Adakah selamat untuk saya makan durian semasa hamil? Ini antara persoalan yang sering dikemukakan oleh ibu hamil yang teringin untuk menikmati raja buah itu.
Mengikut kajian durian selamat dimakan tapi ia mesti dalam jumlah sederhana. Ini kerana, durian mempunyai kandungan gula dan karbohidrat yang tinggi. Dua ulas durian bersaiz sederhana mengandungi 60 kalori. Durian dianggap sebagai makanan yang mempunyai glisemik tinggi, oleh itu lebih baik jika anda mengehadkan pengambilan durian semasa hamil.
Wanita hamil yang menghidap kencing manis (diabetes gestasi) perlu mengelak daripada memakan durian kerana kandungan gulanya yang tinggi.
Beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan manfaat organo-sulfur dan triptofan dalam durian. Bahan-bahan tersebut mempunyai kesan antioksidan. Ia juga mempunyai unsur-unsur anti-mikrobial, anti-bakteria dan anti-fungus yang bermanfaat bagi wanita hamil.
Sesetengah komuniti di Asia masih mengekalkan pantang larang tidak makan durian semasa kehamilan.
Sebagai contoh, pendekatan tradisional Cina untuk kesihatan, durian dianggap terlalu “panas” untuk dimakan semasa kehamilan. Oleh sebab itu, kebanyakan komuniti Cina di Asia Tenggara menasihatkan bakal-bakal ibu untuk tidak makan raja buah ini.
Walau bagaimanapun, tidak ada kajian yang dilakukan mengenai sama ada durian selamat dimakan semasa hamil.
Pada masa yang sama, kaedah sains moden belum membuktikan sebarang sebab yang boleh dipercayai bahawa ianya tidak selamat.
Tidak ada sebab untuk memutuskan bahawa memakan durian semasa hamil boleh menyebabkan tekanan darah tinggi kepada si ibu atau ruam lampin kepada bayi yang baru lahir, seperti mana yang digembar-gemburkan oleh orang-orang dulu.
Sumber: www.babycenter.com.my
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Kulit Perut Gatal Semasa Hamil, Doktor Jelaskan Mengapa Ia Terjadi
Momen indah waktu kehamilan sepanjang sembilan bulan atau kesemua trimester amat diingati oleh setiap wanita yang pernah melaluinya. Kulit merasa gatal semasa hamil juga menunjukkan terdapat tanda awal gangguan yang mengakibatkan kesan kepada kehamilan dan janin termasuk tahap kesihatan ibu dan janin sehingga berkebarangkalian menyebabkan kematian.
Kenal pasti kemungkinan kulit merasa gatal dan antaranya adalah:
- Penyakit psikogenik iaitu desakan untuk menggaru kulit tanpa adanya masalah atau penyebab sistemik
- Keadaan saraf/neurologi
- Keabnormalan buah pinggang
- Keabnormalan hati
- Gangguan endokrin (tiroid dan diabetes)
- Anemia kekurangan zat besi
- Penyakit reumatik atau radang pada sendi
- Reaksi atau alah kepada ubat-ubatan
- Jangkitan sistemik, seperti HIV
- Kulit kering atau xerosis
Artikel Menarik: Ada Ibu Hamil Terpaksa Induce Waktu Nak Bersalin, Ibu Sebabnya!
Antara pengalaman yang sering dirasakan oleh para ibu di beberapa bahagian badan termasuk bahagian abdomen atau perut yang terasa gatal berlaku hampir 90% ibu hamil dan juga bahagian kulit berdekatan dengan payudara. Bahkan ada yang menggaru bahagian tersebut sehingga mempunyai kesan calar terutama 24 minggu ke atas.
KENAPA SERING GATAL PADA PERUT?
Apabila kulit mengembang iaitu kulit daripada bahagian perut menjadi semakin kurang lembapan dan kulit kering cenderung berasa gatal dan tidak selesa
PUNCA PERUT RASA GATAL
- Adanya hormon kehamilan
Kehamilan menyebabkan terjadinya perubahan hormon terutama hormon estrogen. Perubahan keseimbangan hormon ini memberikan rasa gatal kepada perut.
- Perut semakin membesar
Semakin membesarnya perut maka kegatalan perut semakin meningkat, ini disebabkan kerana seiring bertambahnya usia kandungan, perut turut ikut membesar dan meregang, sehingga menyebabkan perut terasa gatal.
- Munculnya tanda regangan (stretch mark)
Tanda regangan yang biasanya muncul pada perut ibu boleh juga menyebabkan perut semakin terasa gatal. Stretch mark bahagian perut semakin banyak kerana perut semakin membesar terutama di trimester ketiga menjadi semakin gatal.
Artikel Menarik: Kencing Kotor, Bahaya Untuk Ibu Hamil Kalau Tak Dirawat, Boleh Sebabkan Kematian
TIP KURANGKAN RASA GATAL PADA PERUT
Boleh cuba melegakan kegatalan melalui kaedah berikut:
- Jangan menggaru – akan meninggalkan kesan parut pada kulit
- Gunakan Pelembap – jenis yang terasa ringan, lembut, bebas pewangi boleh membendung kegatalan buat sementara waktu dan boleh gunakannya dengan kerap jika perlu. teruskan dengan berhati-hati, kerana ia juga boleh mencetuskan alahan jika digunakan secara tidak betul
- Sapu pada krim anti gatal – Losyen calamine merah jambu yang diletakkan pada cacar air mampu memberikan keselesaan bagi beberapa kes kegatalan kulit
- Ada sesetengah wanita menggunakan minyak vitamin E untuk memberikan kelegaan dan kegatalan yang dialami
- Rendaman mandian oatmeal yang lembut menggunakan air suam boleh memberi kesan yang baik untuk kulit kering. Cuma pastikan air tidak terlalu panas kerana boleh mengeringkan kulit anda dengan lebih teruk
- Gunakan pelembap ketika di dalam bilik turut membantu mengelakkan kulit daripada kering
- Cuba kompres sejuk. Letakkan kain lap yang sejuk dan basah pada tempat yang gatal selama lima hingga 10 minit untuk mendapatkan sedikit kelegaan
- Untuk kegatalan yang melampau, cuba krim hidrokort – jika perlu. Ia boleh membantu terutamanya untuk gatal-gatal teruk..Hanya gunakan bila perlu dan dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum membeli dan mencuba Hidrocot. Hanya gunakan apabila benar-benar memerlukannya, gunakan jumlah jumlah yang kecil dan tidak lebih daripada sekali sehari
APA YANG PERLU IBU HAMIL ELAKKAN?
- Elakkan menggunakan air panas
Semasa mandi, elakkan menggunakan pancuran air panas atau berendam dalam air panas untuk jangka waktu yang lama kerana boleh mengeringkan kulit.
- Elakkan penggunaan produk yang mempunyai Sodium Lauryl Sulfate (SLS)
Kebanyakan produk mandian dan syampu mempunyai ramuan SLS untuk membantu membersihkan kotoran yang melekat pada kulit. SLS juga boleh menyebabkan keradangan jika kandungan SLS tinggi daripada yang disarankan.
- Elakkan pemakanan mengandungi banyak lemak serta berminyak
Apabila perut wanita hamil semakin membesar dan kulit menjadi semakin meregang, ketidakselesaan dan gatal-gatal mungkin telah dijangkakan. Hari Raya bakal menjelang tiba tetapi perlu berhati-hati dalam pemilihan makanan agar kesihatan ibu dan bayi tetap diutamakan disamping menikmati juadah bersama sanak saudara.
Namun, jika mempunyai gejala lain atau gatal pada kulit yang teruk hingga sukar untuk tidur atau diatasi, segera dapatkan rawatan daripada Doktor untuk memastikan simptom yang dialami tidak mengundang kemudaratan yang boleh menjejaskan kesihatan ibu dan bayi.
Kredit artikel: Dr Ahmad Zharif Bin Hussein (Pakar Sakit Puan, Metro IVF)
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu Hamil Sakit & Alahan Jangan Paksa Diri Berpuasa. Ada Kelonggaran Untuk Berbuka
Ibu hamil yang bakal menempuhi bulan Ramadan perlu tahu mereka tidak perlu memaksa diri untuk meneruskan puasa. Ada kelonggaran untuk berbuka dalam Islam.
Beberapa hari lagi umat Islam akan mengerjakan ibadah puasa selama sebulan di bulan Ramadan. Mungkin bagi ibu hamil ada yang terfikir ini adalah peluang untuk berpuasa sebulan penuh memandangkan tiada haid.
Namun sekiranya anda mempunyai masalah kesihatan dan kemudaratan untuk meneruskan berpuasa, ada kelonggarannya. Pa&Ma mendapatkan informasi daripada Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin mengenai topik ini.
Wanita hamil mempunyai kelonggaran dalam ibadah puasa
Para ahli fiqih (pakar hukum) sepakat bahawa menjadi hak wanita yang hamil untuk berbuka. Dalilnya cukup jelas. Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah mencabut puasa dan separuh solat daripada musafir, dan mencabut puasa daripada perempuan hamil dan menyusui.” (HR Nasa’i dan Ibnu Majah).
Mengapa wanita hamil diberikan kelonggaran dalam ibadah puasa?
Menurut ahli tafsir, wanita yang hamil termasuk dalam kategori “orang yang berat menjalankannya (puasa),” sebagaimana yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Baqarah: ayat 184.
Islam memahami beban kehidupan yang memberat di bahu wanita hamil. Wanita hamil biasanya muntah-muntah, loya, pening dan kembung perut. Wanita hamil juga biasanya mengalami kekejangan apabila kurang kalsium, pedih ulu hati dan sebagainya.
Islam mengiktiraf dan menghargai pengorbanan ini dengan merakam kesusahan wanita hamil di dalam al-Quran. Antaranya, firman Allah SWT, “Ibunya mengandungnya dengan susah-payah, dan melahirkannya dengan susah-payah (pula).” (Al-Ahqaf: 15).
Islam sangat berperi kemanusiaan terhadap kesusahan umatnya. Ia termasuklah kepada wanita hamil bahkan kepada musafir meskipun dia bermusafir dengan kenderaan moden, dan kepada ramai lagi golongan lain. Oleh sebab itulah ada konsep ‘rukhsah’ (kelonggaran/keringanan) dalam Islam.
Keadaan yang membolehkan wanita hamil berbuka puasa
Ada pelbagai keadaan wanita hamil. Wanita hamil kadang kala risaukan keadaan dirinya disebabkan payahnya berpuasa. Wanita hamil juga kadang kala risaukan bayi dalam kandungannya. Bayi itu dikesani oleh sumber makanan ibunya. Lebih kerap, wanita hamil risaukan kedua-duanya secara bersama, dirinya dan bayinya.
Dalil hadis di atas yang memberi kelonggaran kepada wanita hamil untuk berbuka, merujuk kepada keadaan wanita itu yang ‘hamil’ secara umum. Ia tidak merujuk kepada keadaan-keadaan khusus bagi wanita hamil itu.
Maka, apabila hamil sahaja seorang wanita, dan dia berasa berat untuk berpuasa, maka boleh baginya mengambil ‘rukhsah’ (kelonggaran) untuk berbuka puasa pada bulan Ramadhan. Jika dia berasakan tidak berat baginya untuk berpuasa, maka dia boleh meneruskan puasa.
Apakah hukumnya jika wanita hamil itu sihat dan tidak mengalami komplikasi tetapi tetap tidak berpuasa?
‘Harus’ baginya berbuka. Hukum ‘harus’ (mubah) bukan bererti ‘mesti’ berbuka. Hukum ‘harus’ bererti ‘boleh’. Mahu meneruskan puasa, boleh. Mahu berbuka pun, boleh. Dia lebih arif tentang kemampuannya saat itu.
Sesihat manapun wanita hamil, keadaan hamilnya itu menggolongkan dirinya berada dalam keadaan yang lemah. Firman Allah SWT, “Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah.” (Luqman: 14).
Orang yang lemah kadang kala berat untuk mengerjakan puasa. Allah memberikannya kelonggaran.
Firman Allah SWT, “Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang sakit berat, orang yang sangat tua, wanita hamil, wanita menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi sesiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang miskin dalam satu hari), maka itu lebih baik baginya. Dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184).
Fidyah adalah sebanyak secupak beras (anggaran 600 gram) untuk setiap satu hari yang ditinggalkannya, diberikan kepada fakir dan miskin. Fidyah wajib dibayar sebelum datangnya Ramadahan seterusnya. Menurut mazhab Syafie, fidyah bertambah, dengan bertambahnya tahun.
Kaedah untuk menggantikan puasa yang telah ditinggalkan
Masalah wanita hamil ‘unik’ berbanding masalah lain. Setelah 9 bulan 10 hari hamil, dia perlu menyusui pula selama 2 tahun. Disebabkan keadaan ‘susah’ yang panjang ini, maka kaedah ‘menggantikan puasa’ yang telah ditinggalkan bagi wanita hamil mempunyai banyak pandangan ulama.
Antara perbahasan mereka ialah:
Adakah wanita hamil diperlakukan seperti orang sakit biasa yang dimestikan mengganti sebanyak puasa yang ditinggalkan?
Atau mereka diperlakukan seperti orang tua renta, baik lelaki mahupun perempuan?
Atau seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh?
Adakah mereka harus membayar fidyah setiap hari atau dibebaskan daripada fidyah?
Bukan itu sahaja, para ulama juga membahaskan:
Adakah berbeza hukumnya, antara orang hamil dengan orang menyusui?
Adakah berbeza orang yang khuatir terhadap dirinya, dengan orang yang khuatir terhadap bayinya?
Dengan membahaskan semua kemungkinan ini, maka keluarlah konklusi yang pelbagai di kalangan para ulama berkaitan kaedah menggantikan puasa yang ditinggalkan. Semuanya merujuk al-Quran dan as-Sunnah yang sama, namun cara tafsir dan sudut pandang mereka berbeza. Inilah antara faktor, isu fiqah mempunyai banyak pendapat.
Pendapat Majoriti
Majoriti ahli fiqih memperlakukan wanita hamil dan wanita menyusui seperti orang sakit. Mereka berkata, “Keduanya berbuka dan mengganti.”
Mazhab Syafie yang biasa diamalkan di Malaysia memperincikan:
1. Ibu yang bimbangkan dirinya, tidak mampu dan tidak berdaya, maka dia boleh berbuka. Kemudian mengganti pada hari lain.
2. Ibu yang bimbangkan dirinya dan anaknya, maka dia boleh berbuka. Kemudian, mengganti dan membayar fidyah pada hari lain.
Masa yang diwajibkan adalah 11 bulan mulai Syawal hingga Syaaban. Jika seseorang telah meninggalkan puasa, kemudian tidak menggantinya dalam tempoh itu dengan sengaja, maka dia berdosa, wajib ganti dan bayar fidyah.
Pendapat Kuat dan Praktikal
Ibnu Umar dan Ibnu Abbas (dari kalangan sahabat), juga Ibnu Sirin (dari kalangan Tabiin), berpendapat, “Mereka hanya perlu membayar fidyah (memberi makan orang miskin) dan tidak perlu mengganti.” Ibnu Abbas menyamakan wanita hamil seperti orang tua renta dalam isu ini.
Profesor Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fiqih Puasa membuat kesimpulan:
1. Yang paling kuat ialah pendapat Ibnu Umar dan Ibnu Abbas. Wanita hamil dan menyusui hanya perlu membayar fidyah dan tidak perlu mengganti. Itu yang banyak diamalkan oleh kaum wanita pada masa lalu. Ia suatu rahmat apabila mereka tidak perlu mengganti, cukup dengan membayar fidyah.
2. Ada wanita yang tempoh kehamilannya berjauhan dan anaknya tidak ramai. Dia kurang berasa susahnya kehamilan dan menyusui, kecuali dua atau tiga kali sahaja, maka yang paling tepat baginya ialah mengganti, sebagaimana pendapat jumhur.
Kesimpulan ini dibuat kerana hukum dibangun atas prinsip ‘keringanan’ dan ‘menghilangkan kesulitan yang berlebihan’. Apabila kesulitan tidak ada, maka hukumpun tiada. Apabila kesulitan ada, maka hukumpun ada. Kaedah menyebut, “Hukum bergerak bersama alasannya, ada atau tiada.”
Bila seelok-eloknya proses penggantian puasa ini dijalankan sedangkan selepas hamil sudah tentu si ibu tersebut akan menyusukan anak pula?
Sesiapa yang memiliki hutang puasa Ramadhan, tidak kira kerana uzur seperti sakit, musafir, haid, nifas, atau yang merasakan sangat berat mengerjakannya, juga wanita hamil dan menyusui, bagi mazhab yang mengharuskannya qadha’ (ganti), maka hendaklah dia bersegera sebaik sahaja uzurnya hilang. Bersegera untuk mengganti hari-hari yang dia berbuka, dalam rangka melepaskan diri daripada hutangnya dan bersegera untuk menunaikan kewajipan
Tidaklah berdosa orang yang mengakhirkan pelaksanaan ganti puasa sepanjang pada hatinya tetap berniat untuk mengganti, kerana kewajipan ganti bersifat ‘luas’ masanya.
Adakah penggantian puasa boleh dilewatkan atas sebab menyusukan anak? Misalnya selepas anak berusia dua tahun.
Soalan ini timbul bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil hanya perlu membayar fidyah, maka soalan ini tidak timbul. Lainlah, jika dia memang berasakan menggantikan puasa tidak berat dalam situasi hidupnya. Islam meraikan kondisi individu yang berbeza-beza.
Huraian seterusnya ini bagi mereka yang berpegang pada pendapat wanita hamil dan menyusui wajib menggantikan puasa.
Barangsiapa kedatangan Ramadhan yang baru, sedangkan hutang Ramadhan sebelumnya belum dibayar, jika hal itu terjadi kerana uzur (menyusukan anak) maka ianya tidaklah mengapa. Itu pendapat ijma’.
Dia wajib menggantinya selepas dia mampu berpuasa semula.
Puasa sunat 6 hari bulan Syawal & puasa ganti, mana perlu didahulukan?
Keutamaan puasa 6 hari di bulan Syawal bersandar kepada hadis yang kuat.
“Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian dia iringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, maka seolah-olah dia berpuasa setahun.” (HR Muslim, Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah).
Realitinya, cuti Hari Raya membuka peluang besar untuk kita beramah mesra dan menjamu selera dengan sanak saudara. Tidak seperti hari-hari lain. Maka eloklah seseorang tidak berpuasa sunah pada hari kaum keluarga atau sahabat handai menjamu selera. Dia boleh berpuasa pada hari-hari lain yang masih berbaki. Menjaga hubungan silaturrahim amat penting. Ini selaras dengan hadis Nabi s.a.w, daripada Abu Sa’id al-Khudri katanya:
“Aku telah menyediakan makanan untuk Rasulullah s.a.w. Maka baginda dan sahabat-sahabatnya pun datang ke tempatku. Apabila makanan dihidangkan, seorang lelaki dalam kalangan mereka berkata: “Aku berpuasa”. Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Saudara kamu telah menjemput kamu, dan bersusah payah untuk kamu”. Kemudian baginda berkata kepada lelaki itu: “Bukalah puasa, dan berpuasalah satu hari lain sebagai ganti –jika mahu.” (Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra, dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari).
Kita dalam dilema;
1. Jika mendahulukan yang wajib, bimbang tidak berkesempatan berpuasa enam.
2. Jika mendahulukan yang wajib kemudian terus berpuasa enam, bimbang tidak sempat meraikan majlis menjamu selera bersama sanak-saudara.
3. Jika mendahulukan yang sunah, bimbang puasa wajib terus terhutang dan tidak sempat dilakukan pada masa-masa depan.
Pandangan yang sahih berkenaan isu ini, menurut Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, boleh saja melaksanakan puasa sunah sebelum mengganti. Buat puasa sunah enam hari dahulu pada bulan Syawal. Kemudian, melakukan puasa ganti pada hari-hari lain sebelum masuk Ramadhan berikutnya.
Kesimpulan ini diambil daripada ucapan Aisyah r.ha., “Ketika itu saya memiliki hutang puasa Ramadhan. Saya tidak mampu menggantinya kecuali di bulan Sya’ban.” (Muttafaq a’laih).
Tidak boleh disekalikan niat antara yang wajib dan sunat bagi mereka yang mahu menyelesaikan gantian Ramadhan dahulu. Tapi mereka boleh berdoa kepada Allah mudah-mudahan sempat mendapat kelebihan puasa enam.
Sumber: Majalah Pa&Ma Julai 2013
Artikel berkaitan:| Ibu Ini Kongsi Rahsianya Sewaktu Hamil Puasa Penuh, Amalkan Nabeez Kurma Dan Overnight Oat|
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jadi Ibu Hamil Banyak Keistimewaannya. 7 Sebab Ini Pasti Buat Mama Mahu Tambah Anak Lagi!
Selepas melahirkan cahaya mata sulung, ada di kalangan anda yang berasa serik untuk hamil lagi lantaran mengalami beberapa komplikasi semasa hamil mahupun semasa melahirkan.
Walau bagaimanapun, perasaan itu hanya seketika. Apabila anak itu semakin membesar, akan mula timbul rasa rindu untuk kembali hamil. Benar, kan?
Berikut adalah antara keistimewaan dan kelebihan yang dilalui oleh para ibu hamil yang mana hanya boleh dirasai sepanjang tempoh 40 minggu kehamilan.
- Wajah berseri
Ada segelintir ibu hamil mempunyai wajah yang lebih berseri berbanding sebelum hamil. Menurut kata orang tua-tua, hal ini terjadi disebabkan kandungan itu adalah lelaki.
Namun, berdasarkan fakta sains, ia berkemungkinan besar berkaitan dengan peningkatan hormon dan aliran darah yang lebih banyak semasa hamil.
Selain daripada itu, ia mungkin juga mempunyai hubung kait dengan tahap kesihatan anda semasa hamil. Sekiranya tiada apa-apa komplikasi kehamilan, tentu sahaja anda lebih gembira dan itu memberi kesan positif terhadap penampilan dan rupa wajah anda.
- Tiada tekanan tentang masalah berat badan
Sebelum hamil, kalau ada yang menegur tentang pertambahan berat badan, anda pasti rasa tertekan. Namun, lain halnya kalau anda hamil. Kata-kata itu pasti tidak diendahkan. Apa yang penting ialah anda dan bayi sama-sama sihat.
Apa-apa pun, anda janganlah mengamalkan pemakanan untuk dua orang ya. Hal ini kerana anda hanya perlukan tambahan 300 – 500 kalori sehari berbanding sebelum hamil.
- Boleh mengidam
Tentu seronok bila suami sanggup dan sentiasa bersedia menyediakan atau mencari apa sahaja jenis makanan yang anda idamkan. Sehubungan itu, perlu anda tahu bahawa rasa mengidam yang dilalui itu adalah disebabkan oleh kekurangan nutrisi yang mungkin boleh didapati dalam makanan berkenaan.
Jika suami gagal mendapatkan makanan yang digambarkan dalam bayangan anda, janganlah kecewa. Sebaliknya, anda boleh minta suami untuk mencari makanan yang lebih kurang sama dengan gambaran anda.
- Tendangan bayi
Tendangan bayi dalam kandungan sememangnya saat yang dinantikan oleh semua ibu yang sudah hamil. Kali pertama dapat merasai tendangannya pasti mampu membuatkan anda menangis kegembiraan.
Hal ini kerana ia menandakan bahawa bayi anda berada dalam keadaan yang sihat. Selain itu, ia juga petanda ikatan kasih sayang antara ibu dan anda lebih kuat terjalin. Momen itu pasti meninggalkan kenangan yang tidak dapat anda lupakan.
- Dapat status ‘VIP’
Di mana-mana tempat awam, anda pasti menjadi keutamaan. Di dalam tren, bas, kaunter bank dan banyak lagi tempat yang lainnya, anda diberi keistimewaan apabila ada pengkhususan untuk wanita yang sedang hamil.
- Lebih perhatian daripada ramai orang
Apabila hamil, suami akan bertambah sayang. Begitu juga dengan ibu bapa kedua belah pihak. Pasti mereka memberi lebih perhatian kepada anda dan tahap kesihatan bayi di dalam kandungan.
Lebih daripada itu, saudara-mara, kawan-kawan, rakan sepejabat pun akan memberi perhatian kebajikan diri anda dan bayi.
Jika ada anak terdahulu pun, dia pasti lebih mudah mendengar kata kerana kasih kepada bayi yang sedang anda kandungkan.
- ‘Tiket’ membeli-belah
Kalau sebelum hamil, mungkin anda sukar membeli-belah tidak kira waktu kerana perlu mengutamakan hal-hal lain yang lebih penting. Namun, apabila hamil, suami anda pasti tidak berkira kerana apa yang anda beli adalah untuk kemudahan kalian berdua dan bayi yang bakal dilahirkan juga.
Download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI