabkan darah mengelencong dari ventrikal kiri ke saluran paru-paru. Lubang yang kecil biasanya tertutupsecara sendiri. Pembedahan jantung terbuka bergantung kepada saiz dan lokasi lubang tersebut.
Atrial septal defect (ASD) : terdapat lubang di antara atrium kanan dan kiri. ASD sederhana boleh ditutup dengan alat penutupan khas (tanpa pembedahan jantung terbuka). Bagi lubang yang besar pembedahan perlu dilakukan.
Atrio-ventricular septal defect (AVSD): biasanya dikaitkan dengan sindrom Down. Sekiranya memerlukan pembedahan jantung, ia akan dilakukan seawal usia setahun.
Patent ductus arteriosus (PDA) : terdapat saluran darah menghubungkan aorta dan arteri pulmonary. PDA yang kecil boleh ditutup menggunakan coil atau alat sumbatan khas (tanpa pembedahan jantung terbuka). PDA yang besar selalunya memerlukan pembedahan jantung untuk menutupnya. Bayi yang lahir pramatang berisiko mempunyai saluran PDA ketika sakit dan boleh diberikan ubat untuk menutupnya.
Sakit jantung jenis biru (cyanotic heart defects)
Transposition of great arteries (TGA): dalam hal ini pembuluh darah aorta dan pulmonari arteri bertukar tempat dan keluar dari ventrikal secara salah. Ini menyebabkan pengaliran darah yang tebalik di mana darah yang kembali dari badan tidak pergi ke paru-paru malah kembali ke badan semula menyebabkan bayi mengalami kebiruan. Dalam kes tertentu sebahagian bayi perlu menjalani prosedur kecemasan sejurus selepas kelahiran.
Fallot tetralogy – kecacatan ini melibatkan VSD dan penyempitan injap pulmonari yang menyebabkan kekurangan pengaliran darah ke paru-paru. Pembedahan paliatif (meringankan simtom) biasanya dilakukan sebelum pembedahan definitif.
Kecacatan jantung jenis sumbatan
Pulmonary stenosis (PS) : Terjadi apabila berlaku penyempitan di injap atau di arteri pulmonary. Masalah ini boleh diatasi dengan menggunakan belon yang dikembangkan di tempat tersempit ini atau pun secara pembedahan.
Aortic stenosis (AS). Saluran atau injap aorta yang sempit yang akan memmberi bebean ke atas ventrikal kiri. KAnak-kanak ini perlu diberi perhatian yang lebih terutama di dalam menjalani aktiviti harian, di mana mereka perlu mengelakkan aktiviti lasak atau berat.
Kanak-kanak
Keadaan ini boleh dicegah melalui imunisasi.
Kebanyakan pesakit akan melakukan aktiviti seperti kanak-kanak lain. Bagaimanapun pesakit kecacatan jantung biasanya tidak seaktif kanak-kanak lain walaupun selepas menjalani pembedahan.
Penjagaan gigi endocarditis
Gigi yang rosak boleh menjadi sumber pertumbuhan dan pembiakan bakteria di dalam jantung, yang boleh menyebabkan keadaan menjadi serius. Keadaan ini dikenali dengan “ infective endocarditis”.
Kumpulan sokongan
Tiada kumpulan sokongan bagi menyokong pesakit kecacatan jantung. Kebanyakan persoalan/kemuskilan akan dijawab oleh doctor. Kumpulan sokongan yang ada pada masa ini adalah persatuan sindrom Down.
Kredit: Dato’ Dr. Jimmy Lee Kok Foo
Untuk lebih banyak info terkini jom sertai Telegram Pa&Ma D Parents (https://t.me/pamadparents) atau channel Telegram Pa&Ma (https://t.me/majalahpama) sekarang!
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI